Terkini
Isu UiTM: UM disaran percepatkan program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks – ARMADA BERSATU
ARMADA BERSATU Malaysia menyarankan Universiti Malaya (UM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mempercepatkan proses pendaftaran, pembukaan dan kemasukan bagi program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks di universiti berkenaan.
- ARMADA BERSATU Malaysia menyarankan Universiti Malaya (UM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mempercepatkan proses pendaftaran, pembukaan dan kemasukan bagi program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks di universiti berkenaan.
- Penolong Setiausahanya, Muhammad Faiz Rahmad berkata pihaknya mengutarakan perkara itu berikutan cadangan supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka sementara program berkenaan kepada pelatih dan graduan Parallel Pathway bukan bumiputera disebabkan UM belum membuka program bidang itu.
- Sekalipun pihaknya menolak cadangan pembukaan kuota sementara kepada bukan bumiputera ke UiTM dalam isu tersebut, namun beliau tidak menafikan penting untuk sektor kesihatan negara ini terus berkembang menghasilkan lebih ramai pakar bidang-bidang kritikal seperti pembedahan kardiotoraks.
- “Maka, bagi menangani isu berbangkit membabitkan cadangan pembukaan kuota sementara kemasukan ke UiTM ini, ARMADA BERSATU Malaysia mencadangkan perkara-perkara berikut iaitu pihak Jabatan Pengajian UiTM-IJN melakukan penyumberan bakat dalam kalangan bumiputera, termasuk anak negeri Sabah dan Sarawak bagi mengisi kuota kemasukan program ini.
- “Pelajar pascasiswazah bukan bumiputera yang disenarai pendek untuk mengikuti bidang ini didaftarkan ke mana-mana institut pengajian tinggi lain dan menjalankan proses pembelajaran program bidang ini secara usahasama geran (grant joint-venture),” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
KUALA LUMPUR — ARMADA BERSATU Malaysia menyarankan Universiti Malaya (UM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mempercepatkan proses pendaftaran, pembukaan dan kemasukan bagi program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks di universiti berkenaan.
Penolong Setiausahanya, Muhammad Faiz Rahmad berkata pihaknya mengutarakan perkara itu berikutan cadangan supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka sementara program berkenaan kepada pelatih dan graduan Parallel Pathway bukan bumiputera disebabkan UM belum membuka program bidang itu.
Muhammad Faiz berkata sekalipun pihaknya menolak cadangan pembukaan kuota sementara kepada bukan bumiputera ke UiTM dalam isu tersebut, namun tidak dinafikan penting untuk sektor kesihatan negara ini terus berkembang menghasilkan lebih ramai pakar bidang-bidang kritikal seperti pembedahan kardiotoraks.
Ia bagi memastikan mutu dan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan di Malaysia bertaraf global.
“Maka, bagi menangani isu berbangkit membabitkan cadangan pembukaan kuota sementara kemasukan ke UiTM ini, ARMADA BERSATU Malaysia mencadangkan perkara-perkara berikut iaitu pihak Jabatan Pengajian UiTM-IJN melakukan penyumberan bakat dalam kalangan bumiputera, termasuk anak negeri Sabah dan Sarawak bagi mengisi kuota kemasukan program ini.
“Pihak UM dengan kerjasama dan bantuan KPT mempercepatkan proses pendaftaran, pembukaan dan kemasukan bagi program bidang sama memandangkan cadangan pembukaan kuota sementara adalah disebabkan UM belum lagi membuka program bidang ini.
“Pelajar pascasiswazah bukan bumiputera yang disenarai pendek untuk mengikuti bidang ini didaftarkan ke mana-mana institut pengajian tinggi lain dan menjalankan proses pembelajaran program bidang ini secara usahasama geran (grant joint-venture),” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Muhammad Faiz menjelaskan pihaknya senada dengan pandangan Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Malaysia (MPP UiTM), Persekutuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) dan Kesatuan Kakitangan Umum (KKUUiTM) untuk menolak cadangan kemasukan bukan bumiputera ke UiTM, kerana ia bercanggah prinsip asas penubuhan UiTM di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Akta 173.
Beliau berkata cadangan itu juga sekiranya diteruskan akan mewujudkan suatu dahuluan dan rekod kemasukan bukan bumiputera ke UiTM di mana ia akan membuka ruang kepada permintaan sama pada masa akan datang meskipun cadangan itu melibatkan pembukaan kuota sementara.
“ARMADA BERSATU Malaysia ingin mengingatkan supaya semua pihak lebih berhati-hati dalam mengutarakan cadangan lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan sensitiviti dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Terbaharu, KPT dilaporkan menegaskan tiada perbincangan diadakan pada peringkat kementerian atau Kabinet mengenai cadangan membuka kemasukan pelajar bukan bumiputera di UiTM.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata seperti mana dinyatakan beliau pada 2 Mei lalu, KPT sememangnya tidak pernah membincangkan atau membenarkan universiti awam itu dibuka kepada pelajar bukan bumiputera sepertimana isu itu dimainkan hari ini. — The Merdeka Times
Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/