Terkini
Isu hadis 40: Bantah sebelum faham, barah rosakkan keharmonian negara
Tidak memahami hadis dan kandungannya dengan kaedah betul antara punca berlakunya penentangan terhadap pelaksanaan modul Hadis 40 Imam Nawawi yang akan digunakan bagi pelajar Islam di sekolah seluruh negara.
- Tidak memahami hadis dan kandungannya dengan kaedah betul antara punca berlakunya penentangan terhadap pelaksanaan modul Hadis 40 Imam Nawawi yang akan digunakan bagi pelajar Islam di sekolah seluruh negara.
- Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Profesor Dr Rozaimi Ramle berkata sekiranya kandungan modul itu diteliti, masyarakat pasti menyokong pelaksanaannya kerana ia boleh menjadikan umat Islam sebagai Muslim yang baik.
- Katanya, umat Islam turut diajar untuk menjadi Muslim berkualiti dan mempunyai sifat ihsan di awal modul hadis itu.
- “Sebagai contoh, hadis nombor dua dalam Hadis 40 Imam Nawawi menceritakan tentang iman, Islam dan ihsan. Tapi masalah kita ialah kita tidak melihat isi kandungan hadis 40, asal nama Islam kita cuba untuk membantah. Bantah dulu sebelum faham… Ini adalah suatu barah yang akan merosakkan keharmonian negara,” katanya ketika menjadi panelis program Di Sebalik Isu Bersama Finaz Yunus bertajuk ‘Mengapa Wujud Polemik Modul Hadis 40 Imam Nawawi?’ yang bersiaran secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat lalu.
- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya lima hadis dikeluarkan dari modul asal Hadis 40 Imam Nawawi yang akan digunakan bagi pelajar Islam di sekolah seluruh negara.
KUALA LUMPUR — Tidak memahami hadis dan kandungannya dengan kaedah betul antara punca berlakunya penentangan terhadap pelaksanaan modul Hadis 40 Imam Nawawi yang akan digunakan bagi pelajar Islam di sekolah seluruh negara.
Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Profesor Dr Rozaimi Ramle berkata sekiranya kandungan modul itu diteliti, masyarakat pasti menyokong pelaksanaannya kerana ia boleh menjadikan umat Islam sebagai Muslim yang baik.
Katanya, umat Islam turut diajar untuk menjadi Muslim berkualiti dan mempunyai sifat ihsan di awal modul hadis itu.
“Kalau kita petik satu hadis yang terdapat dalam Hadis 40 Imam Nawawi ini kita akan mendapati tiada masalah pun bagi orang bukan Islam kerana ia hanya menyentuh berkenaan akidah orang Islam.
“Sebagai contoh, hadis nombor dua dalam Hadis 40 Imam Nawawi menceritakan tentang iman, Islam dan ihsan.
“Tapi masalah kita ialah kita tidak melihat isi kandungan hadis 40, asal nama Islam kita cuba untuk membantah. Bantah dulu sebelum faham… Ini adalah suatu barah yang akan merosakkan keharmonian negara,” katanya ketika menjadi panelis program Di Sebalik Isu Bersama Finaz Yunus bertajuk ‘Mengapa Wujud Polemik Modul Hadis 40 Imam Nawawi?’ yang bersiaran secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat lalu.
Rozaimi juga tidak menafikan wujud kelompok yang membaca hadis tanpa mengikuti disiplin sewajarnya hingga berlaku banyak penyelewengan dan kecelaruan.
“Inilah yang menjadi masalah kepada kita hari ini pertama orang tidak mahu membaca dan meneliti, bantah walaupun dia tak faham apa yang dibantah.
“Yang kedua orang membaca hadis nabi SAW yang berbahasa Arab tapi tidak mengikuti kaedah sebenar tidak mahir di dalam bahasa Arab jadi akhirnya menimbulkan kekeliruan bukan kerana hadis itu bermasalah tapi kefahaman dia yang bermasalah,” kata Rozaimi.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini menafikan dakwaan kononnya lima hadis dikeluarkan dari modul asal Hadis 40 Imam Nawawi yang akan digunakan bagi pelajar Islam di sekolah seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata dakwaan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy bahawa KPM mengeluarkan lima hadis itu, sehingga menimbulkan polemik, adalah tidak benar dan belum dimuktamadkan. — The Merdeka Times