Terkini
Dasar pendidikan perlu bebas pengaruh politik, populis – Pakar Pendidikan
Dasar pendidikan negara yang ingin dilaksanakan perlulah bebas daripada pengaruh politik dan populis, sebaliknya hendaklah memenuhi manfaat terbesar iaitu anak-anak di peringkat sekolah rendah hingga tertinggi.

- Dasar pendidikan negara yang ingin dilaksanakan perlulah bebas daripada pengaruh politik dan populis, sebaliknya hendaklah memenuhi manfaat terbesar iaitu anak-anak di peringkat sekolah rendah hingga tertinggi.
- Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, dasar yang dilaksanakan dengan berpaksikan politik bersifat populis hanya merugikan masa depan anak-anak dan sistem pendidikan negara itu sendiri.
- Beliau berkata, sesuatu dasar yang tidak menepati prinsip pendidikan negara kadangkala dilihat sebagai sebuah idea yang baik namun dari segi konteks, ekosistem dan kandungannya boleh mendatang malapetaka terhadap masa depan.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berhasrat untuk mewujudkan sekolah khas untuk murid miskin.
PETALING JAYA – Dasar pendidikan negara yang ingin dilaksanakan perlulah bebas daripada pengaruh politik dan populis, sebaliknya hendaklah memenuhi manfaat terbesar iaitu anak-anak di peringkat sekolah rendah hingga tertinggi.
Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, dasar yang dilaksanakan dengan berpaksikan politik bersifat populis hanya merugikan masa depan anak-anak dan sistem pendidikan negara itu sendiri.
Beliau berkata, sesuatu dasar yang tidak menepati prinsip pendidikan negara kadangkala dilihat sebagai sebuah idea yang baik namun dari segi konteks, ekosistem dan kandungannya boleh mendatang malapetaka terhadap masa depan.
“Kita tidak boleh lagi membenarkan sistem pendidikan digunakan oleh orang politik untuk mencari populariti memberikan (gambaran) seolah-olahnya apa yang mereka lakukan itu baik.
“Sebagai contoh, apa jadi dengan (dasar) Sekolahku Sejahtera, ia dikatakan untuk membina masyarakat sejahtera dan sebagainya. Ideanya baik tetapi isi kandungannya kosong. Ia tidak membawa kita ke mana-mana.
“Justeru, dasar untuk dilaksanakan perlulah berteraskan prinsip dan amalan serta perkara teras pendidikan jika hanya berpaksikan prinsip politik dan populis maka akhirnya kita sedang mempertaruh masa depan anak-anak dan sistem pendidikan negara,” katanya dalam satu klip video yang dimuat naik di Facebook miliknya.
Dalam video berdurasi lebih 16 minit itu, Anuar turut menggariskan beberapa contoh dasar yang padanya adalah merugikan semua pihak antaranya, membenarkan murid tempatan bersekolah di sekolah antarabangsa, membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) memohon kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG), pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Selain itu, beliau juga turut menggariskan dasar Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan terbaharu, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan sekolah khas untuk murid miskin.
“Amalan paling asas dalam sistem pendidikan negara adalah ia bersifat inklusif tanpa mengira latar belakang seseorang murid untuk belajar di satu ruang yang sama.
“Kita sudah melakukan kesilapan pada awal merdeka apabila membenarkan kewujudan sekolah vernakular tetapi selepas lebih 65 tahun merdeka ia sudah menjadi identiti dan sukar untuk dimansuhkan namun ia tidak sepatutnya berlaku pada awal merdeka.
“Kita sepatutnya hanya ada sekolah satu aliran sahaja untuk meraikan kepelbagaian dalam satu ruang yang sama tetapi perkara itu tidak berlaku dan inilah keadaan yang sedang berlaku di negara kerana kita membenarkan wujudnya kerencaman pendidikan sehingga ia menyebabkan anak-anak kita terpisah antara satu dengan lain,” katanya.
Oleh demikian, beliau menggesa ibu bapa dan seluruh ahli masyarakat untuk sentiasa mengambil tahu tentang segala dasar baharu yang ingin diperkenalkan oleh kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya sama-sama dapat mempersoalkan dan membincangkannya terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.
“Soalan yang penting sepatutnya difahami adalah apakah perubahan yang kita lakukan itu benar-benar memberi manfaat kepada anak-anak. Jika perubahan semata-mata dilakukan untuk memenuhi maksud-maksud selain daripada pendidikan maka ia memberi satu keadaan yang tidak menyenangkan dan merugikan masa depan anak-anak,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Antarabangsa
(VIDEO) Tentera rejim zionis rogol kanak-kanak lelaki Palestin di Penjara Israel – Bekas pegawai kanan AS
Bekas Pengarah di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Josh Paul mendedahkan insiden tentera Israel merogol tahanan kanak-kanak lelaki di penjara Moscovia, Baitulmaqdis.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Josh Paul mendedahkan insiden tentera Israel merogol tahanan kanak-kanak lelaki di penjara Moscovia, Baitulmaqdis.
Perkara itu disebutnya dalam temu ramah dengan Christiane Amanpour di CNN hari ini ketika diajukan kenyataan mengenai sifat kemanusiaan di Gaza kini pada tahap yang tidak sepatutnya boleh diterima.
“Kamu menyebut tentang keganasan seksual, saya (merupakan) sebahagian dari proses pemeriksaan hak asasi manusia, menapis persenjataan diberikan kepada Israel.
“Organisasi kebajikan dengan nama Pertahanan Antarabangsa Kanak-kanak Palestin (DCIP) menarik perhatian kami, berkenaan satu serangan seksual atau sebenarnya satu (kes) rogol kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun yang berlaku di penjara Israel di Moscovia di Jerusalem (Baitulmaqdis).
“Kami menyiasat dakwaan ini, kami dapati ia boleh dipercayai dan kami mempertanggungjawabkan perkara itu ke atas kerajaan Israel,” katanya.
Paul turut menceritakan tindakan tentera zionis Israel pada keesokan harinya menyerbu organisasi yang menyimpan maklumat kanak-kanak Palestin dalam tahanan rejim Israel itu.
“Kamu tahu apa yang berlaku keesokan harinya?, IDF (tentera rejim zionis Israel) memasuki pejabat pegawai DCIP, rampas komputer mereka, dan isytiharkan mereka sebagai sebuah entiti pengganas,” katanya kepada Amanpour.
Paul berkata kekejaman tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa pun, samada kekejaman pencabulan seksual atau apa sahaja pencabulan melampau hak asasi manusia.
Statistik DCIP menunjukkan, setakat hari ini, 156 kanak-kanak ditahan atas sebab “keselamatan”, 23 kanak-kanak ditahan atas sebab undang-undang dengan catatan kemas kini terakhir pada September lalu.
Manakala jumlah kematian kanak-kanak pada 2023 disebabkan peluru hidup dilaporkan DCIP adalah 92 mangsa dengan kemas kini terakhir pada bulan ini. – The Merdeka Times
Sumber: Youtube – CNN, Defence for Children International Palestine
View this post on Instagram
-
Terkini2 days ago
Kredit e-Madani dilarang pindah atau tebus tunai, akaun boleh disekat
-
Terkini1 day ago
(VIDEO) Tular rakyat Malaysia gesa Kedutaan Israel dibuka di negara ini
-
Terkini2 days ago
Warganegara Malaysia wajib fasih Bahasa Melayu, tiada kompromi – Menteri KDN
-
Terkini2 days ago
DBKL tarik balik larangan jual arak