Terkini
Kenaikan gaji tahunan 10 peratus, Pekerja terpaksa dikurangkan – MEF
Kenaikan gaji tahunan sehingga 10 peratus boleh menyebabkan majikan terpaksa mengurangkan kos operasi dengan memberhentikan atau mengurangkan pekerja.

- Kenaikan gaji tahunan sehingga 10 peratus boleh menyebabkan majikan terpaksa mengurangkan kos operasi dengan memberhentikan atau mengurangkan pekerja, kata Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.
- Beliau berkata Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) juga menjangkakan pertumbuhan ekonomi dunia lebih rendah iaitu 2.9 peratus pada tahun ini berbanding tiga peratus pada 2022.
- “Majikan Malaysia kebanyakannya membayar kenaikan gaji berdasarkan prestasi dan produktiviti seseorang pekerja, termasuklah sama ada pekerja mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan. Untuk pekerja yang berprestasi baik mereka biasanya diberi kenaikan lebih tinggi.
- “Namun oleh kerana kekangan keadaan ekonomi yang masih tidak menentu kadar kenaikan tersebut kemungkinan besar akan kurang dari 10 peratus,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times pada Jumaat.
- Terdahulu, media melaporkan hasil tinjauan awam Robert Walters menunjukkan lebih tiga daripada lima pekerja di negara ini menjangkakan kenaikan gaji antara enam hingga 10 peratus pada tahun depan.
- Tinjauan The Merdeka Times pula mendapati orang ramai menyifatkan kenaikan gaji tahunan mencecah 10 peratus itu adalah wajar dan selari kenaikan kos sara hidup, khususnya di bandar.
KUALA LUMPUR – Kenaikan gaji tahunan sehingga 10 peratus boleh menyebabkan majikan terpaksa mengurangkan kos operasi dengan memberhentikan atau mengurangkan pekerja.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ini kerana ekonomi negara ketika ini masih dalam keadaan tidak menentu.
Katanya, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) juga menjangkakan pertumbuhan ekonomi dunia lebih rendah iaitu 2.9 peratus pada tahun ini berbanding tiga peratus pada 2022.
“Majikan Malaysia kebanyakannya membayar kenaikan gaji berdasarkan prestasi dan produktiviti seseorang pekerja, termasuklah sama ada pekerja mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan. Untuk pekerja yang berprestasi baik mereka biasanya diberi kenaikan lebih tinggi.
“Namun oleh kerana kekangan keadaan ekonomi yang masih tidak menentu kadar kenaikan tersebut kemungkinan besar akan kurang dari 10 peratus,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times pada Jumaat.
Terdahulu, media melaporkan hasil tinjauan awam Robert Walters menunjukkan lebih tiga daripada lima pekerja di negara ini menjangkakan kenaikan gaji antara enam hingga 10 peratus pada tahun depan.
Tinjauan The Merdeka Times pula mendapati orang ramai menyifatkan kenaikan gaji tahunan mencecah 10 peratus itu adalah wajar dan selari kenaikan kos sara hidup, khususnya di bandar.
Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata kenaikan gaji tahunan dijangka berlaku sekitar empat hingga lima peratus.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan peratusan itu sudah dilihat tinggi memandangkan pertumbuhan ekonomi nasional perlahan menjurus kepada empat peratus.
Beliau berkata komitmen tahunan atau bulanan ditampung majikan bergantung kepada berapa lama sesebuah perusahaan itu beroperasi.
“Untuk majikan di sektor perkhidmatan kos pekerja secara amnya adalah di antara 40 hingga 50 peratus keseluruhan kos.
“Perlu diingat bahawa untuk setiap RM1 kos sebenar kepada majikan boleh mencecah RM 1.80 hingga RM2.40.
“Kos keseluruhan lebih tinggi kerana faktor Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), kos perubatan dan kos lain berkaitan,” katanya. – The Merdeka Times
