Terkini
‘Bina Semula Gaza’ bincang hala tuju pascaperang
Lebih 200 delegasi daripada 23 negara akan menyertai ‘International Post War Gaza Rebuilding Programme’ yang bertujuan membincangkan hala tuju pembangunan semula pascaperang di kawasan bergolak itu.
- Lebih 200 delegasi daripada 23 negara akan menyertai ‘International Post War Gaza Rebuilding Programme’ yang bertujuan membincangkan hala tuju pembangunan semula pascaperang di kawasan bergolak itu.
- Program tiga hari dijadual berlangsung bermula 10 Februari ini di Shah Alam, Selangor.
- “Perdana Menteri sangat bersetuju untuk Malaysia jadi peneraju untuk rancang bagaimana nak membantu Palestin selepas perang,” – Mohd Azmi
SUNGAI PETANI – Lebih 200 delegasi daripada 23 negara akan menyertai ‘International Post War Gaza Rebuilding Programme’ yang bertujuan membincangkan hala tuju pembangunan semula pascaperang di kawasan bergolak itu.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata program tiga hari dijadual berlangsung bermula 10 Februari ini di Shah Alam, Selangor, akan disertai wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil kedutaan negara terbabit.
Beliau berkata, wakil yang sudah mengesahkan penyertaan antaranya dari Russia, United Kingdom, New Zealand, Pakistan, Indonesia, Lubnan, Singapura, Thailand, Kemboja serta negara Asia Barat.
“Persidangan ini akan mendengar maklumat terkini mengenai apa yang berlaku di Gaza, Palestin dan apakah keutamaan bantuan yang perlu disalurkan pascaperang.
“Semua delegasi akan berpakat dan berbincang bagaimana nak laksana (pembangunan semula Gaza).
“Selepas persidangan ini, kami akan tetapkan negara mana tumpu kepada kesihatan, prasarana dan pendidikan. Kami juga nak selaraskan dengan pihak berkuasa Gaza dan bergabung dengan badan-badan antarabangsa yang lain,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Azmi berkata, inisiatif itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Mereka sangat bersetuju untuk Malaysia jadi peneraju untuk rancang bagaimana nak membantu Palestin selepas perang,” katanya.
Beliau berkata, sejumlah AS$10 bilion (kira-kira RM47.6 bilion) diperlukan untuk pembangunan prasarana dan berharap rakyat di negara ini akan terus menghulurkan sumbangan bagi membantu semula pembangunan Gaza.
Mohd Azmi berkata, setakat 29 Januari lalu, sebanyak 26,737 kematian dengan 11,000 daripadanya adalah kanak-kanak direkodkan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak peperangan meletus pada 7 Oktober tahun lalu.
Sumber: BERNAMA