Kolumnis
Adakah Pongal sekadar pesta menuai?

“Ponggalo Pongal!”
Begitulah sorakan penuh semangat yang bergema dalam kalangan komuniti Tamil setiap kali susu mendidih melimpah dari belanga.
Namun, apakah yang sebenarnya tersirat di sebalik perayaan ini?
Seperti Deepavali dan Thaipusam, Pongal juga merupakan antara perayaan terbesar penganut Hindu, khususnya masyarakat Tamil yang sebenarnya melangkaui sekadar acara sosial.
Ia adalah sebuah pesta keagamaan yang menghormati Dewa Matahari Surya, lembu, dan alam semula jadi – kesemua ini dianggap sebagai sumber rezeki yang layak diagungkan.
Walaupun sering diuar-uarkan sebagai pesta menuai, hakikatnya ia adalah upacara keagamaan yang sarat dengan upacara yang tidak dapat dipisahkan daripada kepercayaan Hindu.
Malah, masyarakat Tamil juga meraikan Pesta Pongal selama empat hari, dengan setiap hari membawa simbolisme keagamaan yang jelas.
Hari pertama: ‘Bhogi Pongal’
Pada hari tersebut, mereka akan mengadakan upacara membakar barangan lama yang sudah tidak digunakan lagi.

Foto: Pada waktu Pongal, barangan lama akan dibakar sepanjang malam sebelum mereka menghias rumah.
Ritual ini, menurut presiden Malaysia Hindudharma Maamandram, A. Radhakrishnan, diibaratkan sebagai simbolik menghapuskan elemen negatif dan memulakan kehidupan baru dalam kepercayaan Hindu.
“Perayaan selama empat hari ini bermula dengan Bhogi, iaitu hari yang didedikasikan untuk muhasabah diri, yang dilambangkan melalui pembakaran barangan lama dan tidak digunakan. Ritual ini menjadi metafora untuk merenung diri dan menghapuskan unsur negatif, menandakan permulaan kitaran baharu,” katanya dalam artikel berita yang bertajuk Pongal: A Celebration beyond Religious Boundaries.
Hari kedua: Surya Pongal
Inilah hari utama dalam perayaan Pongal di mana mereka mendedikasikan seharian untuk menyembah Dewa Matahari Surya. Bagaimanakah caranya?
Pada hari tersebut, mereka akan menghias rumah dengan hiasan kolam dan menyediakan sajian istimewa iaitu nasi manis ‘Pongal’.

Foto: Kolam dan nasi Pongal; simbolik Pesta Pongal.
Mereka akan memasak hidangan tersebut sehingga mendidih dan melimpah-limpah dari periuk, serta ahli keluarga akan bersorak dengan gembira ‘Ponggalo Pongal’. Dipercayai sebagai lambang kekayaan yang melimpah ruah.
Bukan itu sahaja, Presiden Malaysia Hindu Sangam, Ganesan Thangavellu menyatakan bahawa terdapat waktu bertuah tertentu untuk menyediakan sajian ini.
Selepas selesai memasak sajian tersebut, mereka akan mempersembahkan sajian tersebut kepada Dewa Matahari sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang diberikan. Inilah waktu kemuncak dalam pesta perayaan Pongal.
Menurut buku Garis Panduan Kuil Hindu Kebangsaan terbitan Malaysia Hindu Sangam (MHS), sajian nasi manis Pongal adalah salah satu makanan yang dipersembahkan untuk santapan Tuhan yang dinamakan sebagai Naivedyam.

Foto: Pantang larang dalam menyediakan juadah Naivedyam.
Ini juga bukti bahawa perayaan ini bukan sekadar tradisi biasa tetapi sarat dengan elemen keagamaan.
Hari ketiga: Mattu Pongal
Kemudian, pada hari seterusnya iaitu Mattu Pongal pula dikhususkan untuk mereka menghormati dan menyembah lembu.
Pada hari tersebut, lembu-lembu akan diraikan sebagai salah satu tanda penghormatan atas tenaga kerja mereka dalam membantu menghasilkan tuaian dan susu yang melimpah.
Lembu-lembu tersebut akan dimandikan dan dihiasi cantik dengan manik berwarna-warni, kalungan bunga dan loceng.
Malah, mereka akan berdoa kepada lembu-lembu kerana dipercayai boleh menyumbang kepada kejayaan penuaian.

Foto: Maatu Pongal; Hari menghormati lembu-lembu
Selepas mensyukuri dewa dan alam, Pesta Pongal diakhiri dengan mendedikasikan hari terakhir untuk menghargai keluarga dan sanak saudara yang dinamakan Kaani Pongal.
Bukan itu sahaja, Kaani Pongal juga mempunyai makna istimewa bagi golongan wanita yang belum berkahwin.
Pada hari itu, mereka akan berdoa dengan penuh pengharapan untuk mendapatkan jodoh yang baik.
Melihat keadaan ini, adil untuk dikatakan bahawa upacara Pongal tidak dapat dipisahkan daripada setiap elemen kepercayaan dan penyembahan penganut Hindu.
Bagi Muslim, ini adalah garis merah yang jelas. Sebagaimana ditetapkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 2019 yang menyatakan: “Secara asasnya Muslim haram untuk menyambutnya”.
Ini bukan sahaja pandangan Islam.
Reverend Isaac Pandianandan, seorang paderi Kristian Tamil, turut menyatakan bahawa sambutan Pongal turut dianggap polytheism (syirik) kerana melibatkan penyembahan alam yang bertentangan dengan akidah Kristian.
“Kami memahami bahawa perayaan Pongal oleh penganut Hindu melibatkan penyembahan Surya, lembu, dan alam semula jadi. Semua ritualnya juga merupakan tradisi agama Hindu. Bagi kami, penganut Kristian, meraikan Pongal, sebuah perayaan Hindu, dianggap sebagai penyembahan berhala dan mengadaptasikannya sebagai satu kesesatan,” katanya dalam artikel Pongal: Study Paper.
Walaupun terdapat keringanan yang dibenarkan oleh pihak berautoriti agama mengikut situasi tertentu, namun sekiranya tiada keperluan maka hukum asas menyatakan bahawa secara umumnya Muslim tidak dibenarkan menyambut Pesta Pongal.
Adalah lebih baik untuk Muslim berwaspada dalam menyambut keraian yang bukan berasal dari agama Islam agar tidak tergelincir dalam perbuatan yang bertentangan dengan tauhid.
Dikhuatiri dengan menghadiri atau merayakan acara yang melibatkan elemen penyembahan jelas akan membuka ruang kepada fitnah akidah.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan”. (Sahih Muslim, No.107)
