Terkini
Pengharaman buku ‘Gay is Okay!’: Penulis, penerbit mohon kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan
Penulis dan penerbit buku ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’ memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan perintah pengharaman buku berkenaan oleh Menteri Dalam Negeri.

- Penulis dan penerbit buku ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’ memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan perintah pengharaman buku berkenaan oleh Menteri Dalam Negeri.
- Peguam Edmund Bon mewakili penulis buku, Ngeo Boon Lin dan penerbit Gerakbudaya, Chong Ton Sin berkata, terdapat 11 persoalan perundangan dikemukakan pihaknya dalam permohonan kebenaran itu untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan.
- Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 Februari tahun depan sebagai tarikh mendengar permohonan kebenaran merayu itu.
- Mahkamah Rayuan pada 25 September lalu, mengekalkan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan buku bertajuk ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’, tiga tahun lalu.
KUALA LUMPUR — Penulis dan penerbit buku ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’ memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan perintah pengharaman buku berkenaan oleh Menteri Dalam Negeri.
Peguam Edmund Bon mewakili penulis buku, Ngeo Boon Lin dan penerbit Gerakbudaya, Chong Ton Sin berkata, terdapat 11 persoalan perundangan dikemukakan pihaknya dalam permohonan kebenaran itu untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan.
Katanya, antara persoalan dikemukakan sama ada Menteri Dalam Negeri sebelum menggunakan kuasa di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk melarang suatu penerbitan, hendaklah memberi pertimbangan sewajarnya terhadap hak kebebasan bercakap dan bersuara mengikut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Turut dikemukakan persoalan sama ada sebelum menteri menggunakan kuasanya mengikut seksyen itu berhubung suatu penerbitan mengenai pandangan agama, perlu menimbangkan nasihat pakar agama sebagai satu pertimbangan relevan sebelum keputusan dibuat.
Edmund dipetik Berita Harian sebagai berkata, Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 Februari tahun depan sebagai tarikh mendengar permohonan kebenaran merayu itu.
Mahkamah Rayuan pada 25 September lalu, mengekalkan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan buku bertajuk ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’, tiga tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Azizah Nawawi memutuskan demikian secara majoriti 2-1 selepas membenarkan rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia.
Dengan keputusan itu, mahkamah mengekalkan pengharaman buku ‘Gay is Okay! A Christian Perspective’ yang dikeluarkan menteri itu pada 27 November 2020.
Hakim Kian Kheong dilaporkan berkata, pengharaman buku itu oleh menteri berkenaan sejajar dengan undang-undang, rasional dan tidak melanggar keadilan.
Keputusan majoriti itu turut menyatakan menteri berkenaan membuat justifikasi yang betul berlandaskan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. — The Merdeka Times
