Terkini
Hakim berkuasa jatuhkan hukuman sebat di khalayak ramai – Peguam
- Peguam, Dr Shamsher Singh Thind mengeluarkan kenyataan itu di Facebooknya semalam ketika pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara ke atas seorang tukang rumah yang melakukan kesalahan khalwat berulang terus menjadi perbahasan segelintir pihak sejak hukuman itu dilaporkan media.
- Dua seksyen yang memperuntukkan kaedah pelaksanaan hukuman sebatan di Terengganu ialah Seksyen 125 and Seksyen 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001, tetapi kedua-dua seksyen itu ‘senyap’ berkenaan dengan tempat di mana hukuman tersebut hendak dilaksanakan.
- Sehubungan itu, rujukan dibuat kepada Seksyen 230(2) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001, yang memperuntukkan: “Sekiranya terdapat kekosongan atau mana-mana perkara yang tidak dinyatakan secara jelas oleh Enakmen ini, Mahkamah hendaklah menerapkan Hukum Syarak.”
- “Hukum Syarak sememangnya membenarkan hukuman sebatan dilaksanakan di khalayak ramai… Oleh itu, saya sesungguhnya percaya tiada pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh Hakim tersebut.
- “Ada pihak kata hukuman sebat itu boleh dilaksanakan tetapi bukan di khalayak ramai. Saya percaya itu adalah budi bicara Hakim. Jangan kita lupa, ini adalah kali ketiga penama tersebut mengulangi kesalahan yang sama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
KUALA LUMPUR — Seorang peguam menjelaskan bahawa hakim berkuasa untuk menjatuhkan hukuman sebatan di khalayak ramai (sebat di luar penjara) berdasarkan budi bicaranya.
Dr Shamsher Singh Thind mengeluarkan kenyataan itu di Facebooknya semalam ketika pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara ke atas seorang tukang rumah yang melakukan kesalahan khalwat berulang terus menjadi perbahasan segelintir pihak sejak hukuman itu dilaporkan media.
Shamsher berkata dua seksyen yang memperuntukkan kaedah pelaksanaan hukuman sebatan di Terengganu ialah Seksyen 125 and Seksyen 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001, tetapi kedua-dua seksyen itu ‘senyap’ berkenaan dengan tempat di mana hukuman tersebut hendak dilaksanakan.
Sehubungan itu, rujukan dibuat kepada Seksyen 230(2) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001, yang memperuntukkan: “Sekiranya terdapat kekosongan atau mana-mana perkara yang tidak dinyatakan secara jelas oleh Enakmen ini, Mahkamah hendaklah menerapkan Hukum Syarak”.
“Hukum Syarak sememangnya membenarkan hukuman sebatan dilaksanakan di khalayak ramai… Oleh itu, saya sesungguhnya percaya tiada pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh Hakim tersebut.
“Ada pihak kata hukuman sebat itu boleh dilaksanakan tetapi bukan di khalayak ramai. Saya percaya itu adalah budi bicara Hakim. Jangan kita lupa, ini adalah kali ketiga penama tersebut mengulangi kesalahan yang sama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Shamsher turut membidas dakwaan segelintir pihak yang mengatakan Kerajaan Negeri Terengganu atau PAS menzalimi rakyat dengan menjelaskan bahawa hukuman sebatan dalam jenayah syariah tidak sama dan lebih lembut, berbanding sebatan dalam kes jenayah sivil.
Katanya, pakaian pesalah tidak dilondeh, pesalah tidak disebat hingga menyebabkan kulit pesalah koyak dan rotan digunakan juga jauh lebih ringan berbanding rotan dalam kes jenayah sivil.
“Dan hukuman sebatan ini ada dalam undang-undang syariah di semua negeri dalam Malaysia!
“Akhir sekali, jangan kita lupa, you spare the rod, you spoil the child.
“Undang-undang bertindak sebagai bapa kita. Pernah dengar konsep “in loco parentis”? Janganlah kita bangkitkan isu hak asasi manusia hanya semata-mata untuk “menyelamatkan” penjenayah sahaja. Bak kata pepatah orang putih, “when everything else has failed, let the criminal law take its course”,” kata Shamsher.
Dalam perkembangan sama, TRDI News hari ini melaporkan Mohd Affendi Awang, 42, yang menjadi individu pertama dijatuhi hukuman sebat di khalayak ramai tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah untuk menjalani hukuman enam sebatan pada jam 2.29 petang.
Tertuduh tiba menaiki kenderaan Penjara Marang, diiringi dua kereta peronda Penjara, dikerumuni pihak media dan orang ramai.
Tertuduh yang berpakaian lokap berwarna merah dan berpelitup muka dibawa masuk ke dewan masjid oleh pegawai penjara Marang.
Difahamkan, pegawai kesihatan melakukan pemeriksaan keadaan tertuduh sebelum hukuman sebatan dilaksanakan.
Tertuduh dibawa keluar dari dewan pada jam 3.01 petang dan dibawa keluar dari masjid diiringi kereta peronda penjara. — The Merdeka Times