Connect with us

Terkini

SPM tetap diadakan 5 Disember termasuk kawasan dilanda banjir – Fadhlina

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap dilaksanakan bulan depan termasuk di kawasan yang dilanda bencana banjir.

Wartawan TMT

Published

on

SPM tetap diadakan 5 Disember termasuk kawasan dilanda banjir – Fadhlina
Foto: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
  • Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap dilaksanakan bulan depan termasuk di kawasan yang dilanda bencana banjir.
  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya buat persiapan teliti bagi pastikan peperiksaan babit pelajar Tingkatan 5 di seluruh negara berjalan seperti dijadualkan.
  • “Kita bersedia. SPM akan bermula 5 Disember ini dan kesiapsediaan (banjir) termasuk menghadapi peperiksaan ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2023/2024 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Taman Datuk Harun 2, di sini, hari ini.
  • Menurut Fadhlina, sejumlah 5,063 buah sekolah diwartakan sebagai pusat pemindahan banjir (PPS) bagi menghadapi bencana tersebut yang diramalkan berlaku ketika ketibaan Monsun Timur Laut.

PETALING JAYA – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap akan dilaksanakan bulan depan termasuk di kawasan yang dilanda bencana banjir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah membuat persiapan yang teliti bagi memastikan peperiksaan membabitkan pelajar Tingkatan 5 di seluruh negara berjalan seperti dijadualkan.

“Kita bersedia. SPM akan bermula 5 Disember ini dan kesiapsediaan (banjir) termasuk menghadapi peperiksaan ini.

“Kita percepatkan SPM sebab kita mahu ‘pergi’ kepada Januari seperti yang diminta oleh banyak pihak.

“Kita tengah susun dan insya-Allah ianya akan teratur dan mengikut garis masa yang kita tetapkan untuk sampai semula kepada Januari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2023/2024 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Taman Datuk Harun 2, di sini, hari ini.

Menurut Fadhlina, sejumlah 5,063 buah sekolah telah diwartakan sebagai pusat pemindahan banjir (PPS) bagi menghadapi bencana tersebut yang diramalkan berlaku ketika ketibaan Monsun Timur Laut.

Advertisement

Fadhlina menjelaskan, murid-murid di kawasan terjejas banjir akan menjalani sesi persekolahan seperti biasa.

Sementara itu, menurut beliau, sejumlah RM15.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan penyelenggaraan akibat bencana banjir berdasarkan bajet yang diluluskan.

Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2023/2024 sebagai optik keprihatinan Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap keselamatan dan kebajikan warga dan institusi pendidikan semasa menghadapi bencana banjir.

Persiapan termasuk melatih pasukan sukarelawan melibatkan pelbagai peringkat termasuk guru dan seluruh warga KPM yang berdaftar sebagai ahli Persatuan Sukan dan Kebudayaan KPM (MESCA), Guru Insani Malaysia (GIM), pelajar Institut Pendidikan Guru dan pelajar Tingkatan 6 (sukarelawan MADANI).

Pihaknya juga menyediakan kit sukarelawan untuk menjalankan kerja-kerja kesukarelawanan pasca banjir terutama aktiviti pembersihan institusi pendidikan yang terkesan dan menyediakan kit sumbangan kepada warga KPM yang terkesan banjir.

Kementerian turut menyediakan perkhidmatan kaunseling oleh kaunselor pendidikan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) bagi membantu murid dan guru mangsa banjir dan pembelajaran berasaskan fun learning kepada murid.

Advertisement

KPM juga membekalkan kerusi dan meja plastik ke sekolah-sekolah yang berisiko banjir dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.

Pihaknya juga telah menubuhkan Jawatankuasa Task Force Bencana Banjir Monsun Timur Laut Peringkat KPM khusus bagi membincangkan tindakan berkaitan bencana banjir.

Fadhlina berkata, Bilik Gerakan Bencana juga telah diaktifkan untuk melaporkan status institusi pendidikan banjir, PPS institusi pendidikan yang dibuka dan bilangan mangsa warga KPM yang ditempatkan di PPS.

Katanya, persiapan KPM melibatkan agensi pengurus bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MET Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pihaknya telah mengeluarkan surat peringatan Berhubung Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir di Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia pada 10 Oktober lalu.

Sumber: MalaysiaGazette

Advertisement

Author

Terkini

Lawyers for Liberty jangan putar belit isu penguasaan bahasa Melayu – Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihati Lawyers for Liberty (LFL) supaya tidak memutar-belitkan isu penguasaan bahasa Melayu dalam proses pembaharuan pasport.

Wartawan TMT

Published

on

Lawyers for Liberty jangan putar belit isu penguasaan bahasa Melayu - Saifuddin
Foto: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) & Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek (kanan).
  • Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihati Lawyers for Liberty (LFL) supaya tidak memutar-belitkan isu penguasaan bahasa Melayu dalam proses pembaharuan pasport.
  • Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah menolak sebarang permohonan direkodkan hanya kerana rakyat negara ini gagal menguasai bahasa kebangsaan itu.
  • “Saya tidak pernah sebut bahasa Melayu menjadi syarat untuk dapatkan pasport. Takkan fakta semudah itu saya naif sehingga tak tahu. Jadi LFL tidak perlu putar belit lebih.
  • “Hakikatnya tiada penolakan permohonan kerana bahasa, malah jumlah pasport yang kita keluarkan tahun ini adalah 2.3 juta,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Stesen Parol Daerah (SPD) Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kompleks Mini Kementerian Dalam Negeri (KDN) Daerah Muallim, dekat Slim River, di sini, hari ini.
  • Semalam, Pengarah LFL, Zaid Malek dilaporkan berkata menteri itu terkeliru mengenai syarat-syarat kewarganegaraan melalui penaturalisasian atau pendaftaran dengan syarat kewarganegaraan sebagai perkara undang-undang.

Tanjung Malim: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihati Lawyers for Liberty (LFL) supaya tidak memutar-belitkan isu penguasaan bahasa Melayu dalam proses pembaharuan pasport.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah menolak sebarang permohonan direkodkan hanya kerana rakyat negara ini gagal menguasai bahasa kebangsaan itu.

“Saya tidak pernah sebut bahasa Melayu menjadi syarat untuk dapatkan pasport. Takkan fakta semudah itu saya naif sehingga tak tahu. Jadi LFL tidak perlu putar belit lebih.

“Hakikatnya tiada penolakan permohonan kerana bahasa, malah jumlah pasport yang kita keluarkan tahun ini adalah 2.3 juta.

“Kalau ada penolakan contohnya mereka pemegang pasport negara melakukan kesalahan di luar seperti tinggal lebih masa, apabila membuat permohonan semula pasport sudah semestinya ada semakan dan mungkin berakhir dengan tidak lulus.

“Tetapi kerana bahasa Melayu…tiada,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Stesen Parol Daerah (SPD) Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kompleks Mini Kementerian Dalam Negeri (KDN) Daerah Muallim, dekat Slim River, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Mohamad; Ketua Pengarah Rela, Datuk Yahya Sulaiman dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Advertisement

Semalam, Pengarah LFL, Zaid Malek dilaporkan berkata menteri itu terkeliru mengenai syarat-syarat kewarganegaraan melalui penaturalisasian atau pendaftaran dengan syarat kewarganegaraan sebagai perkara undang-undang.

“Mengenakan syarat seperti itu adalah menyalahi undang-undang, keterlaluan dan akan menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai,” kata Zaid seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, sebagai warganegara adalah menjadi kewajipan untuk menguasai bahasa Melayu selaras martabatnya sebagai bahasa rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara yang kita tekankan adalah setiap warganegara Malaysia apabila berurusan di kaunter kerajaan paling kurang boleh berbahasa Melayu.

“Baik LFL atau pihak lain, jangan putar belit sampai seolah-olah syarat permohonan adalah bahasa, padahal kita tak pernah ungkap.

“Saya anjurkan semua warganegara termasuk LFL utamakan dahulu bahasa Melayu,” katanya.

Advertisement

Terdahulu, seorang wanita mendakwa diherdik oleh pegawai imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Johor gara-gara tidak tidak fasih berbahasa Melayu semasa memohon pembaharuan pasport anaknya.

Sumber : Harian Metro

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending