Terkini
Kerajaan Perpaduan umpama ‘lalang ikut tiupan angin’ – Hadi
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyifatkan gerak geri Kerajaan Perpaduan laksana ‘lalang yang mengikut tiupan angin’ dan hanya menurut telunjuk parti yang mempunyai majoriti kerusi.
- Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyifatkan gerak geri Kerajaan Perpaduan laksana ‘lalang yang mengikut tiupan angin’ dan hanya menurut telunjuk parti yang mempunyai majoriti kerusi.
- Beliau berkata kerajaan kini adalah kerajaan campuran ciptaan Pakatan Harapan (PH), yang menamakan campurannya dengan jenama Kerajaan Perpaduan, yang agak berlainan daripada istilah sebenar dalam kamus politik semua bahasa.
- “Cara mereka mengumpulkan sokongannya juga agak luar biasa daripada amalan biasa. Kerajaannya dipimpin oleh parti yang lebih kecil, berprinsipkan pragmatik dan didominasi oleh parti lebih besar yang nyata ideologinya.
- “Turut bersamanya, kumpulan kecil dan individu yang oportunis. Gerak-gerinya selepas berkuasa laksana lalang yang mengikut tiupan angin,” katanya dalam catatan Minda Presiden di laman sosialnya hari ini.
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyifatkan gerak geri Kerajaan Perpaduan laksana ‘lalang yang mengikut tiupan angin’ dan hanya menurut telunjuk parti yang mempunyai majoriti kerusi.
Beliau berkata, kerajaan kini adalah kerajaan campuran ciptaan Pakatan Harapan (PH), yang menamakan campurannya dengan jenama Kerajaan Perpaduan, yang agak berlainan daripada istilah sebenar dalam kamus politik semua bahasa.
“Cara mereka mengumpulkan sokongannya juga agak luar biasa daripada amalan biasa. Kerajaannya dipimpin oleh parti yang lebih kecil, berprinsipkan pragmatik dan didominasi oleh parti lebih besar yang nyata ideologinya.
“Turut bersamanya, kumpulan kecil dan individu yang oportunis. Gerak-gerinya selepas berkuasa laksana lalang yang mengikut tiupan angin,” katanya dalam catatan Minda Presiden di laman sosialnya, hari ini.
Abdul Hadi, yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, konsep perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan adalah meraikan semua pihak tanpa sempadan agama, ideologi dan moral atau fitrah manusia, asalkan mendapat kehendak yang difikirkan majoriti kerusi.
“Mereka mengheret rakyat apabila berpegang kepada falsafah Pak Pandir, menyeberangi anak sungai dengan meniti kayu reput dilalui oleh semut yang berjuta ramainya, atau kaedah politik ciptaan Barat yang berpegang kepada matlamat menghalalkan cara.
“Perpaduan sesama mereka berpegang kepada hablu al-nas (tali manusia), bukan kepada hablu Allah (tali Allah) seperti firman Allah dalam al-Quran supaya berpegang kepada-Nya.
“Pakatan ini didominasi oleh DAP, yang nyata ideologinya bercanggah dengan Islam. Bahkan, kenyataannya jelas menunjukkan mereka menentang Islam serta kepentingan Melayu Islam dan Bumiputera.
“Malah, pakatan itu turut disertai oleh parti yang pragmatik tanpa ideologi, termasuk juga kalangan yang tidak bersih kerana dihukum kesalahannya dan kalangan yang masih menanti keputusan mahkamah yang diusahakan untuk digugurkan atau dilepaskan kerana pendakwaan kes mahkamahnya dilakukan secara terpilih,” katanya.
Beliau berkata, turut serta dalam pakatan itu adalah mereka yang sedang menunggu dan mahu menyelamatkan diri kerana kesalahannya atau kalangan oportunis daripada semua pihak.
“Terkini sekali lagi digemparkan dengan isu kalimah Allah yang sudah ada keputusan terdahulu oleh pihak hal ehwal agama di negeri masing-masing dan Jabatan Perdana Menteri yang terdahulu.
“Keputusannya adalah demi menjaga urusannya secara fatwa, berpandukan Siyasah Syari’yyah dan Maqasid al-Syari’ah dalam hubungan dengan bukan Islam yang menggunakan kalimah Allah, bukan berasaskan maksudnya yang asal atas sempadan menjaga perpaduan dengan memberikan hak yang saksama kepada semua pihak,” katanya.
Abdul Hadi berkata, dalam isu kalimah Allah, Selangor sudah mempunyai keputusan ketika negara dijajah sewaktu pemerintahan Sultan Sulaiman.
Namun, katanya, kerajaan Malaysia kini melihat dari segi maslahah Kerajaan Perpaduan ciptaannya, yang bersifat pragmatik, bukan berdasarkan Maslahah al-Mursalah (sesuatu yang baik menurut akal dengan pertimbangan dapat mewujudkan kebaikan atau menghindarkan keburukan bagi manusia) mengikut acuan Islam.
“Tanpa mereka pedulikan terhadap sensitiviti umat Islam yang berpandukan agamanya daripada ajaran yang dapat menyelesaikan masalah dan menjaga konsep kebebasan beragama mengikut sempadan.
“Hakikatnya, Islam ialah agama bagi Persekutuan dan terletak di bawah bidang kuasa negeri di bawah peranan Raja,” katanya.
Beliau menegaskan, kebebasan agama wajib diberikan serta dijaga dan pada masa sama, Islam juga wajib dipertahankan dan tidak diganggu ajaran serta penganutnya.
“Hakikatnya, sudah ada keputusan terdahulu, hanya kerajaan PH sahaja yang serba salah kerana pendiriannya yang bergoyang ditiup angin.
“Jika dilihat kembali, semua kenyataan pemimpin serta jurubicaranya yang paling lantang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan sewaktu berkempen sebelum menjadi kerajaan, betapa kerasnya ucapan mereka terhadap golongan yang dinamakan penyangak, perasuah dan jenama yang lain.
“Tiba-tiba, mereka bersekongkol bagi menyempurnakan kerajaannya, dengan mereka yang telah dinyatakan sifat sedemikian.
“Bahkan, diubah suaranya dengan melemparkan tuduhan semberono terhadap mereka yang terpilih menjadi sasaran dalam kalangan parti lawannya dan tokoh yang menolak kerajaannya, serta mereka yang tidak menyertai pakatannya,” katanya.
Abdul Hadi juga mendakwa, Kerajaan Perpaduan kini tiada perpaduan dan langsung tidak menepati nama kerana ada parti yang tidak berkemampuan menghadapi masalah politik dalamannya dan hubungan dalam kalangan parti sahabatnya.
“Apa yang dapat dilihat dengan nyata dan secara terbuka, wujud pergolakan, sekali gus menunjukkan tiada perpaduan dan langsung tidak menepati nama Kerajaan Perpaduan.
“Maka, bagaimana kemampuannya untuk menghadapi masalah negara yang lebih besar dan masalah antarabangsa yang mencabar?,” katanya.
Beliau juga mendakwa, Kerajaan Perpaduan mengalihkan perhatian dengan menyasarkan kepada parti pembangkang apabila tidak mampu menutup kelemahan dan kesilapannya yang terdedah kepada rakyat.
“Kadang-kadang apa yang mereka lakukan itu kembali ke zaman penjajah dahulu apabila menggunakan taktik yang pernah digunakan dengan berlindung di belakang Raja yang tidak memiliki kuasa politik yang berdaulat.
“Penjajah dulu menuduh pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah sebagai penderhaka kepada Raja,” katanya.
Sumber: Berita Harian