Connect with us

Terkini

Kezaliman, fasisme berlaku jika ‘tangan’ majoriti perintah negara kenyataan fitnah berniat jahat – MP PKR

Kenyataan pihak tertentu kononnya “menyerahkan negara kepada tangan majoriti, maka kezaliman dan fasisme akan berlaku” adalah fitnah berniat jahat, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim.
  • Kenyataan pihak tertentu kononnya “menyerahkan negara kepada tangan majoriti, maka kezaliman dan fasisme akan berlaku” adalah fitnah berniat jahat, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim.
  • Hassan berkata sebagai seorang Melayu dan beragama Islam yang menghayati hidup secara adil, beliau merasa tersinggung dan terhina apabila kebaikan bangsa Melayu selama berkurun ini tidak dikenang dan dihargai rakyat yang asal usulnya pendatang.
  • “Sudah 15 kali pilihanraya umum diadakan di Malaysia… Sebanyak 13 kali PRU itu rakyat Semenanjung Tanah Melayu dan kemudiannya Sabah dan Sarawak telah menyerahkan negara ini kepada tangan majoriti. Adakah kezaliman dan fasisme telah mengambil alih di Malaysia ini?,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
  • Hassan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan  Pengasas Pusat KOMAS, Jerald Joseph yang dilaporkan mengatakan sekiranya pemerintahan (menyerahkan negara) kepada kaum majoriti, maka kezaliman dan fasisme akan mengambil alih.

KUALA LUMPUR — Kenyataan pihak tertentu kononnya “menyerahkan negara kepada tangan majoriti, maka kezaliman dan fasisme akan berlaku” adalah fitnah berniat jahat, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hassan Abdul Karim.

Hassan berkata sebagai seorang Melayu dan beragama Islam yang menghayati hidup secara adil, beliau merasa tersinggung dan terhina apabila kebaikan bangsa Melayu selama berkurun ini tidak dikenang dan dihargai rakyat yang asal usulnya pendatang.

Beliau berkata fakta bahawa orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu adalah penduduk asal tidak dapat dinafikan ekoran ia fakta sejarah, hukum dan politik, justeru suka atau tidak suka perlu diterima hakikat fakta orang bukan Melayu iaitu kaum Cina dan India adalah kaum pendatang.

Katanya, istilah pendatang itu bukan bersifat buruk atau menghina, tetapi ia hakikat dan tidak ada konotasi yang buruk terhadapnya.

“Oleh kerana kaum Melayu dan kaum peribumi di Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak menjadi golongan yang majoriti tentu sahaja sistem politik negara kita yang mengadakan pilihan raya di bawah sistem demokrasi yang kita warisi dari demokrasi Barat ala Westminster Parliament bahawa faktor demografi atau majoriti atau minoriti bilangan penduduk memainkan peranan dalam keputusan pilihanraya dan pembentukan kerajaan.

“Adalah silap sama sekali jika menyatakan satu gagasan janggal bahawa “Jika anda menyerahkan negara kepada tangan majoriti maka kezaliman akan mengambil alih, fasisme akan mengambil alih, itu bahaya.”

“Jika ini dinyatakan oleh Jerald Joseph, Pengasas Pusat KOMAS, iaitu sahabat baik saya yang saya kenal rapat, maka izinkan saya menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan Jerald Joseph dalam soal national question yang penting ini.

“Sudah 15 kali pilihanraya umum diadakan di Malaysia… Sebanyak 13 kali PRU itu rakyat Semenanjung Tanah Melayu dan kemudiannya Sabah dan Sarawak telah menyerahkan negara ini kepada tangan majoriti. Adakah kezaliman dan fasisme telah mengambil alih di Malaysia ini?,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Hassan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan  Pengasas Pusat KOMAS, Jerald Joseph yang dilaporkan mengatakan sekiranya pemerintahan (menyerahkan negara) kepada kaum majoriti, maka kezaliman dan fasisme akan mengambil alih.

Jerald menerusi artikel bertajuk, ‘NGO perlu kekal relevan, ikut peredaran zaman – pengasas Komas’ yang diterbitkan pada Isnin oleh media tempatan berkata keadaan bertambah sukar (menangani perkauman) apabila hak istimewa yang diberikan kepada kaum majoriti.

“Jika anda menyerahkan negara kepada tangan majoriti, maka kezaliman akan mengambil alih, fasisme akan mengambil alih, itu berbahaya,” katanya dipetik Malaysiakini.

Kenyataan itu mendapat perhatian Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar yang menegaskan ia adalah fitnah dan anggapan yang jauh menyeleweng ke atas Bumiputera.

Mengulas lanjut, Hassan yang juga seorang peguam berkata kebebasan mahkamah wujud di Malaysia di mana tindakan tidak adil oleh kerajaan boleh disemak di mahkamah di bawah prosiding semakan kehakiman atau judicial review.

“Adakah di negara yang mengamalkan fasisme membenarkan keputusan kerajaan atau eksekutif di cabar di mahkamah.

“Malaysia mengamalkan doktrin pengasingan kuasa atau separation of powers yang memisahkan bidang kuasa tiga badan kerajaan iaitu Eksekutif, Mahkamah ( judiciary) dan Parlimen (legislative).

“Sistem pemisahan kuasa ini adalah bertujuan untuk mencegah negara ini terjerumus kepada sistem pemerintahan yang zalim dan fasis,” kata Hassan. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *