Connect with us

Antarabangsa

Belia Indonesia sanggup tukar kerakyatan Singapura demi prospek kerja

Pegawai penguatkuasa Indonesia menyuarakan kebimbangan mengenai trend yang menyaksikan semakin ramai golongan muda negara itu sanggup melepaskan kewarganegaraan mereka untuk menjadi rakyat Singapura kerana ‘tergoda’ dengan tawaran biasiswa dan prospek pekerjaan menarik, lapor akhbar South China Morning Post.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Belia Indonesia sanggup tukar kerakyatan Singapura demi prospek kerja
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Pegawai penguatkuasa Indonesia menyuarakan kebimbangan mengenai trend yang menyaksikan semakin ramai golongan muda negara itu sanggup melepaskan kewarganegaraan mereka untuk menjadi rakyat Singapura kerana ‘tergoda’ dengan tawaran biasiswa dan prospek pekerjaan menarik, lapor akhbar South China Morning Post.
  • Situasi itu berlaku ketika negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu berusaha untuk menjadi negara maju menjelang 2045.
  • Menurut Imigresen Indonesia, hampir 4,000 rakyat negara itu memperoleh pasport Singapura antara 2019 hingga 2022, dengan ramai daripadanya ialah pelajar berumur 25 hingga 35 tahun. 
  • Pada tahun lepas, seramai 1,091 rakyat melepaskan kewarganegaraan Indonesia untuk menjadi warga Singapura, meningkat berbanding 811 orang pada 2020.
  • “Jika diberi pilihan untuk tinggal di Singapura, sudah pasti ramai pekerja Indonesia akan merebut peluang itu, tidak kira sama ada mereka perlu melepaskan kewarganegaraan,” kata pensyarah sains, teknologi dan masyarakat Universiti Teknologi Nanyang Singapura, Profesor Madya Sulfikar Amir. 

JAKARTA – Pegawai penguatkuasa Indonesia menyuarakan kebimbangan mengenai trend yang menyaksikan semakin ramai golongan muda negara itu sanggup melepaskan kewarganegaraan mereka untuk menjadi rakyat Singapura kerana ‘tergoda’ dengan tawaran biasiswa dan prospek pekerjaan menarik, lapor akhbar South China Morning Post.

Situasi itu berlaku ketika negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu berusaha untuk menjadi negara maju menjelang 2045.

Menurut Imigresen Indonesia, hampir 4,000 rakyat negara itu memperoleh pasport Singapura antara 2019 hingga 2022, dengan ramai daripadanya ialah pelajar berumur 25 hingga 35 tahun. 

Pada tahun lepas, seramai 1,091 rakyat melepaskan kewarganegaraan Indonesia untuk menjadi warga Singapura, meningkat berbanding 811 orang pada 2020.

Ketua Pengarah Imigresen Indonesia, Silmy Karim berkata, negaranya kehilangan rakyat yang mempunyai skil terbaik dan cemerlang.

“Bagi Indonesia, ia adalah sesuatu yang tidak bagus kerana kami kehilangan bakat unggul,” katanya seperti yang dipetik stesen penyiaran CNN Indonesia. 

Ujar beliau, Singapura mempunyai dasar yang menyasarkan bakat-bakat muda dari seluruh rantau ini untuk pergi ke negara itu dan menjadi warganegaranya.

Singapura, yang mempunyai 5.45 juta penduduk dalam beberapa dekad kebelakangan ini telah berusaha untuk menambah bilangan rakyatnya menerusi kaedah kemasukan pendatang asing terutamanya dari negara Asia Tenggara selain China dan India.

Data-data rasmi menunjukkan sekitar 15,000 hingga 20,000 kerakyatan baharu diberikan setiap tahun, seiring dengan kira-kira 30,000 kelahiran rakyatnya setiap tahun.

Pihak berkuasa Singapura bagaimanapun enggan mendedahkan pecahan rakyat baharu mengikut kewarganegaraan asal mereka.

Mengulas mengenai pendedahan tersebut, Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang yang berpangkalan di Jakarta, Bhima Yudhistira berkata, angka yang didedahkan itu perlu dijadikan seruan untuk Indonesia meningkatkan kaliber para pekerja mahirnya.

“Ini adalah kritikan terhadap kualiti penjawat awam termasuk di jabatan imigresen. Memang benar berlakunya masalah ini dan jika anda membiarkannya, Singapura akan mendapat banyak manfaat daripada penduduk yang sebenarnya menikmati sokongan daripada pemerintah Indonesia,” kata Bhima.

Sejak 2011, Jakarta telah menyediakan biasiswa kepada pelajar-pelajar terbaiknya untuk belajar di luar negara di bawah skim Lembaga Pengelola Dana Pendidikan (LPDP).

Penerima-penerima diwajibkan bekerja di Indonesia selama beberapa tahun selepas tamat pengajian, namun dari 2013 hingga 2022, seramai 413 graduan dikesan tidak pulang (ke Indonesia), demikian menurut LPDP.

Menurut syarikat perundingan pengambilan pekerja global, Morgan McKinley, purata gaji bulanan pekerja sepenuh masa di Singapura pada 2023 adalah S$5,783 (RM19,600). 

Dalam pada itu, di Indonesia, data agensi perangkaan menunjukkan purata gaji bulanan graduan tahun lepas adalah 4.3 juta rupiah (RM1,284).

“Jika diberi pilihan untuk tinggal di Singapura, sudah pasti ramai pekerja Indonesia akan merebut peluang itu, tidak kira sama ada mereka perlu melepaskan kewarganegaraan,” kata pensyarah sains, teknologi dan masyarakat Universiti Teknologi Nanyang Singapura, Profesor Madya Sulfikar Amir. 

Sumber: Kosmo

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *