Terkini
Perancis pantau larangan pemakaian abaya di sekolah
Pihak berkuasa Perancis sedang memantau lebih 500 sekolah bagi mengesan sebarang kemungkinan ada pelajar perempuan yang melanggar larangan baharu berhubung pemakaian abaya atau jubah.
- Pihak berkuasa Perancis sedang memantau lebih 500 sekolah bagi mengesan sebarang kemungkinan ada pelajar perempuan yang melanggar larangan baharu berhubung pemakaian abaya atau jubah.
- Menteri Pendidikan, Gabriel Attal, menekankan perkara berkenaan, semalam, ketika pelajar memulakan sesi persekolahan baharu di seluruh negara.
- Sebelum sesi persekolahan baharu bermula, beliau berkata, langkah telahpun diambil bagi mengenal pasti sekolah yang berkemungkinan menghadapi masalah terbabit.
- “Terdapat 513 sekolah yang dikenal pasti berpotensi tercetus kebimbangan membabitkan soal itu pada permulaan sesi persekolahan baharu,” katanya kepada radio RTL.
- Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju untuk ibu bapa turut dilarang mengenakan pakaian menampilkan kepentingan agama, ketika mereka menemani anak untuk ‘outing’ sekolah.
- “Terdapat perbezaan antara apa yang berlaku di dalam sekolah dengan di luar sekolah. Yang penting bagi saya ialah apa yang berlaku di dalam sekolah,” katanya.
PARIS: Pihak berkuasa Perancis sedang memantau lebih 500 sekolah bagi mengesan sebarang kemungkinan ada pelajar perempuan yang melanggar larangan baharu berhubung pemakaian abaya atau jubah.
Menteri Pendidikan, Gabriel Attal, menekankan perkara berkenaan, semalam, ketika pelajar memulakan sesi persekolahan baharu di seluruh negara.
Bulan lalu, Kerajaan Perancis mengumumkan larangan memakai abaya di sekolah, dengan mendakwa ia melanggar peraturan sekularisme dalam pendidikan yang sebelum ini juga telah mengharamkan pemakaian tudung bagi Muslim.
Tindakan itu dialu-alukan pihak politik berhaluan kanan, namun mereka yang berhaluan kiri menganggapnya umpama penghinaan terhadap kebebasan awam.
“Terdapat 513 sekolah yang dikenal pasti berpotensi tercetus kebimbangan membabitkan soal itu pada permulaan sesi persekolahan baharu,” katanya kepada radio RTL.
Sebelum sesi persekolahan baharu bermula, beliau berkata, langkah telahpun diambil bagi mengenal pasti sekolah yang berkemungkinan menghadapi masalah terbabit.
Sehubungan itu, katanya, penyelia sekolah yang terlatih akan ditempatkan di sekolah tertentu.
Ada kira-kira 45,000 sekolah di Perancis, dengan 12 juta pelajar kembali ke institusi pendidikan berkenaan, semalam.
Bagaimanapun, Attal berkata, beliau tidak bersetuju untuk ibu bapa turut dilarang mengenakan pakaian yang menampilkan kepentingan agama, ketika mereka menemani anak untuk ‘outing’ sekolah.
“Terdapat perbezaan antara apa yang berlaku di dalam sekolah dengan di luar sekolah. Yang penting bagi saya ialah apa yang berlaku di dalam sekolah,” katanya.
Beberapa tokoh haluan kanan telah menggesa kerajaan supaya memperkenalkan pakaian seragam untuk pelajar di sekolah negeri, dan Attal memaklumkan bahawa beliau akan mengumumkan pelaksanaannya secara percubaan pada musim luruh.
“Saya tidak pasti sama ada ia akan menjadi penyelesaian ajaib kepada semua masalah sekolah, namun saya berpendapat ia wajar dicuba,” katanya.
Pada Mac 2004, Perancis memperkenalkan undang-undang melarang ‘pemakaian sebarang tanda atau pakaian di mana pelajar dilihat sebagai menunjukkan kaitan agama di sekolah.’
Tanda atau pakaian itu meliputi salib besar, kippa Yahudi dan tudung, manakala abaya pula tidak dilarang secara langsung hinggalah peraturan baharu kini diumumkan.
Sumber: Berita Harian