Antarabangsa
EU rancang beli pesawat pemadam kebakaran ekoran krisis iklim
Kesatuan Eropah (EU) mahu menandatangani kontrak pembelian sehingga 12 pesawat pemadam kebakaran, pertama dimiliki sepenuhnya.
- Kesatuan Eropah (EU) mahu menandatangani kontrak pembelian sehingga 12 pesawat pemadam kebakaran, pertama dimiliki sepenuhnya.
- Pembelian itu bertujuan meningkatkan keupayaan menangani kebakaran didorong perubahan iklim, kata Ketua Pengurusan Krisis blok itu.
- EU menggandakan armada rizab pesawat pemadam kebakaran sedia ada tahun lalu, selepas kebakaran musim panas lalu mengakibatkan kemusnahan di selatan Eropah mengatasi keupayaan 13 pesawatnya.
- Armada itu terdiri daripada 28 pesawat yang dibayar EU untuk pajakan daripada negara EU atau pasaran untuk membentuk penampan seluruh blok ketika musim kebakaran hutan.
BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) mahu menandatangani kontrak pembelian sehingga 12 pesawat pemadam kebakaran, pertama dimiliki sepenuhnya.
Pembelian itu bertujuan meningkatkan keupayaan menangani kebakaran didorong perubahan iklim, kata Ketua Pengurusan Krisis blok itu.
EU menggandakan armada rizab pesawat pemadam kebakaran sedia ada tahun lalu, selepas kebakaran musim panas lalu mengakibatkan kemusnahan di selatan Eropah mengatasi keupayaan 13 pesawatnya.
Armada itu terdiri daripada 28 pesawat yang dibayar EU untuk pajakan daripada negara EU atau pasaran untuk membentuk penampan seluruh blok ketika musim kebakaran hutan.
Dengan penggandaan nombor ia dijangka membabitkan kos 23 juta euro, kata Suruhanjaya Eropah, cabang eksekutif EU.
Bagaimanapun apabila perubahan iklim meningkatkan risiko kebakaran yang teruk, Pesuruhjaya Pengurusan Krisis EU, Janez Lenarcic berkata Brussels mahu kontrak ditandatangani tahun ini untuk membeli 12 pesawat milik EU, serta 12 lagi untuk memperkukuh armada negara sendiri.
“Kami akan memperoleh pesawat pertama dalam tempoh dua tahun ini. Penerimaan sepenuhnya akan selesai menjelang akhir dekad,” katanya kepada Reuters.
Pengilang De Havilland Canada bersetuju melancarkan semula pengeluaran pesawat ‘Canadair’, jika pesanan EU dibuat, kata Lenarcic.
Enam negara anggota yang bakal menandatangani kontrak adalah Croatia, Perancis, Greece, Itali, Portugal dan Sepanyol.
EU akan membiayai pembelian 12 pesawat itu untuk armadanya sendiri, manakala negara anggota akan membayarnya sendiri.
Sementara itu, De Havilland dalam kenyataan berkata, pihaknya sudah menyelesaikan semakan reka bentuk kritikal DHC-515 Firefighter dan menjangkakan ‘menyelesaikan kontrak dengan pelanggan kami dalam bulan akan datang, dengan penghantaran pertama sebelum musim kebakaran 2027’.
Eropah menghadapi satu lagi musim panas dengan cuaca ekstrem yang membawa bencana. Kebakaran hutan di Greece mengakibatkan tiga orang terkorban dan menyebabkan ribuan pelancong berpindah, manakala anggota bomba Itali berkata mereka memerangi hampir 1,400 kebakaran antara Ahad dan Selasa.
“Situasi yang kita lihat di selatan Eropah menunjukkan kita berada dalam krisis iklim. Ia sudah tiba di sini,” kata Lenarcic.
Negara EU bertanggungjawab bertindak balas terhadap kebakaran hutan dan meminta bantuan daripada rizab EU hanya apabila mereka memerlukan sokongan.
“EU juga boleh menawarkan sokongan kecemasan kepada negara bukan EU. Blok itu menerima 11 permintaan sedemikian pada tahun lalu dan menerima empat permintaan setakat tahun ini termasuk di Greece dan Tunisia, di mana pesawat simpanan EU sedang bekerja keras memadamkan kebakaran,” katanya.
Lenarcic berkata, impak yang didorong oleh perubahan iklim kini merugikan Eropah sekurang-kurangnya berpuluh-puluh berbilion euro setahun dan kos itu akan meningkat jika negara anggota tidak segera mengurangkan pembakaran bahan api fosil dan pelepasan karbon dioksida (CO2) yang mengakibatkan pemanasan global.
“Peralihan hijau bukan sesuatu yang murah. Tetapi apa yang perlu dijelaskan kepada rakyat, kepada pengundi, adakah jika ia tidak dilakukan, kesannya akan menjadi lebih mahal,” katanya. – REUTERS
Sumber: Berita Harian