Antarabangsa
Mangsa serangan 7 Oktober saman Al-Jazeera tuduh rekrut Hamas sebagai wartawan

- Kumpulan tersebut mendakwa bahawa Al Jazeera menghasut keganasan dan merekrut ahli Hamas serta Jihad Islam sebagai wartawan.
- Menurut laporan dalam The Jewish Chronicle semalam, mangsa yang terlibat termasuk Morris Schnaider, bapa saudara kepada Shiri Bibas yang telah diculik Hamas.
- Menurut StandWithUS, saman tersebut difailkan di Mahkamah Daerah AS di Washington, DC pada 23 Februari.
Sekumpulan mangsa yang terselamat dalam serangan 7 Oktober 2023 telah memfailkan saman terhadap rangkaian Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar di sebuah mahkamah Amerika Syarikat (AS).
Mereka mendakwa Al Jazeera membantu Hamas dan Jihad Islam Palestin dalam menyebarkan propaganda, merekrut aktivis, dan menghasut keganasan.
Laporan The Jewish Chronicle semalam melaporkan mangsa yang terlibat termasuk Morris Schnaider, bapa saudara kepada Shiri Bibas yang telah diculik Hamas. Ibu dan bapa Shiri Bibas juga didakwa terbunuh dalam serangan tersebut.
Menurut StandWithUS, saman tersebut difailkan di Mahkamah Daerah AS di Washington, DC pada 23 Februari.
Saman ini bertujuan untuk mendapatkan pampasan kewangan dan keadilan untuk mangsa serta keluarga mangsa serangan 7 Oktober dan peperangan yang berlaku selepasnya.
The Chronicle turut melaporkan tuntutan tersebut mendakwa Al Jazeera menggajikan beberapa ahli Hamas dan Jihad Islam Palestin sebagai wartawan.
Mangsa yang terselamat diwakili oleh Nitsana Darshan-Leitner, yang mengasaskan Pusat Undang-Undang Israel pada tahun 2003. Laman web pusat undang-undang tersebut menyatakan bahawa mereka berada di barisan hadapan dalam memerangi keganasan dan melindungi hak-hak Yahudi di seluruh dunia.
Pusat undang-undang ini sebelum ini pernah cuba menyaman bank dan badan amal Qatar, menuduh mereka membiayai Hamas.
Al Jazeera telah menjadi cabaran besar kepada Israel selama beberapa tahun, dengan kerajaan dan tentera negara tersebut secara konsisten menyasarkan wartawan dan operasi rangkaian Al Jazeera.
Sejak bermulanya perang Israel di Gaza pada Oktober 2023, rangkaian tersebut telah beberapa kali diganggu gugat zionis menerusi penutupan operasi, laporan yang disekat, penangkapan, pemenjaraan, serta pembunuhan wartawan dan ahli keluarga mereka.
Sehingga laporan ini ditulis, baik Al Jazeera mahupun Pusat Undang-Undang Israel masih belum memberikan sebarang komen. -The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login