Connect with us

Antarabangsa

15 November 1988, merdekakah Palestin?

35 tahun lalu, hari ini, 15 november 1988 merupakan salah satu hari bersejarah buat Palestin apabila negara itu mengisytiharkan kemerdekaannya sebagai sebuah negara yang berdaulat.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Mantan Presiden Palestin, Yasser Arafat.

35 tahun lalu, hari ini, 15 november 1988 merupakan salah satu hari bersejarah buat Palestin apabila negara itu mengisytiharkan kemerdekaannya sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Deklarasi kemerdekaan itu berlangsung di Algeria dengan pengisytiharannya dibuat oleh Majlis Kebangsaan Palestin (PNC), sebuah badan perundangan milik Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Pengisytiharan kemerdekaan ini  digubal oleh dua orang tokoh PNC iaitu Mahmoud Darwish yang menulis dalam teks asal iaitu bahasa Arab. Manakala Edward Said menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris.

Menurut data yang dipetik dari www.carim.org, deklarasi ini juga mengandungi pengiktirafan terhadap keputusan Perhimpunan Agung PBB mengenai Resolusi 181 tahun 1947, yang membahagikan Palestin kepada dua negara dan menyediakan asas undang-undang bagi hak rakyat Arab Palestin untuk kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Pengiktirafan PLO terhadap Resolusi 181 bertepatan dengan pengiktirafan Resolusi 242 dan 338 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan PBB ini sebagai asas untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Ini juga secara tidak langsung menandakan penerimaan rasmi Palestin ketika itu terhadap penyelesaian dua negara. Melalui kompromi politik ini, mereka bersedia menyerahkan 78 peratus tanah mereka untuk menjadi milik Israel.

Dalam erti kata lain, Palestin hanya mendapat 22 peratus daripada wilayahnya, termasuk Tebing Barat iaitu Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza.

Yasser Arafat mengumumkan pengisytiharan kemerdekaan ini tepat setahun selepas Intifada Pertama yang dilakukan oleh rakyat Palestin terhadap pengganas Israel pada Disember 1987.

Kompromi PLO itu berlaku disebabkan tekanan dan kekejaman berterusan tentera pengganas Israel ke atas rakyat Palestin dari tahun 1948 sehingga ke hari deklarasi tersebut dilakukan dengan harapan untuk memperbaiki keadaan.

Bagaimanapun, selepas 35 tahun, Palestin masih bergelut dalam memperjuangkan kemerdekaan sebenar. Ribuan rakyat Palestin terbunuh akibat pembunuhan besar-besaran dilakukan zionis selain dihalau dari tanah mereka sendiri secara sistematik saban hari.

Zionis terus membina penempatan haram, pendudukan dan pengepungan hampir dua juta rakyat, serta hak dan kebebasan rakyat yang ditindas oleh rejim tersebut di Tel Aviv dan Ramallah. – The Merdeka Times

Sumber: PLO-NAD ArchiveInstitute for Palestine Studies

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *