Connect with us

Agama

(VIDEO) Cara Rasulullah SAW menyambut Aidilfitri

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Laa ilaaha illallahu Wallahu Akbar. Allahu Akbar Walillahil Hamd’. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Laa ilaaha illallahu Wallahu Akbar. Allahu Akbar Walillahil Hamd’. 

(Allah Maha Besar. Allah Maha Besar. Allah Maha Besar. Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar. Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya layak bagi Allah) 

Berkumandangnya takbir kelak menandakan kedatangan bulan Syawal dan tibanya hari yang sangat ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam, Hari Raya Aidilfitri. 

Ia adalah salah satu hari kebesaran dalam Islam di mana Muslim akan meraikan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran selepas berjaya melaksanakan ibadat puasa dengan sempurna sepanjang bulan Ramadan. Sepertimana saranan Allah SWT: 

“Sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana mendapat petunjukNya dan mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Surah Al-Baqarah 2:185)  

Oleh demikian marilah kita mengamalkan beberapa sunnah Nabi Muhammad SAW dalam menyambut hari kemenangan ini: 

1.Membesarkan Allah (takbir)

“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah kerana mendapat petunjuk-nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Surah Al-Baqarah 2: 185)  

2. Mandi Sunat

Diriwayatkan oleh Nafi’ bahawa Ibn ‘Umar RA selalu mandi pada hari raya Aidilfitri sebelum keluar ke tempat solat.

(Diriwayatkan oleh al-Imam Malik dalam al-Muwattha’ dan al-Imam ‘Abd al-Razzaq dengan sanad yang shahih)

3. Memakai pakaian terbaik dan berwangian (bagi lelaki)

Diriwayatkan oleh Nafi’ bahwa Ibn Umar RA sentiasa memakai pakaiannya yang terbaik ketika hari raya. (Al-Sunan al-Kubra lil-Bayhaqi, no 6143)  

4. Makan sebelum solat sunat Aidilfitri 

Diriwayatkan daripada Anas RA, katanya: “Rasulullah SAW tidak akan keluar pada pagi Aidilfitri sebelum Baginda makan beberapa biji tamar (terlebih dahulu).” (Sahih Bukhari, No. 953) 

5. Bayar zakat sebelum solat sunat Aidilfitri 

Diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW memerintahkan untuk membayar zakat fitrah sebelum orang ramai keluar mengerjakan solat (hari raya).” (Sahih Bukhari, No. 1509)

6. Menunaikan solat sunat Aidilfitri

Diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA, beliau berkata: “Kebiasaannya Rasulullah SAW pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha keluar menuju ke tempat solat. Perkara pertama yang Baginda mulakan ialah solat (sunat hari raya), kemudian Baginda berpaling dan berdiri menghadap orang ramai yang sedang duduk di saf-saf mereka lalu Baginda memberikan peringatan, wasiat dan perintah kepada mereka. Sekiranya Baginda mengutuskan pasukan, maka Baginda akan mengutusnya atau Baginda ingin memerintahkan sesuatu, maka Baginda akan memerintahkannya.” (Sahih Bukhari, No. 956) 

7. Disunatkan wanita hadir ke kawasan solat Hari Raya

Diriwayatkan oleh Um ‘Atiya, beliau berkata: “Kami diperintahkan untuk keluar pada hari raya serta membawa bersama anak dara dari biliknya dan wanita haid lalu mereka akan berada di belakang orang ramai bertakbir dan berdoa mengharapkan keberkatan pada hari tersebut bersama-sama dengan orang ramai.” (Sahih Bukhari, No. 971) 

8. Pulang ke rumah melalui jalan yang berbeza 

Jabir bin Abdullah RA berkata: “Rasulullah SAW melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” (Sahih Bukhari, No. 986) 

9. Tidak berpuasa pada 1 Syawal, namun berpuasa enam hari sesudahnya

Umar bin Khattab RA berkata: “Pada kedua hari ini, Rasulullah SAW telah melarang orang berpuasa iaitu pada hari raya Aidilfitri sesudah Ramadan dan hari raya Aidiladha sesudah wuquf di Arafah.” (Sahih Bukhari, No. 1990) 

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” (Sahih Muslim, No. 1164)

Dengan menghidupkan sunnah-sunnah ini, semoga kita dapat merayakan Aidilfitri dengan lebih bermakna, membawa berkah dan kebahagian yang lebih luas kepada diri sendiri dan orang-orang di sekitar kita. 

Semoga Aidilfitri tahun ini menjadi detik yang membawa kebahagiaan dan kedamaian untuk kita semua. 

Taqabballahu minna wa minkum (Semoga Allah menerima amal ibadah kita semua).

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin. –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *