Antarabangsa
Pakistan naikkan hukuman hina keluarga, sahabat Nabi Muhammad SAW
Parlimen Pakistan meluluskan undang-undang meningkatkan tempoh hukuman penjara dan denda bagi individu yang tidak menghormati isteri, ahli keluarga serta sahabat Nabi Muhammad SAW.
- Parlimen Pakistan meluluskan undang-undang meningkatkan tempoh hukuman penjara dan denda bagi individu yang tidak menghormati isteri, ahli keluarga serta sahabat Nabi Muhammad SAW.
- Senat meluluskan “Rang Undang-Undang Jenayah (Pindaan) 2023” pada 7 Ogos lalu yang menetapkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum seumur hidup serta denda satu juta rupee (kira-kira RM15,900).
- Sebelum ini, hukuman maksimum untuk kesalahan itu adalah tiga tahun penjara sahaja.
Parlimen Pakistan meluluskan undang-undang meningkatkan tempoh hukuman penjara dan denda bagi individu yang tidak menghormati isteri, ahli keluarga serta sahabat Nabi Muhammad SAW.
Senat meluluskan “Rang Undang-Undang Jenayah (Pindaan) 2023” pada 7 Ogos lalu yang menetapkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum seumur hidup serta denda satu juta rupee (kira-kira RM15,900).
Sebelum ini, hukuman maksimum untuk kesalahan itu adalah tiga tahun penjara sahaja, demikian lapor 5Pillars.
Salah seorang penyokong rang undang-undang itu, Senator Mushtaq Ahmad Khan, menyatakan hukuman mati bagi mereka yang menghina peribadi Nabi Muhammad SAW masih dikekalkan di bawah Kanun Keseksaan Pakistan.
Rang undang-undang itu dikatakan menyasarkan penganut Syiah yang didakwa secara terbuka mengutuk isteri Nabi Muhammad SAW serta para sahabatnya.
Pengarah kumpulan penyelidikan Ayaan Institute, Jahangir Mohammed berkata Pakistan memerlukan undang-undang anti-kebencian;
“Semua masyarakat memerlukan undang-undang yang menggalakkan keharmonian dan melarang hasutan ke atas kepercayaan rakyatnya.
“Pakistan telah berdepan isu berkaitan perpecahan sesama agama dan kebencian beragama dari unsur-unsur ekstrem – sama ada dari kalangan Sunni atau Syiah – oleh itu, undang-undang berkaitan hasutan agama diperlukan untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian serta mengawal tindakan-tindakan melampau,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata undang-undang sering digunakan secara tidak wajar bagi dendam politik dan pelunasan dendam di Pakistan, maka undang-undang itu mestilah berkadaran, diguna dengan betul dan tidak digunakan sebagai objektif politik.
Kumpulan pelampau juga sering menyasarkan rumah ibadat golongan Sunni dan Syiah ketika solat untuk memaksimakan korban dan menyerlahkan dimensi keagamaan yang dijadikan komponen utama serangan di Pakistan.
Sumber: 5Pillars UK