Connect with us

Agama

Asyarah Mubasyarah: Tingginya ‘Izzah Umar al-Khattab terhadap Islam

“Aku risau akan tibanya satu hari di mana kuffar akan berbangga dengan kekufuran mereka, manakala Muslim akan malu dengan keislamannya”.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

“Aku risau akan tibanya satu hari di mana kuffar akan berbangga dengan kekufuran mereka, manakala Muslim akan malu dengan keislamannya”.

Itulah kegusaran Saidina Umar Al-Khattab RA yang telahpun menjadi realiti dalam masyarakat Muslim. 

Identiti Islam hanya pada nama dan kad pengenalan. Tetapi, cara hidup dan cara fikir langsung tidak mencerminkan nilai Islam. 

Sebaliknya, ramai Muslim kini bersikap apologetik dan malu hendak mempertahankan agamanya sendiri di saat Islam sedang dihina. 

“Islam kan agama toleransi. Kita harus bertolak ansur dan membahagiakan bukan Muslim,” kata mereka.

Sememangnya Islam adalah agama toleransi, namun had bertoleransi juga ada prinsipnya.   

Berbeza sungguh keadaan Muslim yang kini lebih bersikap defensif jika hendak dibandingkan dengan karakter Umar ibn Al-Khattab, sahabat Nabi Muhammad SAW yang tegas membela agama Allah. 

Cukup dengan kehadiran seorang Umar, seluruh umat Islam memperoleh kekuatan dan sudah menggoncang ketakutan kaum Musyrikin ketika itu. 

Bahkan Rasulullah SAW sendiri mendoakan Umar masuk ke dalam Islam dan mengiktiraf kekuatan personalitinya yang boleh membantu agama Allah, “Ya Allah, muliakan Islam dengan (keislaman) Abu Jahal ataupun ‘Umar bin al-Khattab.”

Umar, Sang Pembela Agama Allah 

Keperibadian Umar yang tegas itu mungkin dibentuk daripada didikan bapanya, Al-Khattab yang amat kasar sejak kecil. Secara tidak langsung menjadikan Umar RA seorang pemuda yang tegas berprinsip dan tidak mudah goyah dalam pendirian. 

Malah sebelum pengislamannya, Umar Al-Khattab adalah antara yang lantang menentang dakwah Nabi Muhammad SAW, menindas kaum Muslimin, malah tidak menyembunyikan keinginannya untuk membunuh Nabi Muhammad SAW. 

Kelantangannya dalam menentang Islam menjadikan beliau, seorang figura yang ditakuti kaum Muslimin. Namun, takdir Allah menentukan sebaliknya dan sebaiknya untuk Islam. 

Diceritakan ketika kaum Quraisy membincangkan hal Muhammad SAW, ‘Umar ibn Al-Khattab terus berkata: ‘Aku yang akan membunuh Muhammad.’ Mereka semua bersetuju, menunjukkan betapa besar pengaruh Umar dalam kalangan mereka.

Maka keluarlah Umar dengan pedang di sisinya dan mencari Nabi Muhammad SAW. Dalam perjalanannya menuju ke Dar Al-Arqam di kaki bukit as-Safa, Umar ditemui oleh Nu’aim ibn Abdullah An-Nahham yang berkata, “Ke mana arahmu wahai Umar?” 

Dia berkata, “Aku mencari sabi ini (orang yang menukar agama), yang telah memecah belahkan Quraisy, menghina kecerdasan mereka, mencela agama mereka dan memfitnah tuhan-tuhan mereka. Aku akan bunuh dia”.

Ironinya, tuduhan yang sama dilontarkan oleh Umar RA suatu ketika dahulu kini diulang kembali oleh sebahagian bukan Muslim kini yang khuatir agama Islam akan menggoyahkan adat tradisi yang mereka pegang selama ini.  

Tuduhan ini mencerminkan ketakutan yang sama terhadap perubahan dan kebenaran yang dibawa oleh Islam.  

Namun, berbeza dengan penentang-penentang Islam seperti Abu Jahal dan Abu Lahab yang hatinya sudah tertutup, Umar RA bukanlah seorang yang egois dan menolak kebenaran.  

Ketika kebenaran sudah tersingkap di hadapannya, Umar RA tanpa sedikitpun keraguan terus meninggalkan segala kepercayaan jahiliahnya yang terdahulu dan bangkit menerima cahaya Islam walaupun baru sedetik lalu, beliau mahu membunuh Nabi SAW. 

Peristiwa pengislamannya merupakan titik perubahan terbesar dalam sejarah Islam dan sumber kekuatan kaum Muslimin pada ketika itu. 

