Terkini
Vaksin Covid-19: Lapan individu saman Anwar, 24 defendan RM60 juta
- Lapan individu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini dan menuntut RM60 juta terhadap 25 pihak, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas dakwaan vaksinasi COVID-19 telah menyebabkan kematian dan komplikasi kesihatan yang teruk.
- Tuntutan saman sivil itu dikemukakan melalui tindakan saman berkumpulan difailkan menerusi firma guaman, Tetuan Mohamad Zainuddin & Co pada 23 Oktober lalu.
- Defendan lain ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Pfizer Malaysia; Sinovac Biotech Ltd; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Datuk Seri Dr Adham Baba, selain Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
- “Semua defendan amat cuai, sama ada dengan tidak menjalankan penyelidikan klinikal dan/atau pemeriksaan yang betul mengenai kesahihan COVID-19 dan keselamatan vaksin eksperimen bertoksik ini,” menurut kumpulan itu dalam saman berkenaan.
KUALA LUMPUR – Lapan individu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini dan menuntut RM60 juta terhadap 25 pihak, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas dakwaan vaksinasi COVID-19 telah menyebabkan kematian dan komplikasi kesihatan yang teruk.
Tuntutan saman sivil itu dikemukakan melalui tindakan saman berkumpulan difailkan menerusi firma guaman, Tetuan Mohamad Zainuddin & Co pada 23 Oktober lalu.
Defendan lain ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Pfizer Malaysia; Sinovac Biotech Ltd; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Datuk Seri Dr Adham Baba, selain Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Plaintif mendakwa WHO dan Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus membuat pengisytiharan palsu dan tidak saintifik berhubung pandemik COVID-19 pada 11 Mac 2020 dan kemudian meluluskan serta mengesyorkan negara anggota, termasuk Malaysia, untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lapor media tempatan hari ini.
“Mereka membuat usul palsu dan mengelirukan mengenai wabak COVID-19,” kata kumpulan itu sambil mendakwa wabak itu sebenarnya senjata biologi buatan manusia yang dicipta di makmal dan sengaja dibuat untuk menyerupai selesema bermusim.
Plaintif juga mendakwa hanya vaksin eksperimen bertoksik disyor digunakan untuk menangani pandemik didakwa mereka sebagai palsu itu.
“Semua defendan amat cuai, sama ada dengan tidak menjalankan penyelidikan klinikal dan/atau pemeriksaan yang betul mengenai kesahihan COVID-19 dan keselamatan vaksin eksperimen bertoksik ini,” menurut kumpulan itu dalam saman berkenaan.
Antara plaintif adalah seorang doktor mewakili ibunya yang didakwa meninggal dunia kerana mengalami komplikasi selepas mengambil vaksin dos satu, selain seorang anak lelaki sulung sebagai waris bapanya yang didakwa meninggal dunia atas sebab sama.
Individu lain ialah lelaki yang isterinya didakwa meninggal dunia selepas mengambil dos satu dan dua vaksin, selain seorang pekerja pembersihan rumput yang mendakwa tidak pernah alami masalah kesihatan sebelum diarahkan majikannya dan kerajaan mengambil dos satu dan dos dua vaksin.
Kumpulan itu turut mendakwa defendan pertama (D1) yang merujuk Muhyiddin, bukan sahaja menerima pandemik palsu tanpa penyiasatan dan pemeriksaan betul, tetapi juga melaksanakan PKP.
Dakwa mereka lagi, defendan menggunakan pengaruh tidak adil, penipuan, salah pernyataan, penindasan fakta dan kekurangan pendedahan sepenuhnya untuk mendapatkan persetujuan orang ramai bagi apa mereka gambarkan sebagai vaksin eksperimen bertoksik.
Sebab itu, kumpulan terbabit mendakwa rakyat Malaysia, termasuk mereka menandatangani borang persetujuan tanpa diberi maklumat sepenuhnya.
Justeru, plaintif meminta mahkamah mengisytiharkan COVID-19 adalah palsu, pandemik senjata biologi buatan manusia yang dicipta untuk menyerupai selesema bermusim. — The Merdeka Times