Terkini
Isu Pesta Songkran : Penganjur akui khilaf guna istilah perayaan
Pihak penganjur yang dikatakan akan menganjurkan Pesta Songkran di Sahom di sini mengakui kekhilafan dalam menggunakan istilah perayaan tersebut, ujar Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar, Mohd Sofian Rejab.
- Pihak penganjur dikatakan akan menganjurkan Pesta Songkran di Sahom mengakui kekhilafan dalam menggunakan istilah perayaan, ujar Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar, Mohd Sofian Rejab.
- Menurutnya, isu tular sejak Isnin di platform media sosial mendapat perhatian daripada pihak penganjur Sahom Valley Resort.
- “Susulan isu penganjuran Pesta Songkran di Sahom Valley Resort tular pada Isnin, PAS Kawasan Kampar melakukan kunjung hormat ke Sahom Valley Resort untuk mendengar penjelasan dan mendapatkan respon daripada pihak penganjur.
- “Pihak penganjur mengakui kesilapan kerana menggunakan istilah ‘Pesta Songkran’ dalam hebahan dan promosi pesta air yang sensitif dan mengelirukan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
- Beliau menambah pihak Sahom Valley Resort akan menarik balik hebahan tersebut dan akan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak dalam masa terdekat.
KAMPAR: Pihak penganjur yang dikatakan akan menganjurkan Pesta Songkran di Sahom di sini mengakui kekhilafan dalam menggunakan istilah perayaan tersebut, ujar Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar, Mohd Sofian Rejab.
Menurutnya, isu yang tular sejak Isnin di platform media sosial itu mendapat perhatian daripada pihak penganjur iaitu Sahom Valley Resort.
Beliau berkata, penganjur juga menjelaskan bahawa pesta air tersebut bukanlah sebagaimana yang dilihat dalam perayaan Songkran masyarakat Siam tetapi hanya aktiviti air bagi para pengunjung.
“Susulan isu penganjuran Pesta Songkran di Sahom Valley Resort yang tular pada Isnin, PAS Kawasan Kampar telah melakukan kunjung hormat ke Sahom Valley Resort untuk mendengar penjelasan dan mendapatkan respon daripada pihak penganjur.
“Kehadiran disambut baik oleh pihak pengurusan Sahom Valley Resort. Dalam pertemuan yang berlangsung selama dua jam, PAS Kawasan Kampar menerangkan mengenai fatwa dan hukum Pesta Songkran kepada pihak pengurusan.
“Di samping melontarkan keluhan dan bantahan masyarakat setempat terhadap penganjuran program tersebut.
“Pihak penganjur mengakui kesilapan kerana menggunakan istilah ‘Pesta Songkran’ dalam hebahan dan promosi pesta air yang sensitif dan mengelirukan masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau menambah pihak Sahom Valley Resort akan menarik balik hebahan tersebut dan akan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak dalam masa terdekat.
“PAS Kawasan Kampar juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyuarakan bantahan terhadap isu ini.
“Marilah sama-sama kita membina generasi yang berpegang teguh dengan nilai-nilai Islam serta prihatin menunaikan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan, Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Kampar membantah sekeras-kerasnya penganjuran Pesta Songkran yang dikatakan bakal berlangsung di Sahom, di sini pada 26 dan 27 Ogos ini.
Ketua Pemudanya, Saiful Islam Abdul Rahman menegaskan, pihaknya kesal dengan hebahan secara terbuka kepada masyarakat bagi menghadiri pesta tersebut yang secara jelas bercanggah dengan Islam.
Sumber: Astro Awani