Bertepatanlah dengan gelaran ‘Al-Faruq’ (Pembeza hak dan batil) yang diberi Rasulullah SAW pada hari pertama Umar RA memeluk Islam. 

Tanpa sebarang rasa gentar, Umar sendiri meminta kepada Rasulullah SAW untuk mengisytiharkan pengislamannya di seluruh Makkah. 

“Ya Rasulullah, apakah aku di dalam kebenaran jika aku mati ataupun jika aku hidup?” soal Umar. 

Rasulullah SAW menjawab, “Ya Umar, demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, engkau berada dalam kebenaran jika engkau mati ataupun jika engkau hidup”.

Umar pun kembali bertanya, “Kalau begitu, kenapa kita masih merahsiakan keislaman kita, demi Zat yang mengutusmu dengan membawa kebenaran, mari kita keluar wahai Rasulullah”.

Mendengar hal tersebut, Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat untuk menuju masjid. Pada hari itu, seluruh umat Islam di Makkah menunjukkan keislaman mereka secara terang-terangan.

Apatah lagi dengan kehadiran Hamzah RA memimpin barisan pertama dan Umar RA memimpin barisan yang kedua, umat Islam pada saat itu yakin mereka sudah berada dalam keadaan yang kuat dan sedia. 

Bukan itu sahaja, bayangkan betapa tingginya kebanggaan Umar kepada Islam sehingga beliau sanggup mengetuk setiap pintu rumah musuh-musuh Islam untuk mengisytiharkan pengislamannya.  

Umar RA sendiri yang menceritakan, “Aku dahulu tidak sanggup melihat walaupun satu lelaki Muslim. Namun pada hari pengislamanku, aku pergi ke rumah Abu Jahal dan mengetuk pintunya…Aku berkata: ‘Sudahkah kau mendengar bahawa aku telah tukar agama?’…Abu Jahal terus masuk ke dalam dan menghempas pintu ke mukaku. Tetapi aku hanya berkata:  ‘Ada aku kisah?’”. 

Keberanian dan kebanggaan Umar RA mempamerkan identiti seorang Muslim sentiasa terpancar sepanjang sirah perjalanan hidupnya. 

Tiada seorang sahabat yang berani berhijrah ke Madinah secara terang-terangan, malah mencabar kaum Musyrikin Mekah yang ingin menghalang hijrahnya melainkan Umar RA. 

“Barangsiapa yang mahu isterinya menjadi balu, anaknya menjadi yatim dan ibubapanya kehilangan anak, jumpa aku di sebalik itu pada waktu (sekian) kerana aku akan pergi ke Yathrib (nama lama Madinah),” cabar Umar Al-Khattab. 

Walaupun sepanjang Umar RA menjadi khalifah diberi kuasa untuk memerintah umat Islam selepas Saidina Abu Bakar, keizzahannya terhadap Islam tidak pernah terpadam, malah sentiasa mendahulukan kemuliaan Islam lebih daripada dirinya sendiri.

Abdullah ibn Mas’ud RA juga pernah berkata:  “Pengislaman ‘Umar adalah satu kemuliaan (kepada kami), hijrahnya pula merupakan satu kemenangan dan kepimpinannya satu rahmat. Demi Allah, kami sebelumnya tidak mampu untuk menunaikan solat sekitar Kaabah secara terang-terangan sehinggalah pengislaman ‘Umar”.

Kesimpulan

Kemuliaan Muslim adalah dengan Islam iaitu menjaga kedudukan agama Allah. Ketinggian prinsip Muslim adalah dengan peranannya yang utama iaitu menyeru kepada kebaikan dan kebenaran dan menolak kemungkaran. 

Maka apabila ada sesetengah golongan Muslim malu dengan keislamannya dan meragui keimanannya sehinggakan sanggup tunduk akur kepada kehendak-kehendak para anti-Islam demi menjaga hati, ingatlah kata-kata Saidina Umar RA yang bersikap tegas dengan mereka yang memusuhi Islam dan sentiasa meletakkan agamanya yang teratas, “Kita adalah kaum yang dimuliakan Allah dengan Islam. Bilamana kita mencari izzah (kemuliaan) selain dari Islam, maka Allah akan merendahkan kedudukan kita.” 

Semangat keizzahan Umar terhadap Islam ini adalah sesuatu yang perlu dicontohi dan diikuti oleh umat Islam zaman sekarang. 

Bersuara dan mempertahankan Islam apabila agama Islam dihina dan diperkotak-katikkan bukannya hanya berdiam diri dan kaku membisu seolah-olah seperti manusia tanpa prinsip. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *