Connect with us

Antarabangsa

Vaksin COVID-19 bukan penyebab bagi masalah utama haid

Suntikan vaksin COVID-19 tidak menyebabkan wanita lebih cenderung mendapatkan rawatan perubatan bagi masalah haid, menurut kajian.

Wartawan TMT

Published

on

Vaksin COVID-19 bukan penyebab bagi masalah utama haid
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Suntikan vaksin COVID-19 tidak menyebabkan wanita lebih cenderung mendapatkan rawatan perubatan bagi masalah haid.
  • Sejak kempen vaksinasi COVID-19 bermula hampir dua setengah tahun lalu, segelintir wanita melaporkan perubahan dalam kitaran haid mereka selepas mendapat suntikan mRNA daripada Pfizer/BioNTech dan Moderna.
  • Ini menyebabkan badan pemantau ubat-ubatan Kesatuan Eropah mengesyorkan supaya pendarahan haid yang banyak disenaraikan sebagai kemungkinan kesan sampingan vaksin.
  • Syor itu kemudian diperbesar-besarkan oleh kempen antivaksin menyebarkan maklumat salah dalam talian mengenai bahaya akibat suntikan vaksin, menurut pakar.

PARIS: Suntikan vaksin COVID-19 tidak menyebabkan wanita lebih cenderung mendapatkan rawatan perubatan bagi masalah haid, menurut kajian.

Sejak kempen vaksinasi COVID-19 bermula hampir dua setengah tahun lalu, segelintir wanita melaporkan perubahan dalam kitaran haid mereka selepas mendapat suntikan mRNA daripada Pfizer/BioNTech dan Moderna.

Ini menyebabkan badan pemantau ubat-ubatan Kesatuan Eropah mengesyorkan supaya pendarahan haid yang banyak disenaraikan sebagai kemungkinan kesan sampingan vaksin.

Syor itu kemudiannya diperbesar-besarkan oleh kempen antivaksin yang menyebarkan maklumat salah dalam talian mengenai bahaya akibat suntikan vaksin, menurut pakar.

Kajian baharu itu melihat data pesakit daripada pendaftaran kesihatan Sweden yang merangkumi hampir tiga juta wanita, sekitar 40 peratus daripada populasi wanita negara itu.

Rickard Ljung, seorang profesor di Agensi Produk Perubatan Sweden dan pengarang utama kajian baharu itu, memberitahu AFP bahawa ia “setakat ini” yang terbesar dijalankan dalam isu berkenaan.

Ia juga yang pertama menggunakan data bebas sama ada wanita menghubungi pakar penjagaan kesihatan berhubung masalah haid mereka, katanya.

Penyelidikan terdahulu menggunakan data dilaporkan sendiri termasuk maklumat daripada aplikasi yang menjejaki kitaran haid untuk menunjukkan bahawa segelintir wanita mengalami perubahan dalam kitaran haid mereka selepas menerima suntikan vaksin.

“Apa yang kami tunjukkan adalah gangguan (berpotensi) ini tidak begitu teruk sehingga menyebabkan wanita mendapatkan rawatan perubatan,” kata Ljung.

Penyelidik mengakui data dilaporkan sendiri boleh termasuk masalah haid yang tidak cukup teruk untuk pesakit mendapatkan bantuan tetapi masih dianggap ‘mengganggu’.

Mereka juga menegaskan data yang dilaporkan sendiri boleh dirangsang oleh perhatian media.

Kajian baharu itu melihat kesan sampingan dos pertama, kedua dan ketiga vaksin Pfizer, Moderna dan AstraZeneca terhadap wanita Sweden berumur antara 12 hingga 74 tahun dari Disember 2020 hingga Februari 2022.

Bagi wanita yang belum mengalami menopaus, tiada kaitan antara vaksinasi dan gangguan haid sebaik sahaja pembolehubah telah diselaraskan, menurut kajian itu.

Bagi wanita selepas menopaus, terdapat sedikit peningkatan dalam mendapatkan rawatan perubatan untuk masalah haid selepas dos ketiga vaksin Pfizer dan Moderna.

