Terkini
(VIDEO) Akta PSB: Idea Kerajaan MADANI?

KUALA LUMPUR — Proses mengenal pasti tapak atau kawasan berpotensi untuk projek Pembaharuan Semula Bandar (PSB) telah dilakukan sejak 10 hingga 15 tahun lalu, bukan ia bermula di bawah Kerajaan MADANI.
Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk TPr Dr Alias Rameli berkata selepas tapak yang berpotensi dikenal pasti, langkah seterusnya adalah memerlukan kelulusan akta berkaitan di Parlimen, yang dijangka berlaku sekitar Jun atau Julai tahun ini.
Beliau berkata selepas akta berkenaan diterima, tapak akan diisytiharkan secara rasmi dan diwartakan sama ada di peringkat Persekutuan (Kuala Lumpur) atau negeri.
Katanya, ini bermaksud tiada sebarang pencerobohan oleh pihak kerajaan Persekutuan atau agensinya ke atas negeri kerana tanah adalah milik negeri dan hanya kerajaan negeri mempunyai kuasa mewartakan tapak-tapak berkenaan.
“Walaupun dikenal pasti 139 tapak (berpotensi pembaharuan semula) yang diwartakan kemungkinan 20 tapak untuk tahun kata dari 2027 hingga tahun 2030… Lepas itu, seterusnya mungkin ada tapak-tapak lain juga dan banyak lagi dia punya keadaannya.
“Tapi itulah proses perundangan yang saya rasa perlu jelaskan kepada rakyat bahawa ini baru dua step… Nak kenal pasti tapak, yakni kita kena warta dokumen berkenaan… Nak isytihar tapak untuk PSB, ada proses pewartaannya.
“Tak begitu mudahkanlah… Kalau nak katakan, orang panggil scam nak tolong pemaju… Di peringkat step yang pertama, kedua memang tidak ada, memang tidak ada langsung penglibatan pihak penggerak projek, pemaju ke, pelabur-pelabur tidak wujud dalam konteks ini… Ini permulaannya berkaitan dengan Pembaharuan Semula Bandar inilah,” kata Alias.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel di episod terbaru program Analisis Bersama Finaz Yunus bertajuk, “Akta PSB: Untungkan rakyat atau ‘scam’ tolong pemaju”.
Program terbitan Studio Merdeka itu yang bersiaran di YouTube The Merdeka Times di sini pada Jumaat lalu turut menampilkan Ketua Jabatan Penyelidikan IRIS Institute, Mohd Zul Fahmi Md Bahrudin.
Pelaksanaan Akta PSB sebelum ini dilaporkan dibantah segelintir pihak, seperti Gerakan Ekonomi Malaysia yang melihatnya akan mengancam hak milik hartanah rakyat dan berpotensi meminggirkan kelompok berpendapatan rendah apabila penurunan ambang persetujuan daripada 100 peratus kepada 80 atau 75 peratus yang memberikan kuasa kepada pemaju dan kerajaan.
Ia juga didakwa sebagai satu usaha untuk menghalau Melayu dari tinggal di bandar.
Malah, seorang bekas ahli majlis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mak Khuin Weng turut menyifatkan akta itu sebagai satu bentuk ‘scam’ untuk membantu pemaju.—The Merdeka Times
