Antarabangsa
“Saya baca al-Quran, ia buatkan saya menangis”, kata kekasih Karim Benzema yang memeluk Islam
Kekasih pemain bola sepak terkenal Perancis Karim Benzema mendedahkan beliau telah memeluk agama Islam, demikian lapor The Observer Post.
- Jordan Ozuna yang merupakan kekasih kepada pemain bola sepak terkenal Perancis, Karim Benzema mendedahkan beliau telah memeluk agama Islam.
- Dia memeluk Islam secara rasmi dalam sebuah upacara kecil-kecilan di Masjid Madrid.
- “Saya telah banyak meneliti agama ini (Islam) dan mendapati ia indah. Semua yang saya baca tentangnya menyentuh hati saya. Sepanjang Ramadan, saya membaca Al-Quran, yang membuat saya menangis”. – Kekasih Karim Benzema, Jordan Ozuna.
Kekasih pemain bola sepak terkenal Perancis Karim Benzema mendedahkan beliau telah memeluk agama Islam, demikian lapor The Observer Post.
Jordan Ozuna yang merupakan seorang peragawati Amerika Syarikat (AS) itu mengakui terharu dan tidak dapat menahan air mata di saat menerima agama itu secara rasmi di Masjid Madrid.
Katanya, beliau tulus meminati Islam dan menekankan yang penyelidikannya terhadap agama itu membuatkannya melihat keindahan Islam.
Beliau berkata penyelidikan menyeluruhnya juga menyebabkan dia menganggap Islam sebagai agama yang “indah”.
“Saya telah memeluk Islam. Ia berlaku di sini, di Masjid Madrid. Mereka membaca al-Quran… Ia adalah upacara kecil-kecilan. Saya menangis seperti kanak-kanak. Saya sangat sentimental,” katanya ketika ditemu bual akhbar Sepanyol.
“Saya telah banyak meneliti agama ini (Islam) dan mendapati ia indah. Semua yang saya baca tentangnya menyentuh hati saya. Sepanjang Ramadan, saya membaca Al-Quran, yang membuat saya menangis,” katanya.
Beliau juga memberitahu bagaimana buku bacaannya berjudul The Sacred Path to Islam yang mengisahkan seorang Kristian memeluk Islam begitu bermakna baginya.
Jordan akan mengikuti Karim ke Arab Saudi untuk menyokong perpindahan bekas pemain Real Madrid itu ke pasukan Liga Pro Saudi Al-Ittihad.
Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk patuh dan hormat kepada adat dan tradisi tempatan di negara itu, terutamanya dalam soal pemakaian.
“Bagi saya, tiada masalah. Ia adalah budaya yang berharga dan saya gembira dengan pengembaraan itu,” katanya.
Karim menyertai Real Madrid pada 2009 dan diiktiraf sebagai salah seorang bakat muda yang paling berpotensi dalam bola sepak global.
Dia berjaya mencatat sejarah sebagai penjaring kedua terbanyak pasukan itu selepas Christiano Ronaldo iaitu sebanyak 354 gol.
Sumber: The Observer Post