Antarabangsa
Krisis Ukraine: Tiada rundingan damai, gencatan senjata dalam masa terdekat
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata beliau tidak melihat adanya kemungkinan untuk rundingan damai serta gencatan senjata komprehensif dicapai dalam masa terdekat bagi peperangan di Ukraine ketika ini.
- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata beliau tidak melihat adanya kemungkinan untuk rundingan damai serta gencatan senjata komprehensif dicapai dalam masa terdekat bagi peperangan di Ukraine ketika ini.
- Ini kerana kedua-dua pihak yang bertelagah itu masing-masing yakin mampu meraih kemenangan, katanya dalam wawancara disiarkan akhbar Sepanyol, El Pais, semalam.
- Beliau yang berada di Sepanyol untuk menerima Anugerah ‘Charles V European’ berkata, justeru PBB memfokus rundingan dengan Russia dan Ukraine bagi menyelesaikan perkara konkrit seperti melanjutkan perjanjian eksport bijirin melalui Laut Hitam yang dijadualkan tamat pada 18 Mei ini.
MADRID: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata beliau tidak melihat adanya kemungkinan untuk rundingan damai serta gencatan senjata komprehensif dicapai dalam masa terdekat bagi peperangan di Ukraine ketika ini.
Ini kerana kedua-dua pihak yang bertelagah itu masing-masing yakin mampu meraih kemenangan, katanya dalam wawancara disiarkan akhbar Sepanyol, El Pais, semalam.
Beliau yang berada di Sepanyol untuk menerima Anugerah ‘Charles V European’ berkata, justeru PBB memfokus rundingan dengan Russia dan Ukraine bagi menyelesaikan perkara konkrit seperti melanjutkan perjanjian eksport bijirin melalui Laut Hitam yang dijadualkan tamat pada 18 Mei ini.
“Malangnya, saya percaya pada peringkat ini, rundingan damai tidak mungkin akan berlaku. Kedua-dua pihak berkeyakinan bahawa mereka boleh menang.
“Buat masa ini, saya tidak melihat sebarang kemungkinan untuk rundingan damai dan gencatan senjata yang komprehensif dicapai dengan segera,” katanya.
Bagaimanapun, Guterres berkata, beliau berharap Russia dan Ukraine dapat dibawa ke meja rundingan ‘pada masa depan.’
Pada perarakan tahunan ‘Hari Kemenangan’ di Red Square, Moscow, semalam, Presiden Russia, Vladimir Putin, berkata dunia kini berada pada ‘titik peralihan’ dan mendakwa ‘peperangan dilancarkan ke atas Russia.’
Sehari sebelum itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pula berikrar bahawa tentera Russia akan dikalahkan ‘sebagaimana Nazisme telah ditewaskan.’
Menteri Luar China, Qin Gang, mengadakan lawatan ke Eropah minggu ini ketika Beijing berusaha menjadi perantara dalam konflik Ukraine. – AGENSI
Sumber: Berita Harian