Antarabangsa
AS saring media sosial pemohon visa pernah lawat Gaza

- Arahan itu melibatkan semua kategori visa ke Amerika Syarikat termasuk visa imigran dan bukan imigran seperti pelajar dan pelancong yang pernah berada di Gaza dalam kapasiti rasmi atau diplomatik sejak 1 Januari 2007.
- Menurut memo berkenaan, jika semakan media sosial mendapati sebarang “maklumat yang boleh memudaratkan berkaitan isu keselamatan”, permohonan visa pemohon tersebut akan dikemukakan untuk siasatan rentas agensi bagi menentukan sama ada individu terbabit berpotensi menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.
WASHINGTON – Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, dilapor telah mengarahkan Jabatan Negara tersebut untuk menyemak akaun media sosial semua pemohon visa asing yang pernah mengunjungi Semenanjung Gaza dalam tempoh 18 tahun lalu.
Perkara itu didedahkan agensi berita Reuters ketika melihat satu memo dalaman yang ditunjukkan kepadanya.
Arahan itu melibatkan semua kategori visa ke Amerika Syarikat termasuk visa imigran dan bukan imigran seperti pelajar dan pelancong yang pernah berada di Gaza dalam kapasiti rasmi atau diplomatik sejak 1 Januari 2007.
Menurut memo berkenaan, jika semakan media sosial mendapati sebarang “maklumat yang boleh memudaratkan berkaitan isu keselamatan”, permohonan visa pemohon tersebut akan dikemukakan untuk siasatan rentas agensi bagi menentukan sama ada individu terbabit berpotensi menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.
Memo itu ditandatangani sendiri oleh Rubio, yang sebelum ini mendedahkan bahawa pejabatnya telah membatalkan lebih 300 visa sejak awal tahun ini.
Tindakan tersebut termasuk terhadap pemegang visa pelajar yang mengkritik tindakan Israel dalam perang di Gaza meskipun Perlembagaan AS menjamin kebebasan bersuara kepada sesiapa sahaja di negara itu, tanpa mengira status visa.
Pentadbiran Trump sebelum ini menyatakan tindakan pelajar-pelajar terbabit dilihat sebagai ancaman kepada dasar luar negara AS.
Presiden itu juga dilapor memperluaskan tindakannya ke universiti-universiti, yang menjadi pusat protes besar-besaran sejak konflik Gaza tercetus pada 7 Oktober 2023.
Antara sasaran terbaharu Presiden Trump ialah Universiti Harvard.
Beliau telah membekukan dana persekutuan berjumlah lebih USD2 bilion kepada institusi itu selepas pihak universiti enggan melaksanakan perubahan dasar yang dituntut oleh pentadbiran beliau.-The Merdeka Times
