Terkini
Kerajaan digesa segera kuatkuasakan penggunaan kamera badan – CUEPACS
CUEPACS mahu kerajaan segera menguatkuasakan penggunaan kamera badan bagi petugas di pintu masuk negara berikutan kekecohan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan anggota Imigresen.
- CUEPACS mahu kerajaan segera menguatkuasakan penggunaan kamera badan bagi petugas di pintu masuk negara berikutan kekecohan yang berlaku di KLIA membabitkan anggota Imigresen.
- Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata penggunaan kamera badan itu penting untuk meningkatkan integriti pasukan petugas termasuk meningkatkan pelbagai penugasan dan keselamatan petugas sendiri.
- Katanya, jika ada sebarang tomahan mengenai pecah amanah atau salah laku seperti kes-kes tular sebelum ini, pihak berkuasa dapat lihat daripada klip rakaman kamera badan berkenaan untuk mempermudahkan siasatan.
- Pihaknya menolak keras campur tangan pihak luar dalam urusan keselamatan negara yang digalas oleh Jabatan Imigresen atau mana-mana agensi kerajaan.
- “Campur tangan pihak luar ini boleh mendedahkan negara kepada risiko keselamatan. Semua pihak termasuk pegawai tertinggi kerajaan sepatutnya percaya pada setiap keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa yang menjaga sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KUALA LUMPUR – CUEPACS mahu kerajaan segera menguatkuasakan penggunaan kamera badan bagi petugas di pintu masuk negara berikutan kekecohan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan anggota Imigresen.
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata penggunaan kamera badan itu penting untuk meningkatkan integriti pasukan petugas termasuk meningkatkan pelbagai penugasan dan keselamatan petugas sendiri.
Katanya, selain itu, jika ada sebarang tomahan mengenai pecah amanah atau salah laku seperti kes-kes yang tular sebelum ini, pihak berkuasa dapat lihat daripada klip rakaman kamera badan berkenaan untuk mempermudahkan siasatan.
Pada masa sama, katanya, CUEPACS mengingatkan supaya tiada pihak cuba campur tangan dalam urusan keselamatan negara.
Katanya, pihaknya menolak keras campur tangan pihak luar dalam urusan keselamatan negara yang digalas oleh Jabatan Imigresen atau mana-mana agensi kerajaan.
“Campur tangan pihak luar ini boleh mendedahkan negara kepada risiko keselamatan. Semua pihak termasuk pegawai tertinggi kerajaan sepatutnya percaya pada setiap keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa yang menjaga sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Adnan, prosedur keselamatan yang ditetapkan kerajaan jelas dan wajar dipatuhi tanpa campur tangan dalam mengubah setiap keputusan yang telah diputuskan.
Adnan berkata, CUEPACS juga memandang serius tuduhan berat yang dilemparkan kepada Imigresen berkaitan rasuah yang didakwa wujud dalam kalangan petugasnya di pintu masuk negara.
“Tuduhan tanpa bukti berasas itu dilihat sengaja dicetuskan bagi mengalih perhatian terhadap isu utama yang berlaku baru-baru ini membabitkan seorang individu berstatus menteri.
“Tuduhan melulu tanpa bukti itu bukan sahaja mencemarkan imej Imigresen bahkan memberi persepsi buruk kepada perkhidmatan awam,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya benar wujudnya budaya rasuah seperti yang digambarkan, perkara itu sepatutnya dilaporkan dengan bukti yang jelas terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebelum ini media melaporkan kekecohan timbul di balai ketibaan KLIA membabitkan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing mahu ‘menyelamatkan’ seorang warganegara China dikenakan tindakan Notis Tolak Kemasukan (NTL).
King Sing seterusnya mendakwa ada perlakuan rasuah membabitkan pegawai Imigresen di KLIA tetapi ia dinafikan pegawai yang terbabit.
Sumber: Berita Harian