Agama
Sebar agama lain kepada muslim: Hentikan atau berdepan tindakan undang-undang – JAKIM

- Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata tindakan tersebut bercanggah dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, yang melarang penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam di negara ini.
- “Sekiranya terbukti mana-mana pihak telah melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan untuk iktibar kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
KUALA LUMPUR — Berikutan video tular mengenai beberapa individu didakwa cuba menyebarkan agama bukan Islam kepada umat Islam di kawasan perumahan di Wilayah Persekutuan, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan berkata tindakan tersebut bercanggah dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, yang melarang penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam di negara ini.
“Sebagaimana yang kita maklum, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya yang mana orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan dan mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam,” jelasnya.
Justeru Ketua Pengarah Jakim berkenaan menggesa sebarang tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan perlulah dihentikan kerana ia boleh membawa keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam.
“Sekiranya terbukti mana-mana pihak telah melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan untuk iktibar kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau juga meminta mereka yang mempunyai maklumat lanjut tentang kejadian itu untuk melaporkan kepada polis untuk membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut.
“Pihak JAKIM, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Kementerian Perpaduan Negara akan memainkan peranan dalam memantau dan menguruskan isu-isu keagamaan dengan pendekatan yang adil dan harmoni demi kestabilan dan keamanan Malaysia,” tegasnya.– The Merdeka Times
