Kolumnis
Islam iktiraf hak menjaga kesihatan mental
HARI ini merupakan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 10 Oktober setiap tahun.
HARI ini merupakan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 10 Oktober setiap tahun.
Pada tahun ini, tema Hari Kesihatan Mental Sedunia adalah “Kesihatan Mental adalah Hak Asasi Manusia Sejagat” yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat dalam usaha memelihara kesihatan mental yang menjadi hak milik semua individu serta menghapuskan stigma negatif terhadap penyakit mental.
Di Malaysia sendiri, masyarakat kita juga tidak lari daripada pelbagai stigma negatif apabila seseorang berbicara masalah kesihatan mental.
Respon yang kebiasaannya diterima pesakit-pesakit mental adalah “Lemahnya iman, kena banyakkan ibadah. Dia gila, tak boleh sembuh”.
Akhirnya, mereka memilih menjauh dari masyarakat, menderita dalam senyap lalu enggan tampil mendapatkan sebarang bantuan profesional kerana tidak mahu lagi dihakimi dan menganggap penyakitnya tidak boleh dirawat.
Ekoran stigma sebegini bukan sahaja membuatkan mereka jauh daripada masyarakat malah jauh dari agama.
Beranggapan seolah-olah agama tidak mengiktiraf dan menghadirkan langsung sebarang solusi kepada mereka. Maka persoalannya benarkah Islam tidak mengiktiraf hak penjagaan kesihatan mental?
Apabila berbicara soal hak-hak dalam Islam, maka ia tidak terlepas daripada prinsip Maqasid Syariah di mana setiap tujuan, makna dan hikmah yang ditetapkan Syariat Islam bertujuan untuk merealisasikan kemaslahatan manusia.
Prinsip Maqasid Syariah ini meliputi hifz al-din (menjaga agama), hifz al-nafs (menjaga jiwa), hifz zl-aql (menjaga akal), hifz al-mal (menjaga harta benda) dan hifz al-nasl (menjaga keturunan).
Maka, hak menjaga kesihatan mental dalam Islam terletak dalam dua dimensi prinsip Maqasid Syariah iaitu Hifz al-Aql (memelihara akal) dan Hifz al-Nafs (memelihara nyawa) sebagai keperluan asas (Dharuriyat) yang perlu diberi keutamaan oleh umat manusia.
Umum mengetahui masalah kesihatan mental ini melibatkan kewarasan akal dan minda seseorang itu. Oleh itu ia berada di bawah dimensi pemeliharaan akal.
Namun sekiranya ia dibiarkan mahupun tidak diberi rawatan, maka kesan daripada minda merosak ini mulai terzahir secara fizikal dan ini termasuk dalam dimensi pemeliharaan nyawa.
Ini terbukti apabila Pakar Perunding Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Ng Chong Guan turut menyatakan ramai pesakit mental enggan mendapatkan rawatan.
Disebabkan tekanan itu sukar dikawal, mereka bertindak dengan mencederakan tubuh badan sendiri. Lebih malang lagi mengambil keputusan membunuh diri untuk menghilangkan kesakitan.
Lebih-lebih lagi kes kesihatan mental di Malaysia berada di tahap yang amat membimbangkan.
Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan peningkatan hampir tiga kali ganda dalam kalangan penduduk berusia 16 tahun ke atas iaitu peningkatan daripada 11 peratus pada 1996 melonjak sehingga 29 peratus pada 2015.
Malah, KKM turut merekodkan peningkatan kes bunuh diri di negara sebanyak 81 peratus dengan 1,142 kes pada tahun 2021. Ini menunjukkan masalah kesihatan mental bagi penduduk Malaysia akan semakin melarat sekiranya stigma negatif dan keengganan mendapatkan bantuan ini masih berlarutan.
Sepatutnya peningkatan kes ini dijadikan iktibar dan indikasi kepada masyarakat kita bahawa berdiam diri mahupun stigma ‘perlu kental’ hakikatnya bukanlah respon terbaik dalam mendepani pesakit mental.
Bahkan stigma negatif sebegini amat berbeza dengan respon yang diberikan Nabi Muhammad dalam mendepani golongan ini. Dalam riwayat Anas RA menceritakan seorang wanita yang mempunyai masalah mental bertemu Rasulullah SAW dan berkata:
“Wahai Rasulullah, Aku punyai hajat denganmu (ingin bertanya sesuatu).” Baginda SAW menjawab: “Wahai ibu fulan, tengoklah mana-mana bahagian jalan (kawasan) yang sesuai (terpencil daripada orang ramai) yang kamu mahu, supaya Aku boleh (duduk) menunaikan hajatmu (menjawab soalanmu).” Baginda pun duduk bersamanya pada satu bahagian jalan sehingga selesai keperluannya (ditunaikan Nabi SAW) (Sahih Muslim, No 4293).
Riwayat hadis ini jelas menunjukkan kepada kita bagaimana seseorang itu perlu lakukan apabila mendepani golongan yang terkesan dengan penyakit mental; iaitu mendengar luahan mereka, bukannya menghakimi apatah lagi dengan peningkatan kes kesihatan mental dan kes bunuh diri yang semakin melonjak.
Terdapat satu riwayat Nabi Muhammad SAW menggariskan solusi terbaik saat seseorang dilanda sesuatu penyakit. Sabdanya:
“Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit, diciptakan juga penawar. Maka berubatlah kamu.” (Sahih Bukhari, No 5678)
Ekoran daripada hadis ini, kita percaya bahawa penyakit mental mempunyai harapan untuk sembuh dengan syarat mereka yang terkesan ini bukan sahaja menerima rawatan professional, malah mendapatkan sokongan sosial daripada masyarakat sekelilingnya dan juga sokongan kerohanian.
Hakikatnya, pandangan Islam terhadap penjagaan kesihatan mental ini amat bertepatan dan selari dengan tema tahun ini “Kesihatan Mental adalah Hak Asasi Manusia Sejagat” bahawa kesihatan mental adalah milik semua yang perlu dijaga dan dipelihara. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.