Connect with us

Terkini

95 peratus penghasilan padi negara dikawal ‘orang tengah’

Sekurang-kurangnya RM100 bagi setiap tan padi basah. Itu jumlah komisen ditetapkan ‘orang tengah’ yang didakwa memiliki kawalan ke atas hampir 95 peratus penghasilan padi di negara ini.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

95 peratus penghasilan padi negara dikawal ‘orang tengah’
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Sekurang-kurangnya RM100 bagi setiap tan padi basah. Itu jumlah komisen ditetapkan ‘orang tengah’ yang didakwa memiliki kawalan ke atas hampir 95 peratus penghasilan padi di negara ini.
  • Nilai komisen itu dikatakan mampu melonjak sehingga RM200 setiap tan, bergantung kepada musim tanaman, jumlah penghasilan padi dan faktor permintaan dalam rantaian bekalan barangan berkenaan.
  • Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Musonnef Md Radzi, mendakwa golongan terbabit beroperasi secara individu namun rantaian kumpulan berkenaan membentuk ‘kartel kecil’ yang mengawal bekalan padi negara.
  • Keadaan itu, katanya, turut mengakibatkan lonjakan kos, sekurang-kurangnya antara lima hingga 10 peratus ke atas pihak pengilang beras, yang seterusnya akan ‘dipindahkan’ ke blok lain dalam rantaian bekalan pengedaran beras.
  • “Orang tengah boleh menikmati untung ‘atas angin’ bernilai RM1 juta jika pihak pengilang membeli 10,000 tan padi basah daripada mereka,” katanya kepada BH.

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya RM100 bagi setiap tan padi basah. Itu jumlah komisen ditetapkan ‘orang tengah’ yang didakwa memiliki kawalan ke atas hampir 95 peratus penghasilan padi di negara ini.

Malah, nilai komisen itu dikatakan mampu melonjak sehingga RM200 setiap tan, bergantung kepada musim tanaman, jumlah penghasilan padi dan faktor permintaan dalam rantaian bekalan barangan berkenaan.

Mendedahkan perkara itu, Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Musonnef Md Radzi, mendakwa golongan terbabit beroperasi secara individu namun rantaian kumpulan berkenaan membentuk ‘kartel kecil’ yang mengawal bekalan padi negara.

Tanpa memperincikan identiti orang tengah, beliau mendakwa, ada segelintir pihak terbabit memiliki kawalan ke atas kira-kira 2,000 relung sawah di utara Semenanjung.

Keadaan itu, katanya, turut mengakibatkan lonjakan kos, sekurang-kurangnya antara lima hingga 10 peratus ke atas pihak pengilang beras, yang seterusnya akan ‘dipindahkan’ ke blok lain dalam rantaian bekalan pengedaran beras.

“Hampir keseluruhan pesawah di negara ini terikat dengan ‘broker’ (orang tengah) dan hanya lima peratus daripada mereka yang mungkin tidak berada dalam cengkaman mereka.

“Golongan terbabit memiliki kuasa mutlak menentukan pengilang yang boleh membeli bekalan padi basah dituai setiap musim tanaman, bergantung kepada nilai komisen dipersetujui kedua-dua pihak.

“Orang tengah boleh menikmati untung ‘atas angin’ bernilai RM1 juta jika pihak pengilang membeli 10,000 tan padi basah daripada mereka,” katanya kepada BH.

Media sebelum ini, melaporkan penguasaan kartel di semua peringkat berkaitan penanaman padi bermula dari membajak, baja, benih, racun, potongan dan timbangan padi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dipetik berkata keadaan itu adalah punca industri padi dan beras di negeri itu terus statik dan ia menjadi rungutan pelbagai pihak, terutama golongan pesawah, setiap tahun.

Namun, katanya, sehingga kini tiada pihak yang sanggup memerangi kartel yang didakwa mengawal input pertanian, timbangan padi di kilang serta jentera dan mesin pembajak digunakan pesawah.

Musonnef berkata, pengaruh orang tengah dalam mengawal penghasilan padi dikatakan berlaku apabila pesawah tidak memiliki kuasa untuk memasarkan hasil mereka, selain didorong faktor tidak memiliki jentera mencukupi.

Selain itu, katanya, orang tengah didakwa menawarkan pinjaman pemula kepada pesawah bagi setiap musim tanaman, dikatakan bertujuan memperluaskan kawalan ke atas hasil serta kumpulan berkenaan.

“Sebab itu banyak pesawah dan persatuan berkaitan kurang bersetuju jika ada sebarang kenaikan harga membabitkan padi atau beras diberikan kerajaan, selagi isu orang tengah tidak dibanteras.

“Ini kerana, hasil daripada kenaikan berkenaan tidak dinikmati sepenuhnya pesawah atau golongan sasar, sebaliknya ia hanya menguntungkan orang tengah,” katanya.

Sementara itu, Musonnef berkata, tindakan segelintir pihak menukar bungkusan bekalan beras putih tempatan kepada kampit beras import dikatakan berlarutan sejak tahun lalu.

“Tindakan terbabit berlaku akibat peningkatan harga padi di peringkat pengilang lagi, berpunca akibat kekurangan bekalan susulan penyusutan jumlah penghasilan padi selama tiga musim berturut-turut.

“Manipulasi ini dapat dilihat dengan jelas apabila terdapat lambakan beras import di pasar raya, terutama ketika berlaku peningkatan harga barangan berkenaan.

“Kebanyakan mereka berbuat demikian kerana tidak mampu menampung lonjakan kos mencecah RM3,400 setiap tan di peringkat pemborong.

“Peningkatan ini menyebabkan mereka akan mengalami kerugian, jika barangan berkenaan dijual sebagai beras putih tempatan yang harga dikawal pada RM26 bagi 10kg,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *