Terkini
‘Kini tiada siapa boleh kritik PM, Malaysia dah macam Korea Utara,’ – Kumpulan peguam
- Kumpulan peguam, Lawyers for Liberty (LFL) mengkritik penggunaan Akta Hasutan terhadap Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali berikutan kenyataannya dalam sebuah perhimpunan yang didakwa mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- “Adalah mengecewakan bahawa kerajaan Anwar Ibrahim terus menggunakan Akta Hasutan terhadap pengkritik, aktivis, atau lawan mereka
- “Nampaknya kini tiada siapa yang boleh mengkritik Perdana Menteri. Ini adalah pemerintahan ala Korea Utara,” kata Zaid dalam kenyataan di laman web LFL hari ini.
- Zaid menyifatkan tindakan itu sebagai pengkhianatan besar PH iaitu tulang belakang Kerajaan Madani apabila telah sepenuhnya meninggalkan janji ini dan mana-mana prinsip yang pernah dipegang menentang penggunaan Akta Hasutan terhadap lawan politik dan pengkritik kerajaan.
KUALA LUMPUR — Kumpulan peguam, Lawyers for Liberty (LFL) mengkritik penggunaan Akta Hasutan terhadap Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali berikutan kenyataannya dalam sebuah perhimpunan yang didakwa mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah LFL, Zaid Malek berkata tindakan itu sangat membimbangkan apabila kerajaan terus menggunakan Akta Hasutan terhadap pengkritik, aktivis atau lawan politik.
“Adalah mengecewakan bahawa kerajaan Anwar Ibrahim terus menggunakan Akta Hasutan terhadap pengkritik, aktivis atau lawan mereka.
“Nampaknya kini tiada siapa yang boleh mengkritik Perdana Menteri. Ini adalah pemerintahan ala Korea Utara,” kata Zaid dalam kenyataan di laman web LFL hari ini.
Menurut Zaid, akta ‘drakonian’ itu pernah dikutuk berulang kali oleh Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin PH lain yang mana ketika ini ramai di antara mereka berada dalam kabinet.
Beliau berkata mereka semua berjanji untuk memansuhkan akta itu selepas berkuasa.
“Mendiang Karpal Singh adalah penentang tegar Akta Hasutan; beliau pasti tidak berpuas hati terhadap perkara ini dalam kuburnya kini. DAP hari ini telah menjadi penyokong dan pendukung undang-undang hasutan,” tegas beliau.
Zaid turut menyifatkan tindakan itu sebagai pengkhianatan besar PH iaitu tulang belakang Kerajaan Madani apabila telah sepenuhnya meninggalkan janji tersebut dan mana-mana prinsip yang pernah dipegang menentang penggunaan Akta Hasutan terhadap lawan politik dan pengkritik kerajaan.
“Di manakah demokrat dan reformis hebat yang dijanjikan kepada kita?
“Kerajaan mesti mengambil langkah segera untuk memansuhkan Akta Hasutan. Selagi ia wujud, kerajaan tidak boleh dengan sebarang kuasa moral atau undang-undang mendakwa bahawa mereka menghormati hak kebebasan bersuara.
“Menyatakan bahawa kerajaan membenarkan kritik terhadapnya adalah tidak bermakna jika rakyat berterusan hidup dalam ketakutan untuk dikenakan tuduhan hasutan kerana berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata LFL menggesa agar siasatan jenayah terhadap Rafique Rashid kerana mengkritik PM dihentikan serta-merta.
Katanya, ini kerana siasatan itu adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan merupakan penyalahgunaan kuasa yang jelas.
Rafique yang juga seorang peguam berkata dia telah dihubungi unit siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan akan hadir untuk disoal siasat esok pada jam 2.30 petang hari ini.– The Merdeka Times