Antarabangsa
Enam kematian terkini dalam rusuhan agama berhampiran New Delhi
Polis meningkatkan rondaan di kawasan kejiranan bandar berhampiran ibu negara India, semalam, berikutan malam kedua rusuhan mazhab yang mengorbankan enam orang, setakat ini.

- Polis meningkatkan rondaan di kawasan kejiranan bandar berhampiran ibu negara India, semalam, berikutan malam kedua rusuhan mazhab yang mengorbankan enam orang, setakat ini.
- Pergolakan bermula Isnin apabila perusuh membaling batu ke arah perarakan agama Hindu dan membakar kereta di daerah Nuh yang dikuasai penduduk Islam, kira-kira 75 kilometer di selatan New Delhi.
- Ketua Menteri negeri Haryana, Manohar Lal Khattar, berkata setakat ini enam orang terbunuh dan 116 ditahan dalam keganasan terbaharu ini.
- Dua daripada yang terkorban adalah anggota keselamatan yang sedang dalam perjalanan membantu membendung pergolakan di Nuh, kata polis negeri, Selasa lepas.
- Sejak Perdana Menteri, Narendra Modi mengambil alih jawatan pada 2014, India menyaksikan banyak kejadian keganasan antara majoriti Hindu dan minoriti Islam yang berjumlah 200 juta orang.
- Pengkritik menuduh parti pemerintah Hindu-nasionalis Bharatiya Janata meminggirkan masyarakat Islam sejak mereka berkuasa.
NEW DELHI – Polis meningkatkan rondaan di kawasan kejiranan bandar berhampiran ibu negara India, semalam, berikutan malam kedua rusuhan mazhab yang mengorbankan enam orang, setakat ini.
Pergolakan bermula Isnin apabila perusuh membaling batu ke arah perarakan agama Hindu dan membakar kereta di daerah Nuh yang dikuasai penduduk Islam, kira-kira 75 kilometer di selatan New Delhi.
Perusuh melakukan pembakaran dan serangan vandalisme pada petang Selasa di kawasan berdekatan Gurugram, bandar satelit ibu kota dan pusat perniagaan utama di mana Nokia, Samsung dan syarikat multinasional lain mempunyai ibu pejabatnya di India.
Di sebuah kawasan kejiranan, ia menyaksikan kumpulan perusuh yang terdiri daripada kira-kira 200 orang bersenjatakan kayu dan batu merompak beberapa kedai daging dan membakar sebuah restoran.
Ketua Menteri negeri Haryana, Manohar Lal Khattar, berkata setakat ini enam orang terbunuh dan 116 ditahan dalam keganasan terbaharu ini.
“Mereka yang didapati bersalah tidak akan terlepas. Kami komited melindungi keselamatan orang ramai,” katanya kepada pemberita, semalam.
Dua daripada yang terkorban adalah anggota keselamatan yang sedang dalam perjalanan membantu membendung pergolakan di Nuh, kata polis negeri, Selasa lepas.
Polis di New Delhi berkata, pihaknya meningkatkan keselamatan di beberapa kawasan kejiranan sebagai langkah berjaga-jaga.
Sementara itu, media tempatan melaporkan, ketegangan mula memuncak selepas aktivis nasionalis Hindu terkemuka Monu Manesar, ahli kumpulan sayap kanan radikal Bajrang Dal, mengumumkan dia akan menghadiri perarakan di Nuh pada Isnin.
Manesar dikehendaki polis atas tuduhan bertanggungjawab membunuh dua peniaga lembu Islam di bahagian lain negeri Haryana.
Pemimpin vigilante yang didakwa kerap menyiarkan video meraikan serangan ke atas orang Islam yang dituduh mengangkut atau membunuh lembu, yang dianggap suci oleh penganut Hindu.
Polis berkata, Manesar mengelak daripada ditahan dan akhirnya tidak menyertai perarakan terbabit.
Sejak Perdana Menteri, Narendra Modi mengambil alih jawatan pada 2014, India menyaksikan banyak kejadian keganasan antara majoriti Hindu dan minoriti Islam yang berjumlah 200 juta orang.
Pengkritik menuduh parti pemerintah Hindu-nasionalis Bharatiya Janata meminggirkan masyarakat Islam sejak mereka berkuasa.
Rusuhan agama di New Delhi menyebabkan 53 orang terbunuh pada 2020.
Sekurang-kurangnya 1,000 terbunuh pada 2002 ketika keganasan tercetus di Gujarat, tempat Modi berkhidmat sebagai ketua menteri pada masa itu dengan kebanyakan mangsa penganut Islam.
Pegawai cukai menyerbu pejabat BBC India pada Februari selepas penyiar British menyiarkan dokumentari mengenai tindakan Modi semasa rusuhan.
Pasukan penyiasat yang dilantik oleh mahkamah tertinggi India berkata, pada 2012, pihaknya tidak menemui sebarang bukti salah laku Modi.
Sumber: Berita Harian
