Antarabangsa
130,000 kanak-kanak di utara Gaza tiada akses makanan, ubat-ubatan
- Kira-kira 130,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun di utara Gaza dikepung selama 50 hari tanpa akses kepada makanan, air atau bekalan perubatan ekoran pengisytiharan kawasan itu sebagai “zon tentera tertutup” oleh Israel pada 6 Oktober 2024, lapor Save the Children.
- Kanak-kanak itu juga dilaporkan berdepan ancaman kebuluran yang semakin dekat, dengan Jawatankuasa Semakan Kebuluran memberi amaran keadaan itu mungkin teruk.
- Al Mayadeen pada Isnin melaporkan usaha kemanusiaan dihalang oleh keengganan tentera Israel untuk membenarkan kumpulan bantuan masuk ke utara Gaza, menyebabkan Save the Children tidak dapat menghantar bekalan penting seperti bungkusan makanan, kit kebersihan dan bahan bantuan lain untuk ribuan keluarga.
Kira-kira 130,000 kanak-kanak di bawah umur 10 tahun di utara Gaza dikepung selama 50 hari tanpa akses kepada makanan, air atau bekalan perubatan ekoran pengisytiharan kawasan itu sebagai “zon tentera tertutup” oleh Israel pada 6 Oktober 2024, lapor Save the Children.
Kanak-kanak itu juga dilaporkan berdepan ancaman kebuluran yang semakin dekat, dengan Jawatankuasa Semakan Kebuluran memberi amaran keadaan itu mungkin teruk.
Al Mayadeen pada Isnin melaporkan usaha kemanusiaan dihalang oleh keengganan tentera Israel untuk membenarkan kumpulan bantuan masuk ke utara Gaza, menyebabkan Save the Children tidak dapat menghantar bekalan penting seperti bungkusan makanan, kit kebersihan dan bahan bantuan lain untuk ribuan keluarga.
Kumpulan advokasi terbabit sebelum ini telah menyokong 15,000 kanak-kanak dan keluarga di kawasan itu, menyediakan makanan, kit kebersihan dan sokongan psikososial sebelum sekatan.
Bantuan perubatan juga terputus dan kempen vaksinasi polio baru-baru ini di utara Gaza telah terjejas dengan ketara, dengan kira-kira 10,000 kanak-kanak terlepas vaksinasi.
Save the Children terus menyeru akses segera untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terjejas walaupun keadaan semakin teruk.
Pengarah Serantau Save the Children, Jeremy Stoner menyatakan, “Keadaan di utara Gaza tidak sesuai untuk kelangsungan hidup manusia… Bantuan kemanusiaan ke Gaza telah mencecah paras terendah sepanjang masa… Akses kemanusiaan yang selamat mesti diberikan segera”.
Laporan itu juga menunjukkan jumlah korban yang memusnahkan kanak-kanak, dengan lebih 40 peratus korban daripada perang Israel adalah kanak-kanak, terutamanya mereka yang berumur antara lima dan sembilan tahun. – The Merdeka Times