Terkini
DAP jangan bangkit lagi isu pilihan raya PBT – UMNO Wilayah Persekutuan
UMNO Wilayah Persekutuan mengingatkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) supaya tidak mengulangi cadangan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
- Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan memaklumkan mereka mengambil ketetapan membantah sekeras-kerasnya cadangan itu susulan mesyuarat khas diadakan baru-baru ini.
- “Oleh itu, UMNO WP ingin menegaskan kepada DAP WP jangan sekali-kali membawa cadangan pilihan raya PBT dan ingin mengingatkan kepada YB Menteri Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa sebarang usaha atau gerakan ke arah perkara ini akan dibantah secara keras oleh Umno Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
- Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai pada 17 Disember lalu, menggesa Kerajaan Madani mengadakan semula pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur susulan rombakan Kabinet baru-baru ini, yang menyaksikan pelantikan menteri bagi portfolio khusus untuk Wilayah Persekutuan.
KUALA LUMPUR — UMNO Wilayah Persekutuan mengingatkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) supaya tidak mengulangi cadangan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan memaklumkan mereka mengambil ketetapan membantah sekeras-kerasnya cadangan itu susulan mesyuarat khas diadakan baru-baru ini.
“Oleh itu, UMNO WP ingin menegaskan kepada DAP WP jangan sekali-kali membawa cadangan pilihan raya PBT dan ingin mengingatkan kepada YB Menteri Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa sebarang usaha atau gerakan ke arah perkara ini akan dibantah secara keras oleh Umno Wilayah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan dipetik Malaysiakini, semalam.
Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata pembaziran wang rakyat antara sebab mengapa pilihan raya PBT perlu ditolak.
Mereka berpendapat lebih baik peruntukan pemilihan ahli PBT itu disalurkan untuk pembangunan, kebajikan dan kemudahan rakyat Wilayah Persekutuan yang lebih memerlukan seperti menambah baik infrastruktur, pembinaan rumah mampu milik, menaik taraf pusat penjaja atau medan selera dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam serta sebagainya.
Katanya, pemilihan ahli-ahli PBT juga berupaya mewujudkan kartel-kartel politik yang akhirnya akan membiayai calon-calon ingin bertanding dalam pilihan raya PBT.
“Amalan rasuah dan salah guna kuasa pasti akan berlaku yang sudah semestinya akan merencatkan usaha YAB PMX dalam membanteras gelaja rasuah di kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.
Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai pada 17 Disember lalu menggesa Kerajaan Madani mengadakan semula pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur susulan rombakan Kabinet, yang menyaksikan pelantikan menteri bagi portfolio khusus untuk Wilayah Persekutuan.
Kok Wai berkata cadangan dikemukakan itu bertujuan memperkukuhkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.
Cadangan Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras itu mengundang bantahan ramai pihak, termasuk Perikatan Nasional dan UMNO.
Kebanyakan bantahan membangkitkan risiko pergeseran kaum dengan dakwaan orang Melayu akan hilang kuasa di kawasan bandar.
Mengulas lanjut, UMNO Wilayah Persekutuan berkata Ahli Parlimen dipilih rakyat menerusi Pilihan Raya Umum sudah memadai untuk membawa isu atau masalah dihadapi rakyat ke Dewan Rakyat atau kepada PBT.
“Adanya pemilihan PBT menandakan fungsi Ahli Parlimen tidak efektif kerana ada pertindihan peranan di antara AP dengan ahli PBT yang dipilih,” katanya. — The Merdeka Times