Terkini
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan: Petanda baik untuk MUDA – Syed Saddiq
Penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, hari ini (semalam), menjadi petanda baik bahawa parti itu mungkin diterima dalam Pakatan Harapan (PH).
- Penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, hari ini (semalam), menjadi petanda baik bahawa parti itu mungkin diterima dalam Pakatan Harapan (PH).
- Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata walaupun permohonan MUDA untuk menyertai PH belum mendapat jawapan, pihaknya menerima jemputan bagi menghadiri konvensyen.
- Ahli Parlimen Muar itu terlebih dahulu ditanya mengenai perkembangan permohonan MUDA untuk menyertai PH.
KUALA LUMPUR: Penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, hari ini (semalam), menjadi petanda baik bahawa parti itu mungkin diterima dalam Pakatan Harapan (PH).
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata walaupun permohonan MUDA untuk menyertai PH belum mendapat jawapan, pihaknya menerima jemputan bagi menghadiri konvensyen.
Ahli Parlimen Muar itu terlebih dahulu ditanya mengenai perkembangan permohonan MUDA untuk menyertai PH.
“Soalan ini sepatutnya diajukan kepada kepemimpinan PH, seperti mana yang semua tahu, kita sudah menghantar surat sebanyak tiga kali namun belum menerima jawapan.
“Perkara ini perlu diselesaikan secara dalaman, namun jika ditanya apa alasannya (masih tidak diputuskan) adalah lebih adil untuk bertanya kepada mereka.
“Namun perkara ini tidak seharusnya menenggelamkan apa yang berlaku hari ini. Ia adalah petanda baik bahawa kami dijemput menjadi sebahagian daripada konvensyen,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Sebelum ini, MUDA menuntut jawapan berhubung status permohonan parti itu ke dalam PH selepas berbulan-bulan dibiarkan dalam tanda tanya.
Pada September lalu, hasrat MUDA untuk menyertai PH dikatakan terlambat bagi proses permohonan namun sebulan kemudian, parti itu bersama gabungan berkenaan diumumkan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Pada Mac lalu, MUDA dilaporkan dipinggirkan daripada menyertai mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan buat kali kedua, yang antaranya membincangkan berhubung enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pada masa sama, Syed Saddiq berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membabitkan isu berkaitan PRN.
“Kita nantikan pertemuan untuk membincangkan perkara ini tetapi isu ini lebih baik diselesaikan secara dalaman,” katanya.
Sumber: Berita Harian