Antarabangsa
Gabenor Texas bantah projek pembinaan masjid dan perumahan komuniti Muslim

- Sebuah projek pembangunan komuniti Islam di Josephine, Texas, AS menimbulkan kontroversi apabila Gabenor Texas, Greg Abbott, secara terbuka membantah pembinaan perumahan tersebut kerana mendakwa ia akan diuruskan sebuah masjid.
- Peguam terkenal, Dan Cogdell, yang mewakili East Plano Islamic Center (EPIC), menyamakan reaksi terhadap projek berkenaan dengan sentimen Islamofobia pasca 9/11.
- Beberapa pemimpin agama tempatan, termasuk paderi gereja tampil mempertahankan komuniti Islam tersebut.
TEXAS – Sebuah projek pembangunan komuniti Islam di Josephine, Texas, Amerika Syarikat (AS) menimbulkan kontroversi apabila Gabenor Texas, Greg Abbott, secara terbuka membantah pembinaan perumahan tersebut kerana mendakwa ia akan diuruskan sebuah masjid.
Abbott menyatakan di media sosial bahawa undang-undang Syariah tidak dibenarkan di Texas dan mendakwa East Plano Islamic Center (EPIC) yang menerajui projek pembangunan di atas tanah seluas 400 ekar itu cuba mewujudkan bandar Islam.
Beliau turut mendakwa wujud pelanggaran undang-undang perumahan dan kewangan, serta mengecam pusat Islam tersebut atas dakwaan pengebumian haram.
EPIC bagaimanapun menafikan semua tuduhan itu, menjelaskan bahawa komuniti dirancang untuk semua orang tanpa mengira agama.
Imam masjid di EPIC, Nadim Bashir berkata, konsep Syariah yang dikritik hanya merangkumi panduan moral seperti jujur, menjaga keluarga dan khidmat masyarakat.
“Ia bukan memaksa orang lain mengikut undang-undang agama Islam, seperti yang digambarkan oleh gabenor. Kenapa beliau mereka cerita yang kami sendiri tidak pernah katakan?”
“Kami akan sentiasa beroperasi mengikut undang-undang Amerika Syarikat dan negeri Texas,” katanya kepada New York Times.
Walaupun belum ada pelan rasmi dikemukakan, siasatan dari pelbagai agensi kerajaan negeri telah bermula.
Situasi berkenaan turut mencetuskan gelombang kebencian anti-Muslim.
Peguam terkenal, Dan Cogdell, yang mewakili EPIC, menyamakan reaksi terhadap projek berkenaan dengan sentimen Islamofobia pasca 9/11.
“Tiada jenayah berlaku di sini,” tegas Cogdell, seorang peguambela jenayah berpengalaman yang dilantik Pusat Islam itu untuk mempertahankan pembangunan tersebut.
Sementara itu, beberapa pemimpin agama tempatan, termasuk paderi gereja tampil mempertahankan komuniti Islam tersebut.
Mereka menyatakan komuniti Islam itu jiran yang baik dan menyumbang banyak kepada masyarakat setempat termasuk melalui bank makanan, perkhidmatan perubatan bergerak dan pusat perlindungan musim sejuk.
Kontroversi yang melanda itu juga menyebabkan EPIC terpaksa menghentikan sementara urusan pengebumian selepas diarahkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pengebumian Texas, namun mereka kekal berpegang kepada prinsip keterbukaan dan kerjasama. – The Merdeka Times
