Terkini
Dobi, bangunan kerja tempat baharu larangan merokok
Premis dobi dan bangunan tempat kerja adalah dua kawasan baharu diwartakan tempat larangan merokok yang akan dikuatkuasakan selepas 1 Januari 2025.
- Premis dobi dan bangunan tempat kerja adalah dua kawasan baharu diwartakan tempat larangan merokok yang akan dikuatkuasakan selepas 1 Januari 2025.
- Ia antara 28 kawasan disenaraikan dalam tempat larangan merokok, berbanding 23 lokasi selepas Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] dikuatkuasakan 1 Oktober lalu.
- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meluahkan rasa syukur dengan pewartaan premis dobi sebagai kawasan larangan merokok di bawah Akta 852 berikutan ia sudah lama diperjuangkannya ketika beliau menjawat Menteri Kesihatan pada 2019.
- “Ini kerana kawasan itu didatangi ibu-ibu, isteri yang membawa anak-anak kecil memandangkan ia tempat awam,” katanya dipetik media tempatan ketika sidang akhbar selepas sesi taklimat media Akta 852 di Putrajaya hari ini.
KUALA LUMPUR — Premis dobi dan bangunan tempat kerja adalah dua kawasan baharu diwartakan tempat larangan merokok yang akan dikuatkuasakan selepas 1 Januari 2025.
Ia antara 28 kawasan disenaraikan dalam tempat larangan merokok, berbanding 23 lokasi selepas Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] dikuatkuasakan 1 Oktober lalu.
Penguatkuasaan kawasan baharu itu dibuat secara berfasa dan memberi tempoh tiga bulan kepada premis sebelum penguatkuasaan dilaksanakan, manakala tempat larangan merokok yang telah diwartakan sebelum ini dikuatkuasakan berterusan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad meluahkan rasa syukur dengan pewartaan premis dobi sebagai kawasan larangan merokok di bawah Akta 852 berikutan ia sudah lama diperjuangkannya ketika beliau menjawat Menteri Kesihatan pada 2019.
“Ini kerana kawasan itu didatangi ibu-ibu, isteri yang membawa anak-anak kecil memandangkan ia tempat awam,” katanya dipetik media tempatan ketika sidang akhbar selepas sesi taklimat media Akta 852 di Putrajaya hari ini.
Susulan itu, mana-mana individu didapati bersalah merokok atau menggunakan produk merokok di kawasan larangan berkenaan akan dikenakan denda maksimum RM5,000.
Menurut BERNAMA, Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari lalu berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan dan perintah di bawahnya bermula 1 Oktober, namun penguatkuasaan akta itu akan melibatkan beberapa aspek yang akan dikuatkuasakan secara serta-merta dan berfasa.
Pelaksanaan serta-merta melibatkan penjualan produk merokok berbentuk permainan dan menarik perhatian kanak-kanak serta remaja bertujuan mengekang kebolehdapatan produk itu.
Selain itu, peruntukan akta juga melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok serta berkaitan tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan dalam talian dan mesin layan diri.
Penguatkuasaan pendidikan pula akan dilaksanakan dahulu bagi tempoh enam hingga 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa bagi aspek seperti pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025, kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan (1 April 2025) serta pembungkusan dan pelabelan (1 Oktober 2025). — The Merdeka Times