Connect with us

Antarabangsa

Editor berita BBC dan Guardian adakan pertemuan tertutup dengan Jeneral Israel

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Bekas pegawai tertinggi tentera Israel, Jeneral Aviv Kohavi
  • Pertemuan tersebut melibatkan Katherine Viner, Ketua Editor The Guardian, Richard Burgess, Pengarah Kandungan Berita di BBC, dan Roula Khalaf, Ketua Editor Financial Times.
  • Lawatan tersebut dianjurkan khusus untuk mengambil kesempatan daripada perubahan sikap negara-negara Barat terhadap Israel susulan impak yang besar dalam kejadian 7 Oktober.
  • Maklumat mengenai lawatan Jeneral Kohavi didedahkan dalam dokumen yang diperoleh di Israel di bawah Akta Kebebasan Maklumat oleh peguam Elad Man dan dilihat oleh Declassified.

Bekas pegawai tertinggi tentera Israel, Jeneral Aviv Kohavi, telah mengadakan pertemuan tertutup dengan editor organisasi berita utama Britain sebulan selepas pengeboman Gaza.

Perkara itu didedahkan Declassified.

Pertemuan tersebut melibatkan Katherine Viner, Ketua Editor The Guardian, Richard Burgess, Pengarah Kandungan Berita di BBC, dan Roula Khalaf, Ketua Editor Financial Times.

Jadual perjalanan Kohavi yang didedahkan Declassified itu turut menunjukkan pertemuan dengan Pengerusi Sky News, David Rhodes di Kedutaan Israel antara 7 dan 9 November 2023.

Ketika tempoh tersebut, tentera Israel telah membunuh lebih daripada 10,000 rakyat Palestin di Gaza, dan pegawai Israel telah membuat beberapa kenyataan awam yang berbaur ancaman genosid.

Kohavi hanya meletak jawatan sebagai ketua tentera Israel beberapa bulan sebelum itu.

Semasa memegang jawatan tersebut, Kohavi pernah mempertahankan tindakan tenteranya yang melakukan serangan terhadap wartawan, dengan mengatakan askar yang menembak wartawan Shireen Abu Akleh di Tebing Barat menunjukkan keberanian dan beliau tidak mempunyai sedikit pun rasa kesal kerana ‘meratakan’ pejabat Associated Press (AP) di Gaza.

Maklumat mengenai lawatan Jeneral Kohavi didedahkan dalam dokumen yang diperoleh di Israel di bawah Akta Kebebasan Maklumat oleh peguam Elad Man dan dilihat oleh Declassified.

Dokumen tersebut mendedahkan bagaimana lawatan Kohavi ke Britain dirancang dengan sokongan daripada Kementerian Luar Negeri Israel, Pasukan Pertahanan Israel dan Kementerian Pertahanan.

Lawatan tersebut dianjurkan khusus untuk mengambil kesempatan daripada perubahan sikap negara-negara Barat terhadap Israel susulan impak yang besar dalam kejadian 7 Oktober.

Seorang wartawan BBC yang hadir semasa lawatan tersebut memberitahu Declassified bahawa tiada sebarang surat rasmi diterima atau dikeluarkan BBC seperti kebiasaan seandainya terdapat lawatan berprofil tinggi sedemikian.

“Saya tidak ingat sebarang surat-menyurat dalaman mengenai pertemuan tersebut, yang biasanya akan dikeluarkan oleh BBC jika terdapat lawatan berprofil tinggi sebegini. Saya juga sukar untuk mempercayai bahawa organisasi ini akan mengadakan pertemuan setara dengan kerajaan Hamas,”  kata wartawan yang enggan dikenali itu.

“Bukan sahaja lawatan Kohavi ini tidak pernah berlaku sebelum ini, tetapi ia juga keterlaluan bahawa salah seorang editor paling kanan di BBC sanggup bergaul dengan tokoh tentera asing dengan cara ini, terutamanya seseorang yang negaranya dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang serius,” tambahnya. – The Merdeka Times

Author