Terkini
Kerajaan pertahan konsep hak asasi Islam, bukan ikut acuan Barat – Menteri agama
Konsep hak asasi manusia yang digunakan dalam dasar kerajaan tidak tertakluk pada nilai yang dibawa oleh negara Barat semata-mata, sebaliknya turut mempertahankan konsep diangkat dalam Islam.
- Konsep hak asasi manusia yang digunakan dalam dasar kerajaan tidak tertakluk pada nilai yang dibawa oleh negara Barat semata-mata, sebaliknya turut mempertahankan konsep diangkat dalam Islam.
- Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata Malaysia berpendirian bahawa Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa (UDHR) yang diisytiharkan pada 1948 bukan satu-satunya sumber dan konsep hak asasi manusia untuk kerajaan.
- Sebaliknya, beliau memaklumkan kerajaan turut mempertahankan prinsip hak asasi berdasarkan pendirian negara Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melalui organisasi di bawahnya, Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC).
- “Bagi membentuk kefahaman yang baik mengenai hak asasi manusia daripada perspektif Islam, kerajaan sendiri melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan Seminar dan Konvensyen Hak Asasi Manusia dari Perspektif Islam,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Dewan Rakyat, hari ini.
KUALA LUMPUR: Konsep hak asasi manusia yang digunakan dalam dasar kerajaan tidak tertakluk pada nilai yang dibawa oleh negara Barat semata-mata, sebaliknya turut mempertahankan konsep diangkat dalam Islam.
Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata Malaysia berpendirian bahawa Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa (UDHR) yang diisytiharkan pada 1948 bukan satu-satunya sumber dan konsep hak asasi manusia untuk kerajaan.
Sebaliknya, beliau memaklumkan kerajaan turut mempertahankan prinsip hak asasi berdasarkan pendirian negara Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melalui organisasi di bawahnya, Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC).
“Bagi membentuk kefahaman yang baik mengenai hak asasi manusia daripada perspektif Islam, kerajaan sendiri melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan Seminar dan Konvensyen Hak Asasi Manusia dari Perspektif Islam.
“Seminar itu membabitkan penyertaan dalam kalangan pegawai kerajaan, wakil badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan wakil agensi-agensi agama persekutuan, dan program ini akan diteruskan bagi memberi kefahaman yang jelas mengenai hak asasi manusia dari perspektif Islam.
“Selain itu JAKIM dan jabatan agama Islam negeri (JAIN) turut menerapkan kefahaman Islam mengenai hak asasi manusia dalam khutbah Jumaat,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas isu kehadiran guru agama yang tidak konsisten di penempatan Orang Asli, Mohd Na’im berkata, isu itu berlaku kerana jumlah Penggerak Masyarakat Orang Asli yang terhad.
Katanya, 232 Penggerak Masyarakat Orang Asli bertanggungjawab mengajar kelas Fardu Ain sebanyak dua kali seminggu, ziarah dari rumah ke rumah dan bimbingan ibadah di hampir 700 kampung Orang Asli di seluruh Semenanjung.
“Bilangan mereka tidak dapat menampung perkhidmatan yang perlu diberikan di hampir 700 kampung Orang Asli, menyebabkan kelas pengajian yang dirancang kadang kala tidak dapat dilaksanakan.
“Selain mengajar, Penggerak Masyarakat Orang Asli turut dibebankan dengan tugas membantu Orang Asli berkaitan hal ehwal kebajikan Muslim seperti kelahiran, perkahwinan, kematian dan lain-lain, menyebabkan jadual kelas dirancang terganggu,” katanya.
Berhubung isu pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak membenarkan sekolah Islam persendirian beroperasi di premis rumah kedai, Mohd Na’im menjelaskan ada beberapa lokaliti yang tidak sesuai untuk rumah kedai beroperasi sebagai institusi pendidikan, selepas mengambil kira aspek keselamatan dan seumpamanya.
“Ada beberapa lokaliti yang dilihat tidak sesuai untuk rumah kedai beroperasi sebagai institusi pendidikan, namun terdapat juga premis rumah kedai mendapat kebenaran PBT beroperasi sebagai institusi pendidikan Islam,” katanya.
Sumber: Berita Harian