Antarabangsa
Ateis dakwa Indonesia nafi hak mereka hidup tanpa agama

- Mahkamah Perlembagaan Indonesia memutuskan bahawa setiap warganegaranya perlu menganuti satu-satu agama dan disahkan dalam dokumen rasmi.
- Indonesia yang merupakan negara majoriti Muslim terbesar di dunia, secara rasmi mengiktiraf enam agama iaitu Islam, Protestan, Katolik, Buddha, Hindu, dan Konfucius.
- Golongan Ateis langsung tidak diiktiraf dalam undang-undang negara tersebut.
INDONESIA – Mahkamah Perlembagaan Indonesia memutuskan bahawa setiap warganegaranya perlu menganuti satu-satu agama dan disahkan dalam dokumen rasmi.
Keputusan itu sekaligus menolak sebarang usaha undang-undang yang cuba memperjuangkan hak untuk tidak percaya pada mana-mana agama (Ateis) bagi warganegara Indonesia.
Perkara ini turut tertakluk buat golongan minoriti dan setiap perkahwinan perlu mematuhi saranan agama masing-masing.
Indonesia yang merupakan negara majoriti Muslim terbesar di dunia, secara rasmi mengiktiraf enam agama iaitu Islam, Protestan, Katolik, Buddha, Hindu, dan Konfucius.
Golongan Ateis langsung tidak diiktiraf dalam undang-undang negara tersebut.
Pada tahun 2012, Alexander Aan, seorang penjawat awam, dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan kerana menghina agama selepas berkongsi kandungan Ateis di Facebook.
Kanun Jenayah Indonesia menghukum sebarang perbuatan menghina agama dan penyebaran Ateism.
Situasi ini membuatkan golongan Ateis di Indonesia merasakan penguatkuasaan undang-undang ini dibuat secara selektif dan menafikan hak mereka untuk diberi perlindungan secara adil.
Bagaimanapun pada Januari 2024, Mahkamah Perlembagaan Indonesia membenarkan individu dari kumpulan agama minoriti yang tidak termasuk dalam enam agama yang diiktiraf secara rasmi untuk mendaftar sebagai ‘penganut yang tidak ditentukan’ dalam kad pengenalan mereka.
Aktivis Ateis berharap ini akan membuka jalan buat mereka dengan menyediakan pilihan ‘tiada agama’ di masa depan.-The Merdeka Times
