Terkini
Media dihalang buat liputan kes cederakan pelajar

- Pengamal media dihalang membuat liputan kes membabitkan seorang lelaki yang didakwa mencederakan seorang pelajar sekolah menengah akibat perselisihan faham semasa memandu ketika prosiding di Mahkamah Majistret di Kajang hari ini.
- Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh memohon perintah larangan itu semasa prosiding berhubung jaminan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.
- “Pihak pendakwaan memohon perintah larangan untuk menghalang mana-mana pihak termasuk media daripada menerbitkan, menyiarkan atau menyebarkan apa-apa yang berkaitan dengan kes ini sehingga kes selesai,” kata Kalmizah.
- Pihak pendakwaan tidak memberikan alasan terperinci berhubung permohonan itu.
KAJANG — Pengamal media dihalang membuat liputan kes membabitkan seorang lelaki yang didakwa mencederakan seorang pelajar sekolah menengah akibat perselisihan faham semasa memandu ketika prosiding di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh memohon perintah larangan itu semasa prosiding berhubung jaminan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.
“Pihak pendakwaan memohon perintah larangan untuk menghalang mana-mana pihak termasuk media daripada menerbitkan, menyiarkan atau menyebarkan apa-apa yang berkaitan dengan kes ini sehingga kes selesai,” kata Kalmizah.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak memberikan alasan terperinci berhubung permohonan itu.
Peguam Mohammad Syarifuddin Zaid, yang mewakili tertuduh berkata pihaknya tidak membantah permohonan pendakwaan.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan berkenaan.
Selepas majistret membuat keputusan itu, pihak media yang berada di galeri awam bagi membuat liputan sejak awal prosiding beredar dari mahkamah.
Semalam, pihak media menerima makluman dan jemputan bagi membuat liputan kes berkenaan di Mahkamah Majistret Kajang.
Pada 14 Mac, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun bagi membantu siasatan selepas tular sebuah video di media sosial memaparkan seorang pelajar mengalami kecederaan pada hidung apabila didakwa dipukul seorang lelaki akibat perselisihan faham semasa memandu di Saujana Impian di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abd Yusof berkata mangsa berusia 17 tahun membuat laporan polis pada 9.24 malam hari kejadian (14 Mac), memaklumkan dipukul suspek sekitar 2.15 petang.
Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kajang dan disahkan mengalami kecederaan retak pada tulang batang hidung.
Siasatan turut mendapati remaja terbabit tidak memiliki lesen memandu dan telah dikenakan saman trafik.– BERNAMA
