Connect with us

Terkini

Ada majikan gagal patuhi gaji minimum RM1,500

Beberapa majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja dilaporkan masih gagal mematuhi penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 yang dikuatkuasakan bermula bulan lepas.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Ada majikan gagal patuhi gaji minimum RM1,500
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Beberapa majikan mempunyai kurang daripada lima pekerja dilaporkan masih gagal mematuhi penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 yang dikuatkuasakan bermula bulan lepas.
  • Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, kira-kira 50 pekerja setakat ini tampil membuat aduan, tetapi pihaknya percaya bilangan yang sebenar mungkin tinggi.
  • Katanya, ini kerana kebanyakan pekerja masih mengambil sikap tunggu dan lihat jumlah bayaran pendapatan pada bulan ini sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
  • “Kita terima aduan ada lagi pekerja majikan kurang lima pekerja yang tidak dibayar gaji sebanyak RM1,500 terutama sekali mereka yang kerja di kantin sekolah atau tempat pasar raya kecil,” katanya.

PETALING JAYA: Beberapa majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja dilaporkan masih gagal mematuhi penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 yang dikuatkuasakan bermula bulan lepas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, kira-kira 50 pekerja setakat ini tampil membuat aduan, tetapi pihaknya percaya bilangan yang sebenar mungkin tinggi.

Katanya, ini kerana kebanyakan pekerja masih mengambil sikap tunggu dan lihat jumlah bayaran pendapatan pada bulan ini sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Kita terima aduan ada lagi pekerja majikan kurang lima pekerja yang tidak dibayar gaji sebanyak RM1,500 terutama sekali mereka yang kerja di kantin sekolah atau tempat pasar raya kecil.

“Perkara ini berlaku kepada kebanyakan pekerja, tetapi ada yang buat masa sekarang masih tunggu gaji bulan ini sebelum laporkan secara terperinci,” katanya.

Sebagai rekod, penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja mula berkuatkuasa pada 1 Julai lepas selepas ditangguhkan selama enam bulan berbanding tarikh 1 Januari 2023 yang ditetapkan sebelum ini.

Pelaksanaannya membabitkan semua sektor termasuk perladangan, pertanian dan pembuatan kecuali perkhidmatan domestik dan aparentis.

Mengulas lanjut, Kamarul Bahrin berkata, MTUC meminta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) membuat pemeriksaan kepada semua majikan yang terlibat dan bukan hanya menunggu laporan semata-mata.

Katanya, ini kerana MTUC tidak menolak masih ada pekerja yang takut untuk melaporkan salah laku majikan selain tidak tahu saluran yang betul.

“Perkara ini sudah lama MTUC minta daripada kerajaan untuk tambah pegawai penguatkuasa, tetapi sehingga sekarang masih lagi begitu. Ia jelas satu kelemahan (JTK) sekiranya menunggu aduan daripada pekerja baru mahu ambil tindakan.

“Kalau ada tindakan diambil kepada majikan, maka pekerja dapat gaji minimum dan boleh membelanjakan lebihan gaji untuk ekonomi negara dapat berjalan dengan lebih baik lagi.

“Oleh itu, jangan ambil mudah tentang nasib pekerja bawahan ini sebab ia satu penganiayaan kepada mereka kalau tidak ada apa-apa tindakan dan ini tidak adil,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Author