Connect with us

Terkini

NGO sokong gubal Akta Anti Penapisan Palestin, Halang media sosial ‘tutup’ keganasan Israel

Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong cadangan penggubalan Akta Anti Penapisan Palestin ekoran terlalu banyak penapisan atau sekatan dilakukan secara sesuka hati ke atas posting berkaitan Palestin oleh pelbagai platform media sosial.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid (Cikgu Azmi) (kiri) & Pengerusi BDS Malaysia, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail (kanan).
  • Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid (Cikgu Azmi) berkata ketika ini Malaysia wajar mengadakan satu peraturan atau undang-undang untuk menyekat sebarang penapisan ke atas isu Palestin.
  • Cikgu Azmi sangat kesal dan mengecam tindakan pemilik platform media sosial yang memadamkan pandangan pelbagai pihak terhadap isu Palestin di mana beliau dan MAPIM sendiri mengalaminya.
  • “Kita tahu ini (penapisan posting berkaitan Palestin) disebabkan mereka mahu menutup dan melindungi keganasan dilakukan Israel, mereka tidak mahu orang awam mengetahui, apa pandangan orang ramai dan apa berita sedang berlaku di Palestin,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini pada Khamis.
  • Cikgu Azmi mengulas kenyataan peguam, Lukman Sheriff Alias yang mahu Malaysia menggubal Akta Anti Penapisan Palestin itu ekoran ketika ini terlalu banyak penapisan dilakukan secara sesuka hati ke atas posting berkaitan Palestin oleh pelbagai platform media sosial, termasuk Facebook, Instagram dan TikTok
  • Mengulas isu sama, Pengerusi BDS Malaysia, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail bersetuju dengan cadangan berkenaan Akta Anti Penapisan Palestin kerana ia satu tindakan wajar.
  • Mohd Nazari sendiri perlu menggunakan teknik menukar nama rejim zionis Israel menjadi Isr**l untuk mengelak postingnya disekat pihak media sosial.

KUALA LUMPUR — Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong cadangan penggubalan Akta Anti Penapisan Palestin ekoran terlalu banyak penapisan atau sekatan dilakukan secara sesuka hati ke atas posting berkaitan Palestin oleh pelbagai platform media sosial.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi berkata, ketika ini Malaysia wajar mengadakan satu peraturan atau undang-undang untuk menyekat sebarang penapisan ke atas isu Palestin.

Cikgu Azmi berkata beliau sangat kesal dan mengecam tindakan pemilik platform media sosial yang memadamkan atau menggugurkan pandangan pelbagai pihak terhadap isu Palestin di mana beliau dan MAPIM sendiri mengalaminya.

“Kita tahu ini (penapisan posting berkaitan Palestin) disebabkan mereka mahu menutup dan melindungi keganasan dilakukan Israel, mereka tidak mahu orang awam mengetahui, apa pandangan orang ramai dan apa berita sedang berlaku di Palestin.

“Pandangan saya terhadap pihak yang tidak bersolidariti (termasuk pemilik media sosial) atau malah tidak merasa simpati terhadap apa berlaku di Palestin terutama di Gaza, itu bagi saya adalah bersekongkol dengan pihak Israel, mendiamkan pendapat awam terhadap Israel ini adalah satu persekongkolan,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini pada Khamis.

Cikgu Azmi berkata demikian mengulas tentang kenyataan peguam, Lukman Sheriff Alias yang mahu Malaysia menggubal Akta Anti Penapisan Palestin ekoran ketika ini terlalu banyak penapisan dilakukan secara sesuka hati ke atas posting berkaitan Palestin oleh pelbagai platform media sosial, termasuk Facebook, Instagram dan TikTok.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengalami nasib sama dalam isu penapisan kandungan berkaitan Palestin apabila gambar beliau bersama pemimpin Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh di Doha, Qatar pada Mei lalu diturunkan Meta.

Dalam pada itu, Cikgu Azmi menegaskan masyarakat yang pro-Palestin tidak boleh dikalahkan dalam perang maklumat ini dan semua aktivis media sosial perlu berterusan mendedahkan maklumat terkini berkaitan isu terbabit sebagai tanda solidariti.

“Saya menyatakan pendirian kita tidak boleh dikalahkan dalam perang maklumat ini bukan sahaja perang medan bersenjata tetapi perang maklumat adalah satu lagi perang kita perlu sertai.

“Saya mengharapkan semua aktivis media sosial di Malaysia harus terus berusaha supaya kita tunjukkan solidariti kita dengan mendedahkan maklumat-maklumat yang terkini (berkaitan keganasan Israel ke atas Palestin) tetapi biar sah, fakta yang betul untuk kita perbanyakkan dan memperluaskan.

“Isu pembunuhan Ismail Haniyeh (pemimpin tertinggi Hamas) ini menunjukkan betapa pihak Israel sudah tidak lagi ada garis merah bagi mereka,” katanya.

Mengulas isu sama, Pengerusi Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail bersetuju dengan cadangan Lukman Sheriff berkenaan Akta Anti Penapisan Palestin kerana ia satu tindakan wajar.

Mohd Nazari berkata beliau sendiri perlu menggunakan teknik menukar nama rejim zionis Israel menjadi Isr**l untuk mengelak postingnya disekat pihak media sosial.

“Saya setuju dengan cadangan peguam Lukman Sheriff berkenaan akta tersebut. Ia sangat wajar

“Saya terpaksa menggunakan teknik menukar nama Israel menjadi Isr**l untuk mengelak posting saya disekat.

“Posting saya tak pernah disekat, tapi posting dari BDS Malaysia beberapa kali disekat atau di delete,” katanya ketika diajukan pertanyaan sama ada posting beliau berkaitan Palestin pernah dipadam atau disekat di media sosial. —- The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *