Connect with us

Antarabangsa

Selepas Mehdi Hasan, MSNBC gugurkan pengacara lantang kritik Israel, Ayman Mohyeldin dan Joy Reid

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Ayman Mohyeldin (Kiri), Mehdi Hasan (Tengah) & Joy Reid (Kanan)
  • Ayman Mohyeldin dan Joy Reid, pengkritik terakhir Israel di MSNBC, kehilangan rancangan mereka dalam rombakan era Trump.
  • Pada awal perang Israel di Gaza, rangkaian tersebut telah membatalkan rancangan pengacara berita popular, Mehdi Hasan, yang dikenali kerana kritikannya terhadap Israel, dengan alasan mahu memberikan “liputan berita yang lebih fokus mengenai konflik”.
  • Media AS lain menyifatkan rombakan di rangkaian tersebut, yang dilihat memfokuskan kepada pengacara yang mengkritik Israel sebagai “pembersihan pengacara bukan kulit putih”.

Ayman Mohyeldin dan Joy Reid, pengacara televisyen terkenal kerana memberi tumpuan kepada perang kejam Israel di Gaza, telah kehilangan rancangan mereka di saluran media berita ‘progresif’ Amerika Syarikat, MSNBC.

Dalam langkah penyingkiran besar-besaran yang diperkenalkan oleh presiden baharu rangkaian tersebut, Rebecca Kutler, Reid telah dipecat sepenuhnya daripada rangkaian itu, manakala Mohyeldin, yang dilahirkan di Mesir, terpaksa menerima rancangannya, Ayman dibatalkan.

Media AS lain menyifatkan rombakan di rangkaian tersebut, yang dilihat memfokuskan kepada pengacara yang mengkritik Israel sebagai “pembersihan pengacara bukan kulit putih”.

Hampir semua yang dipecat adalah individu berkulit berwarna dan lantang menentang Trump, yang menurut ramai pihak, ia merupakan usaha rangkaian tersebut untuk menarik penyokong presiden sayap kanan AS itu.

Mohyeldin dan Reid dikenali kerana menggunakan platform mereka di MSNBC untuk mengetengahkan penderitaan rakyat Palestin akibat tindakan Israel, sekali gus menentang arus pandangan saluran tersebut yang dianggap pro-Israel.

Setakat hari ini, Mohyeldin masih belum membuat sebarang komen berkenaan pengguguran programnya.

MSNBC juga masih membisu sama ada rancangan Mohyeldin atau Reid dihentikan kerana fokus mereka kepada Gaza dan penolakan mereka terhadap naratif pro-Israel.

Pada awal perang Israel di Gaza, rangkaian tersebut telah membatalkan rancangan pengacara berita popular, Mehdi Hasan, yang dikenali kerana kritikannya terhadap Israel, dengan alasan mahu memberikan “liputan berita yang lebih fokus mengenai konflik”.

Memberi maklum balas berkenaan pemberhentian program tersebut, Mehdi Hasan di media sosial X-nya berkata penonton MSNBC telah kehilangan program yang berkualiti.

“Joy Reid adalah rakan dan bekas rakan sekerja. Saya sedih kerana beliau kehilangan rancangannya tetapi teruja untuk melihat apa yang akan dilakukannya seterusnya. Ia adalah kerugian besar untuk penonton MSNBC kerana beliau bercakap mengenai isu-isu – perkauman, fasisme, Gaza – yang diabaikan oleh pengacara lain.

“Dan saya juga sedih melihat rakan saya yang bijak, Ayman, kehilangan rancangannya yang unik,” tulis Hasan.

Mohyeldin telah melaporkan perkembangan di Gaza untuk MSNBC dan NBC sejak Operasi Cast Lead Israel pada 2008-2009.

Pada 2014, semasa Operasi Protective Edge di mana Israel membunuh sekurang-kurangnya 2,310 rakyat Palestin, Mohyeldin melaporkan konflik tersebut secara langsung di lapangan untuk NBC.

Beliau juga menjadi saksi kepada pembunuhan empat kanak-kanak Palestin yang bermain bola sepak di pantai Gaza oleh Israel. -The Merdeka Times

Author