Antarabangsa
Letupan bom menjelang Hari Asyura, enam maut di Syria
Sekurang-kurang enam maut dan ramai lagi mangsa cedera dalam letupan bom, semalam, berhampiran makam Saidatina Zainab di Damsyik yang merupakan tempat ziarah tumpuan pengikut fahaman Syiah di Syria, menurut pihak berkuasa.
- Sekurang-kurang enam maut dan ramai lagi mangsa cedera dalam letupan bom, semalam, berhampiran makam Saidatina Zainab di Damsyik yang merupakan tempat ziarah tumpuan pengikut fahaman Syiah di Syria, menurut pihak berkuasa.
- Agensi berita Syrian Arab News Agency (SANA) melaporkan Kementerian Dalam Negeri Syria mengesahkan enam kematian hingga kini berbanding lima pada peringkat awal, manakala lebih 20 mangsa cedera.
- Kementerian itu memaklumkan sebuah motosikal meletup berhampiran sebuah teksi, dan menyifatkannya sebagai kes pengeboman oleh pengganas.
DAMSYIK: Sekurang-kurang enam maut dan ramai lagi mangsa cedera dalam letupan bom, semalam, berhampiran makam Saidatina Zainab di Damsyik yang merupakan tempat ziarah tumpuan pengikut fahaman Syiah di Syria, menurut pihak berkuasa.
Insiden berlaku di selatan ibu negara ini menjelang upacara tahunan menyambut Hari Asyura.
Agensi berita Syrian Arab News Agency (SANA) melaporkan Kementerian Dalam Negeri Syria mengesahkan enam kematian hingga kini berbanding lima pada peringkat awal, manakala lebih 20 mangsa cedera.
Kementerian itu memaklumkan sebuah motosikal meletup berhampiran sebuah teksi, dan menyifatkannya sebagai kes pengeboman oleh pengganas.
Menurutnya lagi, Menteri Kesihatan Syria, Hassan al-Ghobash turut melawat mangsa yang cedera di hospital.
Terdahulu, sumber di Hospital Al-Sadr memberitahu AFP bahawa 10 mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke kemudahan kesihatan itu selepas berlaku letupan bom berhampiran makan berkenaan.
Stesen televisyen melaporkan letupan itu dipercayai berlaku akibat bom yang diletakkan di dalam sebuah teksi boleh individu tidak dikenal pasti.
Seorang penjawat awam hanya dikenali sebagai Ibrahim berumur 39 tahun pula memberitahu AFP, orang ramai mendengar bunyi letupan yang kuat lalu bertempiaran lari menyelamatkan diri, sebelum ambulans tiba dan pasukan keselamatan menutup kawasan terbabit.
Katanya, letupan berlaku ‘berhampiran sebuah bangunan keselamatan terletak kira-kira 600 meter dari makam Saidatina Zainab’.
Sumber : Berita Harian