Terkini
Singapura sekat akses ke laman web Malaysia jual vape
- Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) menyekat akses penduduk di negara itu ke laman web Malaysia yang menjual e-rokok atau “vape”.
- The Straits Times melaporkan HSA juga bekerjasama dengan platform e-dagang dan media sosial seperti Instagram, Facebook dan Carousell untuk mengalih keluar siaran yang menjual produk sedemikian apabila dikesan.
- Jurucakap HSA berkata lebih 6,000 siaran haram berkaitan e-vaporiser telah dialih keluar antara Januari hingga September.
- “HSA menyedari laporan luar negara mengenai trend di mana pengguna mengubah suai rupa e-vaporiser mereka untuk menyerupai barangan alat tulis harian.
- “Kami memerhatikan e-vaporiser sedemikian dalam pengawasan kami,” kata jurucakap HSA pada Selasa.
- Pada 3 Oktober lalu, Facebook Public Health Malaysia memberikan amaran kepada ibu bapa dan guru berkenaan reka bentuk vape menyerupai alat tulis seperti pen marker, pensil 2B dan gam Uhu.
KUALA LUMPUR — Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infokom (IMDA) menyekat akses penduduk di negara itu ke laman web Malaysia yang menjual e-rokok atau “vape”.
The Straits Times melaporkan HSA juga bekerjasama dengan platform e-dagang dan media sosial seperti Instagram, Facebook dan Carousell untuk mengalih keluar siaran yang menjual produk sedemikian apabila dikesan.
Jurucakap HSA berkata lebih 6,000 siaran haram berkaitan e-vaporiser telah dialih keluar antara Januari hingga September.
Katanya, agensi itu juga menjejaki platform media sosial dan aplikasi pemesejan untuk sebarang aktiviti haram berkaitan vape.
“HSA menyedari laporan luar negara mengenai trend di mana pengguna mengubah suai rupa e-vaporiser mereka untuk menyerupai barangan alat tulis harian.
“Kami memerhatikan e-vaporiser sedemikian dalam pengawasan kami,” kata jurucakap HSA pada Selasa.
The Straits Times berkata laman web menjual vape yang menyerupai ‘highlighters’, tersedia untuk penghantaran ke Singapura tidak lagi boleh diakses pada 21 Oktober lalu.
Pada 3 Oktober lalu, Facebook Public Health Malaysia memberikan amaran kepada ibu bapa dan guru berkenaan reka bentuk vape menyerupai alat tulis seperti pen marker, pensil 2B dan gam Uhu.
Pihak berkuasa dilaporkan diminta mengambil tindakan tegas terhadap peniaga dan penjual yang memasarkan vape atau rokok elektronik yang menyerupai peralatan alat tulis.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Sri Ayub Yaakob berkata taktik itu menyasarkan pelajar sekolah dan bukan sahaja menarik minat remaja serta kanak- kanak untuk membeli, tetapi juga mengelirukan guru, ibu bapa dan penjaga.
Ayub berkata tindakan penjual jelas melanggar beberapa undang-undang seperti Akta Hak Cipta 1987, Akta Paten (Pindaan) 2022 serta Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan serta merencatkan usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan remaja atau pelajar kepada produk merokok, termasuk vape meskipun Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah mula dikuatkuasakan 1 Oktober lalu.
Vape diharamkan di Singapura dan menjadi satu kesalahan untuk memiliki, membeli atau menggunakan rokok elektronik dan komponen berkaitannya serta pesalah boleh didenda sehingga 2,000 dolar Singapura bagi setiap kesalahan.
Menurut BERNAMA, menjadi satu kesalahan untuk menjual, memiliki untuk dijual, mengimport atau mengedar rokok elektronik dan komponen berkaitannya.
Pesalah boleh didenda sehingga 10,000 dolar Singapura atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan didenda sehingga 20,000 dolar Singapura atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya untuk kesalahan kedua atau seterusnya. — The Merdeka Times