Terkini
Usul haram alkohol dibawa lagi ke AGM Badan Peguam Malaysia

- Usul melarang minuman beralkohol dihidangkan dan diambil dalam acara anjuran Badan Peguam dan jawatankuasa peguam negeri akan dibahaskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Badan Peguam ke-79 pada Sabtu ini.
- Perkara itu adalah salah satu daripada 14 usul yang disenaraikan dalam agenda mesyuarat yang akan diadakan di Wisma MCA dan diedarkan kepada ahli Badan Peguam petang semalam, lapor FMT.
- Usul itu menyatakan pengambilan alkohol mempunyai risiko kesihatan diketahui umum, termasuk penyakit hati, ketagihan dan kesan buruk terhadap kesihatan mental.
- Kehadiran alkohol dalam acara anjuran Badan Peguam dan jawatankuasa peguam negeri boleh menyumbang kepada tingkah laku tidak profesional dan menimbulkan potensi liabiliti kepada organisasi tersebut.
KUALA LUMPUR — Usul melarang minuman beralkohol dihidangkan dan diambil dalam acara anjuran Badan Peguam dan jawatankuasa peguam negeri akan dibahaskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Badan Peguam ke-79 pada Sabtu ini.
Perkara itu adalah salah satu daripada 14 usul yang disenaraikan dalam agenda mesyuarat yang akan diadakan di Wisma MCA dan diedarkan kepada ahli Badan Peguam petang semalam, lapor FMT.
Usul itu menyatakan pengambilan alkohol mempunyai risiko kesihatan diketahui umum, termasuk penyakit hati, ketagihan dan kesan buruk terhadap kesihatan mental.
Selain itu, kehadiran alkohol dalam acara anjuran Badan Peguam dan jawatankuasa peguam negeri boleh menyumbang kepada tingkah laku tidak profesional dan menimbulkan potensi liabiliti kepada organisasi tersebut.
Ia juga menyebut penyediaan alkohol dalam acara sedemikian tidak selari komitmen Badan Peguam dalam mewujudkan suasana sihat terhadap ahlinya.
Katanya, penyediaan alkohol dalam acara rasmi boleh menyebabkan rasa tidak selesa dalam kalangan ahli yang tidak mengambil minuman tersebut atas faktor kesihatan, agama, atau peribadi.
Menurut usul itu lagi, melarang minuman alkohol dan bahan memabukkan tersebut boleh mengurangkan rasa tidak selesa dan serba salah sebahagian ahli terutama peguam beragama Islam.
Ia mencadangkan Badan Peguam tidak lagi menerima sebarang tajaan daripada syarikat atau entiti yang mempromosikan alkohol, memandangkan kesannya terhadap kesejahteraan fizikal dan mental ahli.
Sekiranya terdapat keperluan, sebarang minuman beralkohol atau bahan memabukkan hanya boleh dibawa oleh ahli atas kapasiti individu dengan perbelanjaan sendiri serta hanya boleh diminum selepas acara rasmi berakhir.
Pada 2017, seorang peguam dilaporkan pernah mencadangkan usul serupa untuk mengharamkan alkohol dalam acara Badan Peguam antara lain kerana ia meningkatkan perbelanjaan tidak perlu sehingga 40 peratus dan berhujah kebanyakan agama melarang pengambilan alkohol.
Bagaimanapun, usul tersebut ditolak majoriti besar dengan ada yang menyifatkannya sebagai tidak islamik. — The Merdeka Times
