Terkini
Kumpulan wartawan gesa kerajaan jelaskan dakwaan sekatan terhadap MalaysiaNow
Gerakan Media Merdeka (GeramM) menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan sama ada terdapat arahan atau kebenaran untuk menyekat akses terhadap portal MalaysiaNow.
- Gerakan Media Merdeka (GeramM) menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan sama ada terdapat arahan atau kebenaran untuk menyekat akses terhadap portal MalaysiaNow.
- Kumpulan wartawan itu berkata, sebarang langkah sedemikian sekiranya benar ia menunjukkan berlakunya satu penapisan tidak langsung oleh kerajaan ke atas saluran berita sekali gus melanggar kebebasan media secara terang-terangan.
- Sebelum ini, Pengarang MalaysiaNow Abdar Rahman Koya mendakwa portal beritanya dikenakan sekatan sejak Selasa lalu mengakibatkan sebahagian pengguna Celcom dan Maxis tidak boleh mengakses.
- Beliau berkata pakar teknikalnya tidak menemui aktiviti luar biasa pada pelayan web atau berlaku serangan siber.
- GeramM memetik laporan Malaysiakini berkata ujian dilakukan portal berkenaan melalui rangkaian Maxis menggunakan alat ujian ketersambungan yang disediakan Open Observatory of Network Interference (OONI) mendapati laman web itu disekat menerusi gangguan DNS.
- Terbaharu, media melaporkan portal berita MalaysiaNow boleh diakses semula pada petang Khamis.
KUALA LUMPUR — Gerakan Media Merdeka (GeramM) menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan sama ada terdapat arahan atau kebenaran untuk menyekat akses terhadap portal MalaysiaNow.
Kumpulan wartawan itu berkata, sebarang langkah sedemikian sekiranya benar ia menunjukkan berlakunya satu penapisan tidak langsung oleh kerajaan ke atas saluran berita sekaligus melanggar kebebasan media secara terang-terangan.
“GeramM memandang serius berhubung dakwaan laporan akses yang disyaki disekat ke portal berita dalam talian MalaysiaNow.
“Sebarang langkah sedemikian jika terbukti benar akan menjadi satu bentuk penapisan tidak langsung kerajaan ke atas saluran berita dan pelanggaran kebebasan akhbar secara terang-terangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Pengarang MalaysiaNow Abdar Rahman Koya mendakwa portal beritanya dikenakan sekatan sejak Selasa lalu mengakibatkan sebahagian pengguna Celcom dan Maxis tidak boleh mengakses.
Beliau berkata pakar teknikalnya tidak menemui aktiviti luar biasa pada pelayan web atau berlaku serangan siber.
GeramM memetik laporan Malaysiakini berkata ujian dilakukan portal berkenaan melalui rangkaian Maxis menggunakan alat ujian ketersambungan yang disediakan Open Observatory of Network Interference (OONI) mendapati laman web itu disekat menerusi gangguan DNS.
“Pengubahan DNS adalah kaedah biasa digunakan di Malaysia untuk menapis kandungan dalam talian yang ‘tidak diingini’ termasuk pornografi, perjudian dalam talian dan laman sesawang pengganas.
“Sebarang bentuk berita dalam talian atau pendapat yang sah dengan jelas tidak boleh dikenakan penapisan sedemikian,” kata kumpulan itu.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil bagaimanapun menegaskan tiada sebarang arahan untuk menyekat mana-mana media atau portal media.
Terbaharu, media melaporkan portal berita MalaysiaNow boleh diakses semula pada petang Khamis.
“Walaupun kami lega kerana laman sesawang itu boleh diakses semula oleh rakyat Malaysia, kami tidak akan berhenti sehingga kami mengenal pasti punca di sebalik sekatan ini yang menjejaskan beberapa ISP (penyedia perkhidmatan internet) utama.
“Dalam dunia digital, segala-galanya boleh dijejaki dan kita akan tahu tidak lama lagi,” kata Abdar Rahman dalam satu kenyataan. — The Merdeka Times
Sumber : Laman Web mediageramm