Walau bagaimanapun, kajian itu mengatakan hubungan antara kedua-dua faktor itu adalah “lemah dan tidak konsisten.”

Secara keseluruhan, menurut kajian diterbitkan dalam jurnal BMJ, penemuannya tidak memberikan sokongan yang besar untuk hubungan kausal antara vaksin COVID-19 dan mendapatkan rawatan perubatan untuk gangguan haid atau pendarahan.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Antarabangsa

Malaysia boleh ikut jejak Australia haramkan penjualan vape di luar farmasi

Malaysia boleh mengikuti jejak Australia mengharamkan penjualan vape di luar farmasi sekiranya ia mahu berbuat demikian.

A.R. Khan

Published

on

Foto: Doktor Farmasi Klinikal, Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed.
  • Malaysia boleh mengikuti jejak Australia mengharamkan penjualan vape di luar farmasi sekiranya ia mahu berbuat demikian.
  • Doktor Farmasi Klinikal, Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed bagaimanapun berkata produk berkenaan perlu didaftar dan dikawal selia di bawah National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) sebagai produk berhenti merokok.
  • “Kalau kita nak ikut Australia, kita dah ada kita punya regulations. Kalau nak apa-apa produk pun digunakan untuk berhenti merokok, produk tersebut perlu diluluskan dahulu oleh National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
  • “Jadi kalau dia (penjual mengesyorkan) gunakan untuk tujuan membantu orang berhenti merokok, jadi daftarkanlah produk dia, produk rokok elektronik tu.
  • “Jadi bila dah daftar, bolehlah dijual di bawah kategori apa yang bersesuaian itu (yang) akan ditentukan pihak KKM berdasarkan bukti kajian klinikal yang dijalankan berdasarkan kepada tahap keselamatan, keberkesanan dan kualiti produk itu,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times (TMT) di sini hari ini.
  • Beliau mengulas laporan media mengenai tindakan Australia melarang penjualan vape di luar farmasi berkuatkuasa semalam.

KUALA LUMPUR – Malaysia boleh mengikuti jejak Australia mengharamkan penjualan vape di luar farmasi sekiranya ia mahu berbuat demikian.

Doktor Farmasi Klinikal, Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed bagaimanapun berkata produk berkenaan perlu didaftar dan dikawal selia di bawah National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) sebagai produk berhenti merokok.

NPRA adalah agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kalau kita nak ikut Australia, kita dah ada kita punya regulations. Kalau nak apa-apa produk pun digunakan untuk berhenti merokok, produk tersebut perlu diluluskan dahulu oleh National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Jadi kalau dia (penjual mengesyorkan) gunakan untuk tujuan membantu orang berhenti merokok, jadi daftarkanlah produk dia, produk rokok elektronik tu.

“Jadi bila dah daftar, bolehlah dijual di bawah kategori apa yang bersesuaian itu (yang) akan ditentukan pihak KKM berdasarkan bukti kajian klinikal yang dijalankan berdasarkan kepada tahap keselamatan, keberkesanan dan kualiti produk itu,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times (TMT) di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai tindakan Australia melarang penjualan vape di luar farmasi berkuatkuasa semalam.

Semalam, Australia menjadi negara pertama menguatkuasakan pengharaman penjualan vape di luar farmasi yang menyaksikan pembuatan, pembekalan, pemilikan komersial dan pengiklanan tempatan vape pakai buang dan vape bukan terapeutik, dilarang di bawah langkah pembaharuan itu.

Menurut undang-undang baharu itu, penguatkuasaan akan menyasarkan individu dan peniaga penjual vape, bukannya penggunanya.

Hukuman berat bagi individu yang menjual vape bukan terapeutik adalah hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan denda $2.2 juta, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga $21.91 juta untuk setiap kesalahan. 

Semakan TMT menerusi enjin carian di laman sesawang NPRA setakat ini menunjukkan tiada produk vape berdaftar di bawah agensi kawalselia farmaseutikal kebangsaan Malaysia itu. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending