Terkini
Isu Kalimah Allah: Penarikan semula rayuan mengejutkan dari segi keputusan politik – KJ
Tindakan Kerajaan Persekutuan menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah adalah mengejutkan jika dilihat dari sudut keputusan politik.
- Tindakan Kerajaan Persekutuan menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah adalah mengejutkan jika dilihat dari sudut keputusan politik.
- Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, jika beliau berada di pihak kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN), rayuan itu akan diteruskan.
- Ini kerana keputusan untuk membuat rayuan itu dilihat tepat dan tidak mengundang kontroversi sama ada dalam kalangan Muslim atau bukan Islam.
- Ia juga dilihat ‘jalan cermat’ bagi kerajaan atau menteri, lebih-lebih lagi apabila isu sedemikian akan digunakan (dipolitikkan) di mana PRN akan berlangsung tidak lama lagi.
- “Mungkin di negara Arab ini biasa dengan kalimah Allah ini sebab istilah perkataan Allah ini mungkin wujud sebelum Islam sebagai perkataan Tuhan tetapi kalimah Allah itu di Malaysia datang dengan Islam. It came with Islam,” kata Khairy dalam episod terkini Podcast Keluar Sekejap (KS) di Youtube dengan topik ‘Tawaran TSMY kepada KJ, Isu Kalimah Allah, Prestasi Sukan SEA 2023’.
KUALA LUMPUR — Tindakan Kerajaan Persekutuan menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah adalah mengejutkan jika dilihat dari sudut keputusan politik.
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, jika beliau berada di pihak kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN), rayuan itu akan diteruskan.
Katanya, ini kerana keputusan untuk membuat rayuan itu dilihat tepat dan tidak mengundang kontroversi sama ada dalam kalangan Muslim atau bukan Islam.
“Sebab kalau kita serahkan kepada mahkamah membuat interpretasi sama ada keputusan Datuk Nor Bee Ariffin itu tepat ataupun tidak… sama ada larangan pada 1986 itu melanggar undang-undang ataupun tidak.
“Saya rasa itu memang fungsi mahkamah tetapi apabila kita sebagai executive menarik rayuan itu, kita mendahului keputusan daripada badan kehakiman yang memang ditubuhkan untuk tugas ini,” katanya dalam episod terkini Podcast Keluar Sekejap (KS) di Youtube dengan topik ‘Tawaran TSMY kepada KJ, Isu Kalimah Allah, Prestasi Sukan SEA 2023’.
Khairy berkata keputusan meneruskan rayuan merupakan ‘jalan cermat’ bagi kerajaan atau menteri, lebih-lebih lagi apabila isu sedemikian akan digunakan (dipolitikkan) di mana Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlangsung tidak lama lagi.
Beliau berkata isu penarikan semula rayuan kes kalimah Allah akan digunakan seteru utama kerajaan iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS) sekalipun penjelasan dibuat.
Katanya, perkara itu dapat dilihat apabila ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta PAS, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan badan peguam syarie menuntut penjelasan sebaik saja isu penarikan semula rayuan kes itu diketahui umum.
Mengulas lanjut, Khairy berkata permasalahan ini perlu dibincang secara ‘empati’ untuk memahami bahawa di negara Arab misalnya, tiada masalah membenarkan penggunaan kalimah Allah kerana setiap negara mempunyai konteks berbeza.
Bagaimanapun, ia berbeza di Malaysia di mana kalimah Allah itu sendiri datang bersama Islam.
“Mungkin di negara Arab ini biasa dengan kalimah Allah ini sebab istilah perkataan Allah ini mungkin wujud sebelum Islam sebagai perkataan Tuhan tetapi kalimah Allah itu di Malaysia datang dengan Islam. It came with Islam.
“That is my own argument bila saya jelaskan dari dulu lagi…The word Allah predicted Islam in Arabic but the word Allah in Malaysia came with Islam actually. Indonesia is a bit different. Try to understand both sides,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Malaysia dan KDN dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Notis pemberhentian rayuan itu, yang difailkan pada 18 April lalu menyatakan kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.
Keputusan kerajaan dan KDN itu bagaimanapun menimbulkan polemik berhubung isu penggunaan kalimah Allah di negara ini. — The Merdeka Times
Sumber : Youtube Keluar Sekejap