Terkini
Mahkamah Tinggi tolak tuntutan wanita mahu diisytihar bukan Muslim
Hasrat seorang wanita ingin diisytiharkan sebagai bukan Islam dalam rekod rasmi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditolak Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, demikian lapor media tempatan pada Rabu.
- Hasrat seorang wanita ingin diisytiharkan sebagai bukan Islam dalam rekod rasmi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditolak Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, demikian lapor media tempatan pada Rabu.
- Hakim Datuk Quay Chew Soon mengenepikan tuntutan wanita berusia 27 tahun itu kepada JPN berikutan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
- Wanita itu berkata dia dibesarkan oleh ibu angkat beragama Hindu, selepas ibu kandungnya yang merupakan seorang Muslim, meninggal dunia.
- “Tidak kira sama ada dia mengamalkan atau mempercayai agama Islam. Sekiranya seseorang itu dilahirkan sebagai seorang Muslim, maka di sisi undang-undang dia seseorang yang menganut agama Islam,” kata Chew Soon
- Chew Soon menjelaskan menurut Seksyen 2(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pulau Pinang), wanita itu dianggap sebagai seorang Muslim sekiranya ibu atau bapanya menganut Islam.
KUALA LUMPUR — Hasrat seorang wanita ingin diisytiharkan sebagai bukan Islam dalam rekod rasmi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditolak Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, demikian lapor media tempatan pada Rabu.
Hakim Datuk Quay Chew Soon mengenepikan tuntutan wanita berusia 27 tahun itu kepada JPN berikutan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
Wanita itu berkata dia dibesarkan oleh ibu angkat beragama Hindu, selepas ibu kandungnya yang merupakan seorang Muslim, meninggal dunia.
Dia mendakwa tidak pernah menjadi seorang Muslim dan tidak mengamalkan Islam.
Hakim bagaimanapun, berkata ibu angkat kepada wanita terbabit ada menunjukkan bahawa wanita itu beragama Islam, ketika memohon kad pengenalan untuknya ketika berusia 12 tahun.
“Plaintif berhujah dia dibesarkan sebagai seorang Hindu oleh ibu angkatnya dan tidak belajar tentang Islam di sekolah,” kata hakim.
Mahkamah ambil maklum bahawa wanita itu mengikuti dan mengambil kertas Pendidikan Moral apabila menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Tidak kira sama ada dia mengamalkan atau mempercayai agama Islam. Sekiranya seseorang itu dilahirkan sebagai seorang Muslim, maka di sisi undang-undang dia seseorang yang menganut agama Islam,” katanya.
Chew Soon menjelaskan menurut Seksyen 2(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pulau Pinang), wanita itu dianggap sebagai seorang Muslim sekiranya ibu atau bapanya menganut Islam.
“Plaintif berhujah JPN tidak mempunyai status agama bapa kandungnya dan tiada maklumat sama ada ibu bapanya berkahwin. Dia berhujah sekalipun bapanya seorang Muslim, dia tak boleh memberikan agamanya kepadanya,” katanya. — The Merdeka Times